Panduan Kepada Anak-Anak Yang Nak Jadi Doktor
Buat anak-anak dan ibubapa yang punya impian anak jadi doctor boleh jadikan panduan..
“Tak payahlah jadi doktor. Jadi doktor ni tak ada life!”
Kalau kalian tanya seorang doktor, apa persediaan yang perlu dilakukan untuk menjadi seorang doktor, inilah antara jawapan yang biasa doktor akan jawab.
Ramai doktor jawab begitu sebab profesion ni memerlukan komitmen dan pengorbanan yang agak tinggi. Ia akan banyak merampas masa, perhatian, kebajikan dan tenaga seseorang.
Tapi saya pasti, ramai ibubapa dan pelajar diluar sana masih nak tahu apa persediaan yang perlukan untuk mendaki laluan menuju profesion ni.
Saya tulis ni, cenderung untuk pelajar sekolah menengah atau ibu bapa yang ada anak yang ada impian untuk jadi doktor.
HARAPAN/TANGGAPAN:
— Profession ni seringkali dilihat sebagai pekerjaan berprestij, dihormati dan berpendapatan tinggi. Nampak seronok belajar di luar negara. Ada benarnya, namun sangat sukar sampai ke tahap itu.
— Prestij doktor terletak hanya pada sijil, hakikatnya doktor bergelumang dengan najis, darah, nanah, hingus, muntah, kahak dan segala apa jua kekotoran. Maka harus pastikan boleh hadapi benda-benda ni.
— Sebelum dihormati, doktor akan melalui saat-saat paling hina dalam hidup mereka. Dimaki pesakit, dimarahi superior, disindir petugas lain. Tak semua orang mampu tahan dugaan ini.
— Tak semua dapat peluang belajar luar di negara. Belajar di luar dugaannya sangat besar: ada terjebak dengan aktiviti kurang sihat. Ada pula yang ada masalah urus hidup dan kewangan.
— Ya, pendapatan doktor agak tinggi. Bermula sekitar RM5000 ringgit. Namun kos mengambil jurusan perubatan boleh mencecah RM1juta. Jika ia pinjaman, bayangkan berapa pula bayaran bulanan.
— Masa bekerja doktor pun agak panjang. Kalau on call, boleh mencecah 36 jam berterusan. Tinggalkan keluarga. Tinggalkan kawan-kawan. Ada pula yang ditinggalkan kekasih. Hahaha!
OK, pelajar dan ibu bapa perlu mengambil kira hal ini. Bukan disandarkan pada pencapaian akademik sahaja.
PERSEDIAAN ASAS:
1— Akademik: seperti yang kalian tahu, untuk mendapatkan tempat dalam jurusan perubatan pencapaian akademik perlulah sangat baik.
Selain untuk dapat tempat, ia juga salah satu kriteria yang menentukan sama ada pelajar itu layak mendapat tajaan atau pinjaman.
Maka cuba untuk dapatkan pencapaian yang paling maksimum untuk Bahasa Inggeris, Biologi, Kimia, Fizik, Matematik Tambahan.
2— Sukan: Ramai pelajar yang nak jadi doktor hanya tumpukan pada akademik dan abaikan sukan. Hakikatnya, doktor perlu cergas dan berstamina tinggi.
Kerja 12-36 jam tanpa henti. Berjalan ke sana sini. Naik turun tangga. Angkat pesakit. CPR pesakit dengan tekan dada 100 kali seminit, selama 30 minit. Kalau tak cergas, pasti kecundang.
Di sekolah, pastikan kalian aktif dalam aktiviti sukan. Sertai apa-apa acara sukan. Beriadah setiap hari. Mula bina kecergasan dan stamina dari bangku sekolah. Kalian amat perlukannya.
3— Persatuan: Pegang jawatan dalam unit beruniform. Belajar pegang tanggungjawab. Bila kalian jadi doktor, kalian akan pegang jawatan dalam pengurusan jabatan. Kena uruskan pelbagai program.
Sertai kelab pidato, debat, catur, penulisan, seni, choral speaking, dan sebagainya. Pupuk kemahiran berkomunikasi dan kemahiran motor.
Doktor kena beri ceramah, kena jawab temuramah. Jadi kena biasakan diri bercakap di khalayak ramai. Selain itu doktor perlu banyak lakukan prosedur rumit, jadi kawalan motor halus itu penting.
4— Pengetahuan Am: Ini perkara yang selalu diabaikan oleh pelajar. Ramai yang hanya belajar apa yang di dalam silibus sahaja. Ini tak cukup untuk jadi seorang doktor.
Seorang doktor perlu ada pengetahuan am yang luas, kerana ia kerjaya yang melibatkan berkomunikasi dengan pesakit yang pelbagai latar belakang dan pekerjaan.
Pengetahuan am yang luas, membantu doktor memahami pesakit dan penyakit. Ia juga memudahkan doktor mendapat kepercayaan dari mereka yang dirawat.
KESIMPULAN:
Dalam perubatan, seorang doktor perlu merawat pesakit bukan penyakit. Ia dua hal berbeza.
