Masa saya belajar master HLP di USIM, saya sekelas dengan ramai penjawat awam lain.

Ada pegawai polis, pegawai penjara, pegawai agama, pegawai belia dan sukan, dan ramai lagi.

Kami sekelas dari hari pertama sampailah konvo. Tak berpisah langsung. Memang betul-betul sekelas.

Sebelum ni, saya merasakan kerja guru ni susah sangat.

Sabar. Jangan salah faham.

Saya setuju kerja cikgu susah. Saya setuju kerja cikgu mencabar.

Tapi bila dah setahun setengah dengan mereka, saya mula rasa, cikgu ni taklah susah sangat berbanding kerja-kerja rakan yang lain.

Bila dengar cerita pegawai penjara yang bertugas dalam penjara, berurusan dengan penjenayah setiap hari sampai mereka pencen, saya dah mula rasa kerja cikgu ni taklah sebahaya mereka.

Bila dengar cerita rakan-rakan polis pula, terus saya rasa macam, apalah sangat kerjaya cikgu ni nak dibandingkan dengan risiko yang mereka hadapi.

Bila dengar doktor on call sampai tiga hari tak balik rumah, tak cukup tidur, adakah saya masih nak merungut kerja cikgu terpaling susah?

Bila saya tengok tukang sampah bekerja seawal pukul 4 atau 5 pagi, mengutip sampah dengan lori, berdepan dengan bau yang tak menyenangkan setiap hari, saya fikir, kerjaya cikgu ni jauh lebih mudah.

Bila teringat kawan yang kerja bank, sampai rumah malam, terdedah dengan risiko sebab menguruskan duit yang nilainya mungkin berjuta, terus rasa syukur sangat.

Kesudahannya, bila kita rasa kerja kita ni susah, percayalah, banyak lagi kerja yang lebih susah dan lebih berbahaya di luar sana.

Isunya bukan siapa yang paling susah.

Tetapi bagaimana kita membulatkan hati untuk menerima amanah yang sedang kita pikul.

Bagaimana kita reda dan belajar mencintai tugas kita.

Ada satu perkara yang saya belajar.

Kalau kita asyik melihat beban di bahu sendiri, memang kita akan rasa kitalah yang paling berat.

Tetapi bila kita mula membuka mata, meluaskan fikiran, melihat beban di bahu orang lain, kita akan lebih mudah belajar bersyukur.

Hakikatnya.

Bukan kita seorang yang sedang memikul amanah. Semua orang sedang memikul amanah masing-masing.

Jadi, daripada berlumba mencari siapa yang paling susah, lebih baik kita berlumba menjadi orang yang paling ikhlas menjalankan amanah.

Penghujungnya, bukan Allah tanya kerja siapa paling berat.

Tetapi Allah tanya, amanah yang diberi itu, kita jalankan atau tidak.

Begitulah.