Assalamualaikum. Apa dah jadi dengan kita? Hari raya dijadikan hari untuk menghakimi dan mengadili orang lain.

Yang beri duit raya sedikit, kita kata dia kedekut. Sedangkan infaq dan sedekah orang tu kita tak tahu. Kita boleh bersyukur, tapi pilih untuk mengeji.

Yang ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak dalam English, kita pandang sinis. Kata mak ayahnya dulu English pun fail sedangkan itu memang bahasa komunikasi mak ayah dengan anaknya di rumah. Itu bentuk latihan bagi anak-anak mereka. Siapalah kita nak tentukan? Kita boleh biarkan mak ayah didik anaknya sendiri dengan cara mereka, tapi kita pilih untuk sentap.

Yang bawa pulang kereta besar dan mahal dikatakan mahu menunjuk-nunjuk. Jika tidak dicanangkan itu kereta sewa, dihebohkan dengan hutang 9 tahun. Parking sana dikatakan berlagak. Parking sini dikatakan bermegah. Sedangkan itu memang kenderaan dia, dibeli untuk keluarga mereka, atas hasil titik peluh mereka mencari rezeki. Kita boleh tumpang gembira, tapi kita pilih untuk kotorkan pandangan dengan hati yang busuk.

Yang nampak kilauan-kilauan emas di jari dan tangan dikatakan menunjuk kekayaan. Sedangkan itu ialah perhiasan dan aset yang terkumpul atas penat lelah menyimpan dan mencari rezeki. Waktu mereka susah dan kelam, kita pejam mata. Waktu bersinar, kita rasa mata kita buta sebab terlalu menyinar. 

Kadang-kadang, tak perlu emas banyak pun kita dah rasa tak senang duduk. Itu tandanya masalah hati. Kita boleh pilih untuk seronok tengok hasil usaha orang lain, tapi kita pilih untuk sakit hati.

Yang upload gambar keluarga mereka bergembira di hari raya pun kita panas hati. Letak caption bahagia itu simpan untuk diri sendiri, penyakit ain dan sebagainya. Memori manis keluarga orang lain tapi kita yang nak masamkan dengan hati yang busuk. Penyakit ain itu datangnya dari hati sendiri. Tapi tak sedar diri, sibuk ingatkan orang lain. Kita boleh seronok tengok orang gembira tapi kita pilih derita.

Pokok pangkalnya diri kita, tapi semua orang kita salahkan. Hari kejayaan yang sepatutnya diraikan, dipenuhi dengan bisikan-bisikan busuk dalam hati dan akhirnya ke media sosial.

Tak perlu jadi kalkulator untuk rezeki orang lain. Tak perlu jadi ahli nujum untuk menilik masa depan orang. Tak perlu jadi ahli sejarah untuk mengungkit segala kelemahan lalu.

Tenanglah. Bergembiralah di atas kegembiraan orang lain. Percayalah yang kita tak tahu apa orang lain lalui. Berhentilah mengadili dan menghakimi. Raikan hari raya dengan hati yang ikhlas. Bukan senang nak bersua muka. Setahun belum tentu sekali.

Semoga dapat mendetikkan sesuatu.

#BroOhsem

17 Comments

  1. hari raya hari utk bergembira..

    ReplyDelete
  2. so true..ada je yg x kena & x betul kan? tak salah kalau doakan yg baik2 & huznuzon... Selamat hari raya, maaf zahir batin

    ReplyDelete
  3. Manusia. Selamanya tidak akan pernah puas dengan apa yang orang lain miliki. Yang orang lain buat. Yang orang lain dapat. Walhal itulah rezeki mereka. Kan berberbeza, rezeki antara kita.

    ReplyDelete
  4. Selamat Hari Raya Abam Kie. Betul tu, rezeki setiap orang lain2.

    ReplyDelete
  5. hmm sesuka hati ja ya dosa tu

    ReplyDelete
  6. Orang yang macam ni, kan Abam Kie, tak pernah mencermin diri sendiri sebenarnya.

    ReplyDelete
  7. mama setuju. jadikanlah sebagai masa yg suai utk mengeratkan silaturahim

    ReplyDelete
  8. Semua terletak pada diri kita kan. Bersihkan hati yang penting

    ReplyDelete
  9. raikanlah perayaan kita ini..bergembira dan bersyukur..

    ReplyDelete
  10. Semua berbalik kepada seketul daging yang bernama hati..

    ReplyDelete
  11. Hari raya untuk semua menyambutnya
    Cara meraikannya tak sama

    ReplyDelete
  12. Doa yang baik2 untuk mereka supaya diberi hidayah.

    ReplyDelete
  13. sikap manusia yg tak penah habis
    cepat menilai dan bercakap
    insyaallah moga dijauhkan .....AAMINNN

    ReplyDelete
  14. Raya kali ni banyak betul post mengkritik orang.

    ReplyDelete
  15. Betul tuh, setelah dua tahun tak raya, camni pulak gayanya ek. Raikanlah kegembiraan memasing... ❤️

    ReplyDelete
  16. memang wujud je manusia yang ginikan..sejenis yang ada rasa iri kat hati. camna ntah nak cakap

    ReplyDelete
  17. itulah. letak gambar keluarga pun kata kita nak menunjuk-nunjuk cantik pada lelaki ajnabi. banyak nau isu raya 2022 ni. tenang-tenang sudahlah

    ReplyDelete

Thanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.