Merawat seorang pesakit, doktor kena mempertimbangkan hal sosioekonomi, emosi, agama, budaya, pekerjaan, dan kebajikan pesakit.
Siapa yang ingin jadi seorang doktor perlu gunakan semua kemahiran yang ada untuk mencapai matlamat ini. Jadi, perlulah bina semua kemahiran itu dari awal.
Kerjaya doktor ini juga memerlukan ketahanan fizikal, mental dan emosi yang sangat tinggi. Doktor mesti risilien, mesti mampu galas tanggungjawab, kerana dia menguruskan kesihatan dan nyawa seseorang.
Pelajar perlu tahu hakikat ini, dan bersedia untuk hadapinya. Ibubapa pun perlu tahu, dan tak usahlah paksa anak jadi doktor jika mereka tak berminat.
Doktor-doktor pula, tak usahlah beri jawapan yang tak galakkan pelajar untuk jadi doktor. Berilah galakkan, dan beritahu situasi sebenar. Biar pelajar nilai sendiri.
OK, itu sahaja buat kali ni. Semoga kalian menjadi doktor cemerlang yang berkhidmat untuk masyarakat!
Credit penulis: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Sibuk, tapi ada kehidupan.






12 Comments
Kalau boleh,memang nak anak kerja yang membantu orang ramai...lagi² kalau niat kita betul..MasyaAllah, tak terbayang pahala nya..apa pun, semoga doktor² yang ada sekarang terus cekal dan tabah... aamin
ReplyDeleteApa yang abang kie tulis benar semata-semata, nak kongsi kami dikelilingi gang doctor-doctor. Semua mengeluh, ada yang masih menunggu utk buat hseman di hospital, jangka masa menunggu bukan sebulan dua tetapi ada yg sudah 2 tahun belum mendapat panggilan dari hospital.
ReplyDeleteAnak-anak yang nak mengambil jurusan ini perlu fikir berkali-kali, semasa dalam pengajian semuanya bagus, selepas tamat dan masuk kehospital maka kehidupan hitam putih barulah kita ketahui yang sebenar-benar, tambahan pula skrg sudah tiada tajaan dari mana-mana badan. Kosnya sangat tinggi. Universiti swasta juga bagai cendawan tumbuh yang menawarkan course ini, maka penawaran melebihi permintaan. End up anak-anak ini kemana nasib mereka.
Ada satu kisah kawan anak saya, dia mengambil jurusan perubatan. Semasa pemilihan jurusan, ibunya telah menasihatkan beliau utk memilih jurusan lain kerana ibunya seorg doktor. tetapi si anak berkata, dia ingin meneruskan legasi ibunya. selepas habis belajar, dia telah membuat hseman, maka bermulalah kehidupan sebenar ....banyak ranjau yang beliau tempuhi dan dalam masa yg sama terpaksa mengambil ubat penenang....
Sekadar pandangan dari orang-orang sekeliling saya.....
tu lah kerjaya kehidupan sbg seorang doktor tak mudah.. perlu fokus lebih utk berjaya..
ReplyDeleteMasa saya jaga anak di hospital dulu saya nampak doktor tu pakai baju semalam, dah lebih 24 jam. Saya tanya, doktor belum balik lagi ke? Senyum kelat je dia.
ReplyDeleteJika berminat.... In shaa Allah niat yang baik Allah akan bantu dan gantikan sesuatu yang baik...semoga menjadi panduan buat anak-anak yang bercita-cita nak jadi doktor
ReplyDeletesy pernah terbaca satu artikel (hasil temuramah). ketika disoal, kenapa pilih jd doktor O&G? then dr. wanita ni jawab, sy nak penuhi tuntutan agama. sy nak jadi doktor O&G dan pada masa sama nak jaga maruah wanita meskipun mereka sedang sakit & bertarung dgn kematian...
ReplyDeletesy harap ibu bapa trs kan sokongan kalau anak2 nak jd doktor lbh2 lg yg perempuan nak jd dr O&G. dr. dan pakar O&G wanita dalam negara kita tak ramai...
ada kawan anak kak ambil kursus doktor medic tapi kerja pegawai tadbir
ReplyDeletePerlu tanggung jawab yang tinggi..ikhlas menabur bakti..anak saya Doktor..tak kira masa jika tugas memanggil ..larut malam ke hospital kecemasan..tabik hormat doktor kita di mana juga ..
ReplyDeleteNak jadi doktor kena pandai sekolahlah
ReplyDeletekalau dah minat..ok je semua. doctor satu profession yg baik & mulia.
ReplyDeleteAnak sulung sy thn dpn spm, dia nk jd doktor, sy tgh alihkan perhatian dia spy x ambik medic.. ehehehe.. biarlah ambik farmasi ke, dental ke, jgn medic.. entah la risauu... hehehe
ReplyDeletekerjaya doktor sangat mencabar. tapi kesian tengok doktor2 KKM di Malaysia ni dah ramai yg lari pergi swasta
ReplyDeleteThanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.