Hari Raya Aidil Adha baru saja berlalu. Seperti biasa sambutan kali ini kurang meriah berbanding Hari Raya Puasa tetapi jauh lebih meriah berbanding dengan negeri-negeri lain. Pada 9 Zulhijjah saya berpuasa sunat wukuf Arafah buat pertama kalinya. Selepas solat Asar saya dan anak-anak pulang ke kampung di Machang, Kelantan. Kami berhimpun di rumah kakak kedua. Selepas berbuka puasa saya melayan karenah anak-anak. Selepas Isyak kakak sulung dan keluarga dari Dungun, Terengganu pun sampai. Meriahlah sikit bila mereka ada bersama.

Pada pagi Hari Raya saya dan abang ipar menunaikan solat sunat Aidil Adha di Masjid SMKA Wataniah, Machang. Selepas solat saya kembali dan mengambil sedikit sarapan. Selepas itu saya tidur kerana pada pagi raya saya terjaga sejak jam 4.30 pagi. Bila bangun jam 1.30 pm makanan sudah siap. Kakak-kakak saya memasak daging singgang, daging goreng dan air asam perut lembu. Kakak kedua memang melaksanakan ibadah korban setiap tahun. Berselera sungguh saya makan kerana sangat lapar pada saat itu.

Pada keesokan harinya saya cuma lepak di rumah akak saja. Pada jam 10 pagi anak saudara dan keluarga dari Dungun sampai. Selepas itu kakak sulung dan keluarganya pergi menghadiri majlis aqiqah sepupu kami yang mendapat anak lelaki 9 bulan yang lalu. Dia telah mengorbankan dua ekor kambing. Saya dan anak-anak juga menyusul kemudian. Di rumah ibu saudara kami, menu yang dihidangkan ialah gulai kerutub (rendang) kambing, gulai daging campur buah ara (ini hidangan wajib keluarga kami bila membuat kenduri), singgang ikan tongkol, ikan rebus goreng dan pajeri nanas. 

Selesai menjamu selera saya dan anak-anak kembali ke kediaman kami di Tanah Merah. Selepas itu mummy datang mengambil anak-anak ke rumahnya. Pada malam itu saya keluar dating dengan kawan perempuan di Medan Selera. Mujur tak ada orang yang perasan! 

Pada hari raya ketiga sekolah saya mula dibuka biarpun sekolah-sekolah lain masih ditutup. Sedih tul. Tapi demi tugas saya gagahi kaki ini ke sekolah. Kehadiran murid-murid pada hari Khamis itu sangat merudum. Cuma 200 orang yang hadir daripada 1100 murid! Sabar je lah. OK, begitulah kisah sambutan Hari Raya Aidil Adha bagi saya pada tahun ini. Wassalam.