*Hari Ini Saya Baik, Nanti Cikgu Beritahu Mak?’ Soalan Murid Nakal Yang Mengubahku*

 "Cikgu..!” sapanya.

“Semalam saya kena rotan dengan mak saya”, sambungnya membuatkan saya memusingkan badan lalu duduk betul-betul mengadapnya.

“Rotan kat mana?”soal saya ingin tahu.

“Kat sini” sambil dia menunjukkan lengannya yang kecil itu. Ya. Masih ada bekasnya. Kuat barangkali dirotan ibunya.

“Sakit ke?”soal saya simpati.

Dia mengangguk berkali-kali.

“Menangis?”tanya saya lagi.

Sekali lagi dia mengangguk.

“Kenapa mak rotan?”soal saya sambil menggosok-gosok lengannya yang masih berbekas.

“Mak saya marah sebab saya xxxxxxx di sekolah.” Balasnya.

Ya. Memang minggu lepas saya menangkap Adam dan beberapa orang rakannya kerana melakukan kesalahan di sekolah.

“Macamana mak saya tahu cikgu? Cikgu bagitahu mak saya ke? Soalnya ingin tahu.

“Ya Adam, cikgu terpaksa beritahu mak Adam.”

Dia menundukkan kepala sambil airmatanya kulihat minitis. Melihat contengan yang dibuat dengan pensilnya sejak dari tadi. Saya masih membelek-belek birat-birat tebal di lengannya.

“Cikgu!”sapanya lagi.

“Hari ni saya baik cikgu. Nanti cikgu bagitahu mak saya tak?”

Soalannya betul-betul membuatkan saya terdiam. Bungkam rasanya mendengar soalan ini.

Jujurnya sepanjang menjadi guru memang tidak pernah walau sekalipun saya menelefon ibubapa atau penjaga bercerita tentang kebaikan anak-anak mereka. Saya juga yakin ibu bapa akan berasa pelik jika seseorang guru berbuat demikian.

Hati saya pada seperti dihentak-hentak dengan keras. Anak ini seolah-olah merayu supaya diberikan keadilan untuknya.

Wahai sang guru, semalam kamu mengadu kepada ibuku tentang kenakalanku. Lalu aku terus dirotan teruk. Maka hari ini apabila aku berakhlak baik,maka sepatutnya juga diberitahu kepada ibuku agarku dipuji dan dikasihi semula ibuku.

Benar. Bukan sahaja di sekolah, malah di rumah juga begitu. Berapa banyak kebaikan anak-anak berlaku begitu sahaja di hadapan mata.

Kebaikan yang mereka lakukan seolah-olah tidak ada nilai pada pandangan mata kita. Tidak pernah kita zahirkan kegembiraan terhadap kebaikan yang mereka tunjukkan.

Tetapi seandainya anak-anak berbuat kesalahan atau perangai yang jelek, cepat sahaja kita meninggikan suara, mengherdik dan memberikan amaran.

Mungkin kerana itu kita sering melihat anak-anak membuat nakal kerana mereka tidak kita kenalkan dengan kebaikan. Marah dan herdik lebih banyak kita lontarkan kepada mereka berbanding puji dan syukur.

Aku tak mampu menjawab soalan anak ini. Aku hanya mampu terus menggosok lengannya sambil menelan rasa kesal dan sesal yang tak sudah.

Aku tidak mampu menghilangkan kesan birat pada lengannya apatah lagi calar dalam hatinya yang mengharapkan aku menunaikan haknya.

Dari dalam bilik darjah aku memerhatikan air hujan yang masih belum jemu membersihkan kesan kelabu jerebu di udara. Rahmat tuhan buat kita.

Dan rahmat itu Allah turunkan dalam pelbagai bentuk dan cara. Hari ini, rahmatNya datang dari seorang anak kecil yang dengannya membuka mata kita yang dewasa ini untuk melihat lebih banyak kebaikan.....🍃🍃🍃

Sumbangan: Cikgu Nur Imtinan 'Afiiyah binti Abdul Rahim, Hulu Tembeling, Pahang.