Kalau Tak Kahwin, Nanti Dah Tua Siapa Nak Jaga?
“Kalau tak kahwin, nanti dah tua siapa nak jaga?”
Saya rasa ramai antara kita pernah mendengar soalan seperti ini, terutama apabila usia semakin meningkat. Seolah-olah perkahwinan menjadi satu-satunya jaminan bahawa apabila tua nanti, akan ada seseorang yang menjaga kita.
Tetapi apabila difikirkan semula, perkahwinan bukanlah jaminan penjagaan pada hari tua.
Anak-anak mungkin membesar dan mempunyai kehidupan serta keluarga mereka sendiri. Pasangan pula mungkin pergi terlebih dahulu. Ada juga yang memilih untuk hidup sendirian atas pelbagai sebab. Jadi, persoalan yang lebih penting sebenarnya ialah:
Sudahkah kita bersedia untuk hari tua?
Saya tertarik dengan satu perkongsian daripada Public Health Malaysia yang memaparkan beberapa perkara yang boleh kita persiapkan sejak sekarang.
Antaranya ialah mempunyai tempat tinggal yang sesuai, menyediakan dana untuk penjagaan, mengekalkan hubungan sosial, mempunyai emergency contact yang boleh dipercayai dan menyusun dokumen-dokumen penting.
Selain itu, perkara yang paling asas tetapi sangat penting ialah menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Semakin meningkat usia, saya semakin sedar bahawa persediaan untuk hari tua bukan sekadar tentang mempunyai wang yang banyak. Kita juga perlu mempunyai rumah yang selesa, tubuh yang sihat, hubungan yang baik dengan keluarga dan sahabat serta kehidupan yang mempunyai tujuan.
Jangan tunggu sehingga sudah tua baru hendak memikirkan semua perkara tersebut.
Rancang hari ini untuk kualiti hidup pada masa hadapan.
Anak-anak ada kehidupan mereka sendiri. Mereka mungkin berada jauh, mempunyai pekerjaan, pasangan dan tanggungjawab masing-masing.
Sebab itu, selain berharap kepada keluarga, kita sendiri perlu membuat persediaan.
Sediakan sedikit simpanan. Jaga kesihatan. Kurangkan hutang. Kemas dan susun dokumen penting. Pastikan tempat tinggal sesuai apabila tenaga sudah tidak sekuat dahulu. Kekalkan hubungan dengan saudara-mara dan sahabat. Dan yang paling penting, jangan abaikan kesihatan mental dan emosi.
Pada akhirnya, persoalan “siapa nak jaga kita bila tua?” mungkin perlu ditukar kepada:
“Apa yang sudah aku lakukan hari ini supaya aku dapat menjalani hari tua dengan tenang?”
Kita tidak tahu bagaimana kehidupan kita 10 atau 20 tahun akan datang. Tetapi kita masih boleh membuat persediaan dari sekarang.
Hidup masih bermakna pada setiap usia. Yang penting, kita bersedia untuk melaluinya.
~ Abe Kie ~
Rancang hari ini untuk kualiti hidup esok.







2 Comments
Rumah yang sesuai memang sangat penting. Rumah mesra untuk orang sakit dan juga orang tua....
ReplyDeleteGood sharing =)
ReplyDeleteThanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.