Assalamualaikum. Pengalaman menjadi guru sekolah menengah selama 24 tahun banyak mematangkan Abam Kie dalam menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan. Kali ini Abam Kie ingin mengulas sedikit kenapa redha seorang guru itu penting. 

Terkadang dalam mendidik anak murid ada ketikanya hati Abam Kie terguris dengan tingkah laku dan pertuturan mereka. Ada yang ponteng kelas, tidak menyiapkan kerja rumah, meninggikan suara dengan guru dan pelbagai lagi bentuk salah laku yang murid-murid buat. Tapi abam kie tak menyimpan rasa dendam di dalam hati kerana perasaan terluka itu lama kelamaan akan hilang dengan sendirinya. Mungkin sebab abam kie ni guru lelaki. Tapi bagaimana dengan guru2 wanita yang mudah koyak hati mereka?

Baiklah, abam kie ingin berkongsi dua kisah benar mengenai dua orang murid yang telah mengguriskan hati guru mereka. Kisah pertama ialah mengenai seorang kenalan anak abam kie sendiri. Abam Kie namakan murid ini Eina (bukan nama sebenar). Baru-baru ini bila keputusan SPM keluar, Abe Kie menanyakan anak tentang gred Bahasa Inggeris yang diperolehi Eina. Anak bagitahu yang Eina cuma dapat gred B aje. Abam Kie hairan la sebab setahu abam kie la, si Eina ni sangat bagus penguasaan Bahasa Inggerisnya. Selalu mewakili sekolah dan daerah dalam pertandingan ko-akademik BI. Dia pun memang fasih la bertutur dalam BI. Memang level dia ni hampir sama dengan cikgu la. 

Pada suatu hari Abam Kie bertanyakan hal ini dengan rakan sejawat di sekolah yang mengenali dengan rapat guru Bahasa Inggeris si Eina di sekolahnya. Kawan Abam Kie, Madam Huda memberitahu Abam Kie yang guru BI Eina terasa hati dengannya. Ini kerana si Eina seperti tidak menghormati guru Bahasa Inggeris yang bernama Madam Fetty. Banyak juga latihan yang diberikan oleh Madam Fetty tidak diselesaikan oleh Eina. Bila ditegur si Eina ni pandai pulak membalas balik teguran itu. Dibuatnya Madam Fetty seperti kawan sebayanya pula. Madam Huda bagitahu yang bukan dengan Madam Fetty je Eina bersikap dingin tetapi hampir dengan semua guru yang mengajarnya.

Lalu Abam Kie membuat kesimpulan bahawa ini mungkin karma yang menimpa si Eina. Abam Kie selalu berpesan kepada anak-anak agar sentiasa menghormati guru biar pun cikgu tu tak best mengajar. Adalah penting mendapat keredhaan guru agar ilmu yang diperolehi daripada guru berkenaan akan menjadi berkat. 

Kisah kedua menimpa kawan sejawat Abam Kie sendiri, Madam Huda. Dia terasa menyesal dan terkilan kerana salah seorang pelajar target SPM di kelasnya gagal mendapat gred A untuk BI dalam SPM dua tahun lepas. Kisahnya begini. Adalah beberapa kali tu murid ini yang saya namakan Rita (bukan nama sebenar) ponteng kelas tambahan BI di sekolah kerana dia pergi tusyen di luar. Madam Huda kecewa dengan tindakan Rita kerana itu seperti membelakanginya. Jadi bila keputusan SPM diumumkan, memang si Rita gagal mendapat A untuk kertas BI biarpun dia dapat A untuk subjek yang lain. Jadi Madam Huda merasakan kegagalan Rita itu mungkin berpunca darinya. Madam Huda merasa kecewa kerana dia tidak memaafkan Rita. Tambahan pula Rita pun tidak pernah meminta Madam Huda merestui segala ilmu yang dia telah berikan.

Begitulah kisah benar tentang perlunya redha seorang guru itu diperolehi bagi memastikan keberkatan ilmu yang kita perolehi daripadanya. Semoga kisah ini memberikan pengajaran kepada kita semua dalam memastikan hubungan diantara guru dan murid perlu berada dalam suasana mesra dan baik pada setiap masa. Sekian. Terima kasih.