Pada minggu lepas saya telah berkunjung ke Kedai Buku Banggol, Tanah Merah, Kelantan untuk meninjau mana-mana buku terbaharu yang menarik untuk dibeli. Selalunya kunjungan saya ke kedai buku akan berakhir dengan pembelian sekurang-kurangnya sebuah buku. Apabila masuk ke dalam kedai saya tertarik untuk ke rak buku agama dan terpandang dua buah buku kompilasi soal-jawab agama Ustaz Azhar Idrus. Memang saya mengikuti ceramah beliau di youtube dan Astro Oasis kerana bagi saya dia adalah seorang tokoh agama yang berwatakan selamba, humor dan berani menyampaikan kebenaran menjadikan beliau disegani dan mudah didampingi oleh sesiapa sahaja. 

Baiklah, saya tak mahu berceloteh panjang. Buku pertama Ustaz Azhar Idrus yang saya beli bertajuk 'Anda Bertanya; Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Semasa' terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd. Buku ini berharga RM15 dan selepas diskaun 20%, harganya ialah RM12 sahaja. Buku ini menjawab persoalan-persoalan semasa yang sering dihadapi oleh umat Islam dan ada juga persoalan yang rumit yang mencabar pemikiran seseorang menjawabnya. Segala soalan dihimpun oleh penulis hasil soal jawab orang ramai kepada Ustaz Azhar Idrus. 

Manakala buku kedua pula bertajuk 'Anda Bertanya; Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Umat' yang berharga RM25. Harga selepas diskaun ialah RM20 sahaja. Buku ini adalah kesinambungan daripada buku yang pertama. Ia disusun melalui himpunan soalan-soalan dari masyarakat umum tentang kekeliruan yang dihadapi dalam kehidupan seharian mereka. 

Selain daripada itu, buku ini juga mengupas persoalan dalam kehidupan umat Islam yang merangkumi aspek berikut: taharah, wuduk, Al-Quran, soalat, jual beli, pembahagian harta, zakat, puasa, hudud, semebelihan, akikah, wanita, halal haram dan isu semasa. 

Jadi apa lagi kawan-kawan yang beriman sekalian? Cepatlah beli dua buah buku ini sebelum terlewat. Apalah sangat nilai wang yang ada berbanding dengan ilmu yang bakal kita akan dapat, kan? Boleh juga didapati di kedai-kedai buku utama seperti Popular, MPH, Kinokunuya dan Kedai Buku Mamak!