Setelah bercuti hampit 7 minggu maka kini sesi persekolahan bagi tahun 2013 akan dibuka. Aku dan anak-anak sudah membuat persediaan sedari awal cuti lagi kerana kami tidak mahu terburu-buru membuat persiapan terakhir.

Sesi persekolahan tahun 2013 bagiku dimulai dengan sesi mesyuarat guru, kurikulum dan panitia yang diadakan pada 26 dan 27 Dis lalu. Sebaik sahaja menerima Buku Pengurusan Sekolah 2013 perkara pertama yang kami, guru-guru lihat ialah senarai tugas yang kami terima. Syukurlah pada tahun depan bebanan tugasku sama seperti tahun 2012 dimana aku memegang tugas sebagai Setiausaha SPM, Pengurus Pasukan Olahraga Sekolah, Penasihat Persatuan Bahasa Inggeris dan beberapa tugas kecil lagi. Jumlah waktu mengajar aku ialah 21 manakala rakan-rakan aku yang lain dalam Panitia BI kena mengajar sebanyak 25 dan 26 masa. Ini sangat banyak berbanding dengan guru-guru subjek BM, Sejarah dan lain-lain. Tapi kami tidak kisah kerana kami diberi elaun BISP sebanyak 5% biarpun elaun ini juga dikenakan cukai pendapatan nanti.

Anak sulungku, Anis akan memulakan pelajaran di Tahun 4 dan dia bakal bergelar pustakawan nanti. Aku sudah membeli 3 pasang uniform untuknya. Nampaknya dia amat bersemangat untuk memulakan tugas barunya itu. Manakala anak keduaku, Alis akan memasuki Tahun 1 di sekolah yang sama dengan kakaknya. Anak aku yang kedua ini tidak sepandai kakaknya kerana dia masih merangkak-rangkak untuk membaca. Tapi aku berharap guru-gurunya nanti dapat membimbingnya sebaik mungkin. Akhir sekali, anakku yang ketiga, Alin akan terus belajar di tadika untuk tahun terakhir sebelum mengikuti jejak langkah dua kakaknya pada tahun 2014.

Apa yang aku harapkan menjelang sesi persekolahan 2013 yang bermula 1 Januari 2013 nanti, aku akan menjadi lebih produktif dan cekap dalam bidang tugasku mendidik pelajar-pelajarku dalam semua bidang sama ada di luar apatah lagi di dalam bilik darjah. Segala ilmu yang aku miliki akan dicurahkan kepada mereka agar menjadi modal insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. InsyaAllah....