Minggu lepas keputusan SPM keluar. Ramai yang berjaya. Alhamdulillah.

Namun dalam tidak sedar, dalam ramai yang senyum tertawa bergembira, banyak jiwa yang telah dibunuh tanpa sedar oleh masyarakat. Pada tahun 2020, kita masih lagi membicarakan bilangan A yang diperolehi pelajar. Pelajar-pelajar banyak A ini akan diraikan seluruhnya. Naik ke pentas, dijulang namanya seterusnya dibawa ke media sosial tidak kira oleh organisasi sekolah, guru, ibubapa, jiran tetangga sehinggalah mak saudara musim buah. Semua turut berbangga. Menjadi lumrah, kejayaan ini perlu diraikan. Maslow juga mejelaskan tentang keperluan penghargaan diri di tahap keempat dalam teori keperluannya.

Apa pula jadi kepada pelajar yang tiada A? atau A nya sikit? Atau yang sekadar lulus. Adakah mereka ini akan gagal seluruhnya dalam kehidupan? Adakah mereka ini tidak perlukan sedikit kasih sayang dengan penghargaan?

Jiwa-jiwa ini sebenarnya sedang dibunuh kita semua tanpa sedar. Kita sering berbicara tentang mereka yang dapat banyak A.

Bolehlah lepas ni pergi Universiti, mohonlah JPA, boleh ke luar negara dan macam-macam lagi nasihat dan perangkaan masa hadapan kita berikan sebab banyak A.

Siapa yang menulis di media social tentang apakah laluan yang ada untuk mereka yang tiada A? Walaupun hakikatnya masih banyak institusi pendidikan lanjutan yang disediakan untuk mereka seperti IKM, IKBN, KPTM, Giat Mara.

Pada masa ini mungkin ada antara pelajar ini yang tidak keluar dari rumah, memeruk didalam bilik menangisi masa depan di bucu katil. Pergi ke sekolah, nama tidak disebut kerana tidak dapat banyak A. Ambil slip dan balik. Tiada siapa ajak bergambar. Balik ke rumah ibu bapa pula acuh tak acuh kerana tidak seperti anak jiran sebelah yang keputusannya 700 A. Tidak cukup dengan itu, di media social juga sama. Ditikam-tikam jiwa dan emosi dari segala genap.

Buka media social cikgu Laila upload gambar bersama kawan-kawan yang sama-sama belajar dalam satu kelas di sekolah dulu. Tapi tidak dirinya.

“Alhamdulillah dah jadi orang semuanya”

Yang bergambar pula memegang segala jenis kertas warna warni dengan kasta tersendiri. 10A, 9A, 8A, 7A. Dikastakan mengikut bilangan A.

Scroll bawah sikit, Ziana, crush masa kat sekolah dulu upload gambar tayang slip peperiksaan 5A. Sama-sama belajar dulu tidak kira kemana berdua. Semakin malam menjelma, semakin tertekan hanya kerana keputusan peperiksaan tiada A atau A dia sikit.

Belum dikira kawan-kawan bergurau sebab bilangan A yang tak banyak tadi walaupun hakikatnya telah berusaha bersungguh-sungguh.

Pelajar yang tiada A terus hilang dari pandangan semua. Ada yang mungkin tak kisah dengan keputusannya. Tetapi ada yang sangat kisah dan sangat peduli. Misalnya pelajar yang menjawab peperiksaan dalam keadaan demam, masalah peribadi yang mengacau jiwa hingga hilang fokus.

Mungkin ada yang mampu bangkit setelah ditikam dari segenap arah kehidupan kerana tiada A didalam slip peperiksaan SPM. Mungkin ada yang akan terus tenggelam kerana tiada tangan yang sudi menyambut.

Aku personally bukan pelajar cemerlang dalam SPM. Tiada A pun. Malahan ada juga subjek yang gagal. Bila kawan-kawan bercerita tentang Matematik Tambahan, aku membalas matematik biasa pun ada yang aku tak faham.

Adakah orang-orang macam aku bodoh, bukan manusia, tiada kehidupan?

Adakah murid-murid yang mengambil keputusan SPM semalam yang macam aku langsung tiada hala tuju masa depan?

Sampai bila A dalam SPM menjadi kayu ukur untuk diberi penghargaan?

Sampai bila A dalam SPM menentukan kemanusiaan?

Sampai bila A SPM menjamin kejayaan di masa hadapan?

Sampai bila jiwa-jiwa seperti ini akan terus dibunuh hanya kerana A dalam SPM?

Aku terpanggil untuk menulis sedikit pasal perkara ni akibat dari perbincangan dan persoalan dalam group whatsapp dengan beberapa rakan guru senior.

Tidak salah untuk diraikan mereka yang berjaya, tidak sekalipun aku nyatakan ia satu kesalahan.

Tapi ada satu persoalan yang diutarakan seorang rakan,

"Pernah tak kita raikan pelajar yang berusaha seperti pelajar cerdas lain hanya untuk lulus?"

Credit to Shah Rafi

*Ini adalah pandangan peribadi sebagai bekas pelajar SPM yang melihat dunia dari sudut yang berbeza.