Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik di Perak ke Jeli di Kelantan dibina pada tahun 70an dan dibuka secara rasmi pada 1982, adalah lambang kehebatan Jabatan Kerja Raya Malaysia membina jalan raya di kawasan yang mencabar. 

Cabarannya bukan setakat membina jalan merentasi Banjaran Titiwangsa yang bergunung ganang dan berhutan tebal, malah turut berdepan dengan cabaran komunis yang berkampung di kawasan Gerik satu masa dulu. Alat-alat pembinaan dibom. Malah ada kakitangan JKR yang meninggal dunia diserang komunis. 

Jalan tersebut dibina atas dua tujuan. Pertama, memendekkan perjalanan dari utara ke Pantai Timur. Sebelum adanya jalan itu, rakyat terpaksa ke KL terlebih dahulu untuk ke Pantai Timur atau ke Utara . 

Keduanya, untuk menyekat pergerakan komunis. Dengan adanya jalan tersebut komunis yang berkampung di sebelah Gerik, mula berundur ke Thailand. Sewaktu saya kecil dulu, saya pernah mendengar orang bercakap jalan itu hanya boleh dilalui waktu siang sahaja. Malam tidak boleh guna. Hendak menggunakan perlu daftar. Tentera ramai di kawasan tersebut. 

Saya bukan hendak bercerita mengenai komunis. Hari ini saya hendak bercerita tentang kehebatan JKR satu masa dulu, dan KEGAGALAN JKR hari ini.

Jalan Raya Timur Barat adalah lambang kehebatan JKR Malaysia.  Ianya satu pembinaan yang bersejarah dan boleh diibaratkan sebagai satu monumen penting. Sayangnya hari ini JKR seolah-olah tidak menghargai kerja-kerja hebat yang mereka lakukan satu masa dulu. 

Masuk saja ke jalan berkenaan dari persimpangan lampu isyarat Pengkalan Hulu (Restoran Kari Kepala Ikan Salim, Gerik), anda memandu bagaikan menaiki kuda. Peperangan telah lama berhenti. Komunis telah meletak senjata pada 1989 lagi. Tetapi keadaan jalan raya seolah-olah negara baru tamat perang. 

Jalan pecah, bercompang-camping sana sini dan berlubang. Ianya sangat bahaya untuk pemanduan dan merosakkan kenderaan. Ada sesetengah tempat, tidak ada garisan jalan. Keadaan jalannya lebih teruk di sebelah negeri Perak. Boleh dikatakan 70-80 peratus jalannya teruk di Perak. Manakala di sebelah negeri Kelantan, ianya lebih baik. Boleh dikatakan 80-90 peratus jalannya baik. 

Jalan ini adalah jalan penting dan jalan utama yang menghubungkan Timur dengan Barat. Bukannya sebatang jalan raya kampung. Namun ianya lebih teruk dari jalan kampung. Selama ini kita sering diberitakan tentang keadaan jalan raya yang teruk di Sabah dan Sarawak. Rupanya di Semenanjung Malaysia pun teruk juga. 

Apakah JKR tidur selama ini ? Ya…saya berani katakan yang mereka tidur. Sebab lambang atau ikon JKR sendiri di pintu masuk ke jalan itu pun tidak terurus dengan baik. Lihat gambar pertama. Usang dan rumput panjang seperti tidak terurus. 

Jika benda semudah itu pun mereka tidak boleh jaga, jadi jangan haraplah mereka dapat menjaga jalan itu dengan baik. Mereka tidak peduli nyawa rakyat jadi taruhan atau kenderaan orang ramai rosak. Yang mereka tahu dapat gaji setiap bulan. Sampai masa bersara dapat wang persaraan. Kemudian dapat pencen setiap bulan. Tidak rasa bersalah ke? 

Ya memang benar rakyat melalui jalan itu tidak membayar tol. Perlu diingat, setiap kenderaan yang menggunakan jalan raya kami membayar cukai jalan. 

Negara kita adalah negara yang berhujan. Jalan itu pula gelap pada waktu malam. Dengan keadaan jalan raya yang begitu, risiko untuk berlaku kemalangan sangat tinggi. 

Di bawah ini beberapa gambar yang sempat saya rakam petang semalam ketika dalam perjalanan dari Bukit Mertajam ke Kota Bharu. Sebenarnya banyak lagi gambar yang boleh saya rakam. Tetapi keadaan tidak mengizinkan untuk saya berhenti kerana faktor keselamatan jalan raya, dan kebetulan petang semalam ada gajah keluar di tepi jalan. 

Saya mencadangkan agar Menteri Kerja Raya dapat merasai pengalaman ‘menarik’ di jalan tersebut dengan berkereta dari Gerik ke Jeli. Bawa bersama Pengarah JKR Perak. Jangan guna kereta mewah yang mempunyai suspensi bagus. Guna saja kereta yang digunakan oleh rakyat kebanyakkan. 

Bercakap pasal cara kakitangan kerajaan bertugas, saya teringatkan satu video yang pernah tular di media sosial bulan lepas. Apabila rakyat pergi ke pejabat kerajaan, pejabat kosong. Pegawai itu tiada, pegawai ini  cuti. Apabila berlaku gempa bumi, penuh berlari turun ke kawasan lapang untuk menyelamatkan diri. 

Ini soal keselamatan dan nyawa orang ramai. Kita kena sama-sama bertindak. Kita tidak mahu melihat kanak-kanak menjadi anak yatim kerana bapa mereka pemandu lori yang mengangkut barang dari Pulau Pinang ke Terengganu meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan di jalan ini akibat dari jalan yang rosak. 

Kita juga kasihankan Abang Rahman yang terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk menukar tayar dan lower arm kereta Perodua Alza beliau sebaik beliau pulang ke Tanah Merah dari menghantar anaknya ke MRSM Kuala Kangsar. 

Oleh yang demikian saya mohon rakan-rakan untuk sama-sama memanjangkan masalah ini kepada pihak-pihak yang anda kenal yang ada kuasa untuk memperbaiki keadaan.

Kredit: Facebook Mohd Faisal