Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat melepak dan bertemu kekasih. Setiap tempat tumpuan tentu sekali menjadi ingatan kepada mereka yang pernah ada peristiwa dan kenangan di situ. Di Kota Bharu, Kelantan satu tempat yang menjadi lokasi atau destinasi kenangan bagi kebanyakan rakyat Kelantan ialah Stesen Bas Kota Bharu.

Stesen Bas Kota Bharu antara bangunan batu tertua di Kota Bharu. Lama sungguh stesen bas ni, sejak tahun 1947 lagi. Sejarah stesen ini bermula bila North Eastern Transport Services (NETS) milik bumiputera buka syarikat pengangkutan untuk Kelantan.

Mula-mula laluan bas ini beroperasi kawasan berhampiran bandar Kota Bharu sahaja. Perkhidmatan antara bandar yang terletak jauh tidak dapat dilakukan kerana keadaan jalan yang tidak elok.

Antara jenis bas terawal yang digunakan ialah "mosquito bus". Jenis itu dianggap terbaik pada ketika itu. Masa berubah, pekhidmatan basa semakin penting untuk membawa penumpang ke Kota Bharu. Syarikat semakin berkembang dan bilangan bas ditambah selari dengan peningkatan penggunaan.

Pada 1967, nama NETS ditukar kepada nama Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK). SKMK masih kekal sehingga sekarang.

Biarpun operasi bas di Kota Bharu telah bertambah dan memerlukan stesen bas lebih luas dan selesa, Stesen Bas Kota Bharu masih kekal untuk kegunaan antara bandar dalam Kelantan.

Stesen bas ekspres untuk perjalanan jarak jauh pernah beroperasi di Langgar dan Jalan Hamzah. Kedua-dua stesen bas itu telah ditutup dan kini hanya beroperasi di Stesen Lembah Sireh.

Stesen Bas Kota Bharu masih beroperasi sehingga sekarang biarpun tidak lagi popular seperti dahulu. Sekarang ramai orang ke Kota Bharu menggunakan kenderaan sendiri sama ada kereta atau motosikal. Ini berbeza pada masa dahulu kebanyakan orang ke bandar Kota Bharu hanya menggunakan perkhidmatan bas.

Dahulu, stesen bas itu menjadi tumpuan untuk bertemu. Turun dari bas, mereka akan berada di situ untuk menunggu rakan. Bahkan, ada yang sengaja berada di situ untuk mencuci mata. Sebab itu, biarpun ada bas untuk pulang, ada yang sanggup menangguhkan perjalanan dan menanti trip seterusnya.

Stesen Bas Kota Bharu menjadi saksi pertemuan kekasih dan ada yang mula bertemu di situ. Kedudukan stesen bas itu di tengah-tengah bandar Kota Bharu. Jadi, pengguna mudah untuk melakukan urusan seperti membeli belah, urusan bank dan pejabat kerajaan dengan hanya berjalan kaki dari stesen bas itu.

Pada masa dahulu, hari paling sibuk di Stesen Bas Kota Bharu ialah pada hari Khamis dan Sabtu. Pada hari Khamis kerana kerja separuh hari. Manakala pada hari Sabtu, biarpun hari kerja tetapi untuk golongan muda yang masih belum bekerja, hari Sabtu adalah hari berhibur.

Pada hari Sabtu di bandar Kota Bharu meriah macam pesta. Masing-masing mengambil peluang turun ke Kota Bharu. Perkhidmatan bas memang penuh. Ada yang sanggup turun awal semata-mata agar tidak terlepas untuk berada di bandar Kota Bharu pada masa dijanjikan.

Sesiapa yang sesat di dalam bandar Kota Bharu dan sukar untuk mencari stesen bas, petuanya mudah sahaja. Dongok di atas dan carilah menara pemancar kepunyaan Telekom Malaysia yang kedudukannya berhampiran dengan stesen bas. Masa dahulu pemandangan tidak terhalang kerana tidak terdapat banyak bangunan tinggi.

Bangunan Stesen Bas Kota Bharu yang masih kekal dan tidak berubah seperti mula dibina dahulu kini dianggap sebagai 'monumen sejarah' denyut nadi Kota Bharu dan menjadi ingatan seluruh warga Kelantan terutama generasi lama yang pernah menggunakan perkhidmatan bas.

Sumber: bicaramentari.blogspot.com