Assalamualaikum. Teringat semasa zaman remaja di kampung dulu sekitar pertengahan tahuan 80an, Abam Kie dan kawan2 ada menangkap belalang padi semasa musim monsun. Pada musim banjir sebegitu kami sukar mencari makanan ringan atau snek apatah lagi bila tinggal di kampung. Perut pula lapar. Selain daripada ubi kayu, ubi keledek, jagung, kacang tanah dan pulut, belalang juga boleh dimakan sebagai snek lazat pada musim banjir.

Baru-baru ini heboh diperkatakan belalang padi atau nama saintifiknya Chortophaga viridifasciata semakin digemari kerana mempunyai rasa yang enak dan kini mula popular ia malah dijual hingga RM70 sekilogram. 

Abam Kie sempat menemubual satu pasangan suami isteri bernama Muhammad Salleh berumur 64 tahun dan isterinya iaitu Azizah Mat Jusoh berumur 59 tahun yang menjual belalang padi atau belalang perah. Mereka mendakwa permintaan terhadap serangga kecil itu sentiasa tinggi malah habis dijual tidak sampai dua jam di pasaran. Mereka juga mengakui belalang yang mereka jual ini adalah dicari sendiri dan ada sebahagiannya dibeli daripada penduduk yang mencari belalang di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan. 

Apa yang penting bagi dia adalah dimana dia perlu juga mendapatkan bekalan dari pelbagai sumber bagi memastikan bekalan sentiasa ada untuk dipasarkan di pasar tani Kuala Besut setiap hari Jumaat dan Isnin. Dakwanya lagi memang mudah untuk mendapatkan belalang padi ini terutama pada musim hujan monsun. Ini kerana pada musim ini belalang memang 'tidur' sahaja dan kurang aktif untuk mencari makanan kerana ia perlukan matahari dan suhu agak hangat.

Memang agak unik apabila harga belalang ini telah mencecah sebanyak RM70 sekilogram dan makanan belalang padi ini adalah memang sedap dimakan. Jualan di warung mereka ini pun hanya beroperasi pada hari Jumaat dan Isnin. Menurut beliau lagi belalang ini dijual dengan harga RM10 bagi 100 gram dan RM70 untuk satu kilogram. Muhammad yang mula menjual belalang di pasar berkenaan sejak September 2018 mendakwa belalang tersebut boleh didapati dengan kuantiti yang banyak di rumput menerung dan di kawasan sawah selepas waktu hujan. Dakwanya lagi, belalang boleh ditangkap antara 8 malam hingga 12 tengah malam melalui dua kaedah terbaik iaitu dengan menangkap seekor demi seekor menggunakan tangan ataupun menebar jaring yang diperbuat daripada guni. 

Selepas belalang padi ini ditangkap maka belalang itu akan direndam di dalam air dimana ia kemudian akan melalui proses menggoreng seketika sehingga warna hijau belalang bertukar kemerah-merahan sebelum dijual. Dari pengalaman beliau biasanya sebelum dimasak maka penting agar semua belalang ini masih perlu disiang dan dibersihkan sekali lagi. Memang belalang akan mempunyai sistem perkumuhan tersendiri yang mana ia perlu dibersihkan sebelum dijadikan makanan. Walau pun kerja ini nampak agak rumit tetapi pengalaman dan kesabaran beliau membolehkan kerja ini dibuat dengan teliti.

Setelah siap maka ia akan dihidangkan kepada pelanggan dimana jika dilihat beginilah rupa belalang beras yang telah siap digoreng untuk dijual kepada peminat makanan eksotik yang sempat dirakam di Pasar Minggu Kuala Besut, Besut, Terengganu. Biasanya cara untuk menyiang belalang ini kita hanya perlu membuang bahagian sayap dan bahagian kateh (kaki belakang untuk melompat) sahaja. Kemudian barulah belalang ini boleh dimasak mengikut cita rasa yang diingini sama ada dimasak rendang, masak kerutuk mahupun paling mudah digoreng dengan garam kunyit sahaja. Kini warga emas itu yang mengakui turut menggemari belalang tersebut berkata ia sesuai digandingkan bersama nasi dan pulut sudah mengetahui rupanya memang telah ada ramai yang meminati memakan belalang kunyit istimewa yang kaya dengan sumber protin ini. 

Sebenarnya makanan seperti belalang, lipas, jengking, semut, kerengga dan beberapa serangga lain sudah lama popular di negara jiran seperti Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam sebagai makanan yang dijual dan  digemari orang di negara tersebut. Abam Kie sempat berbual dengan seorang peminat tegar makanan eksotik itu bernama Che Ismail Rajab berumur berusia 63 tahun dan dia telah berkata dimana belalang adalah makanan kesukaannya sejak zaman dahulu namun sukar didapati dan bermusim. Dakwanya lagi pada masa dulu-dulu belalang ini dijadikan makanan kerana sumber makanan tidak banyak seperti sekarang. Kini makanan eksotik seperti ini sukar diperoleh dan hanya dijual di sesetengah tempat sahaja.

Jadi apa lagi? Jom kita makan belalang?