Kelmarin aku melihat bil air terselit di celah pintu rumahku sekembali dari sekolah. Bila dibuka, alangkah terkejut beruknya aku bila mendapati bil untuk bulan lepas mencecah RM143 termasuk tunggakan RM18 pada bulan sebelumnya. Memang sukar dipercayai kerana biasanya rekod bil air aku yang tertinggi cuma RM42 sebulan. Nak kata rumah aku buat bisnes air batu pun jauh sekali apatah lagi aku buat kolam renang untuk disewa oleh penduduk kampung ini!

Terdapat dua kemungkinan kenapa masalah ini timbul. Pertama, mungkin berlaku kebocoran saluran paip dalam tanah di rumahku atau pun meter air tu berpusing selaju planet Utarid! Aku sudah menelefon tukang paip untuk datang 'check' kebocoran paip tapi dia sibuk pula. Yang pasti aku kena pergi ke AKSB (Air Kelantan Sendirian Berhad) dan memohon penukaran meter air yang baharu.

Memang tak masuk akal kerana anak-anak aku pun jarang berada di rumah. Lagipun bila aku tengok bil TNB tadi cuma RM104 untuk bulan ini. Belum pernah terjadi dalam sejarah hidupku bil api lebih rendah daripada bil air. Orang heboh dengan kenaikan tarif letrik tapi sebaliknya tarif air yang naik.

Masalah tak henti melanda. Jadi aku perlu bersabar dalam menghadapi segala dugaan ini. In Sha Allah, benda ini akan selesai.