Kurikulum Prasekolah Baharu 2026: Kembali Kepada Fitrah Anak-Anak

Kalau ada yang belum tahu, biar saya kongsikan sedikit.

Mulai tahun ini, prasekolah di bawah KPM sudah mula menggunakan Kurikulum Prasekolah 2026. Tadika swasta yang berdaftar dengan kerajaan juga kebanyakannya menggunakan kurikulum ini, biasanya dengan sedikit tambahan mengikut kesesuaian mereka.

Apa bezanya dengan kurikulum lama?
Memang banyak. Tetapi ini bukan laman rasmi KPM dan KPM pun tak upah saya buat penerangan rasmi. Jadi biarlah pihak KPM yang sediakan infografik dan penerangan terperinci mereka. Saya cuma nak sentuh beberapa perkara yang paling jelas sahaja.

Lebih Banyak Masa Untuk Bermain

Perubahan paling ketara ialah masa bermain.

Sekarang, setiap hari murid prasekolah wajib bermain sekurang-kurangnya 30 minit di luar kelas. Aktiviti fizikal. Bukan bermain permainan video seperti Roblox.

Selain itu, waktu rehat juga ditambah daripada 30 minit kepada 40 minit sehari.

Bukan kerana anak-anak makan lebih banyak, tetapi kerana mereka juga diajar menguruskan banyak perkara sendiri. Contohnya:

  • Membantu PPM menyediakan makanan

  • Menghidang makanan

  • Membasuh pinggan dan mangkuk

  • Menyusun meja

  • Mengelap meja

  • Menyapu sampah

Semua ini dilakukan secara bergilir-gilir dengan sistem ketua dan jadual tugasan.

Maknanya, anak-anak bukan sekadar makan. Mereka belajar tanggungjawab, kerjasama dan pengurusan diri.

Fokus Pada Karakter dan Sosialisasi

Dalam kurikulum baharu ini, KPM menekankan tiga perkara utama:

  • Pembentukan karakter

  • Kemahiran komunikasi

  • Kemahiran bersosial

Perasan tak?
Tak ada pun dinyatakan bahawa murid prasekolah wajib pandai membaca buku.

Ini bukan bermaksud mereka tidak belajar membaca langsung. Mereka masih belajar asas seperti:

  • Mengenal huruf

  • Membatang suku kata

  • Mengenal nombor

  • Asas Bahasa Inggeris

Tetapi pendekatannya lebih santai, contohnya melalui aktiviti “baca bersama”, supaya membaca menjadi aktiviti menyeronokkan, bukan latihan yang menekan sampai anak menangis dan tidak mahu ke sekolah.

Ringkasnya, prasekolah kembali kepada fitrah kanak-kanak: belajar sambil bermain.

Fleksibiliti Dalam Jadual Pembelajaran

Jika murid-murid sudah menguasai asas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik seperti yang ditetapkan dalam kurikulum, guru prasekolah sebenarnya boleh mengurangkan atau meniadakan masa khusus untuk kemahiran asas tersebut.

Masa yang lebih itu boleh digunakan untuk aktiviti lain seperti:

  • Projek hands-on

  • Aktiviti kreatif

  • Lawatan pembelajaran

  • Aktiviti eksplorasi

Kenapa Umur 6 Tahun Boleh Masuk Darjah 1?

Di sinilah logiknya.

Jika seorang kanak-kanak sudah benar-benar bersedia — sudah boleh membaca dengan baik dan ibu bapanya juga yakin — kenapa perlu menunggu terlalu lama untuk masuk Darjah 1?

Sebab itu kerajaan membuka pilihan ini.

Kurikulum Persekolahan 2027

Tahun depan pula akan bermula Kurikulum Persekolahan 2027 untuk sekolah rendah.

Struktur sekolah rendah akan dibahagikan kepada tiga tahap:

Tahap 1 – Tahun 1 dan Tahun 2
Fokus kepada:

  • Literasi

  • Numerasi

  • Pembentukan karakter

Di sinilah kemahiran membaca dan mengira benar-benar diperkukuh.

Tahap 2 – Tahun 3 dan Tahun 4
Fokus kepada aplikasi pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari.

Pada akhir Tahun 4 akan ada satu bentuk pengukuran pembelajaran untuk melihat tahap penguasaan murid.

Tahap 3 – Tahun 5 dan Tahun 6
Digunakan untuk:

  • Intervensi bagi murid yang ketinggalan

  • Pengayaan dan pemikiran lebih kritikal bagi murid yang sudah mahir

Tujuannya supaya semua murid lebih bersedia sebelum masuk sekolah menengah.

Jangan Terlalu Cepat Menghukum

Memang benar, dari segi logistik pasti akan ada cabaran:
kekurangan guru, ruang kelas, dan sebagainya.

Itu hampir pasti berlaku.

Tetapi satu perkara perlu kita fikir bersama:
Jika langkah tidak dimulakan sekarang, bagaimana kita mahu mendapatkan data sebenar untuk menambah baik sistem?

Akhirnya, anak-anak kita masih belajar, masih berada di sekolah bersama guru-guru mereka.

Jadi sebelum terlalu cepat menghukum atau melabel pihak tertentu sebagai tidak pandai, mungkin lebih baik kita membaca, memahami dan memberi sokongan sebaik mungkin.

Kerana hakikatnya, keputusan besar dalam pendidikan biasanya melibatkan ramai pakar, banyak kajian, dan perbincangan yang panjang — bukan keputusan yang dibuat semalaman.