Kehidupan anak-anak bila ke IPTA dan IPTS nanti
Bila kita hantar anak remaja ke universiti atau kolej, mesti tertanya-tanya juga di dalam hati, bagaimana kehidupan anak ini nanti?
Memang ramai yang risau tentang ini, sampai ada buat keputusan untuk pilih universiti atau kolej dekat dengan rumah supaya mudah nak pantau anak.
Tak kisahlah kursus apa pun, asalkan anak ada depan mata.
Sebenarnya begini, hidup di universiti ini tidaklah sekejam mana, cuma keadaannya tidak lagi seperti di sekolah.
Serba-serbi perlu urus sendiri.
Universiti bukan saja tempat untuk mendapatkan segulung ijazah.
Tapi universiti tempat kita memperolehi kematangan diri.
Hidup di universiti tiada guru atau warden yang akan pantau jadual belajar.
Tiada waktu khas untuk prep petang atau malam.
Tiada juga waktu makan, waktu wajib turun ke padang dan yang anak paling suka adalah tiada lagi waktu "lights off" seperti di asrama.
Susun jadual belajar dan jadual kehidupan sendiri. Nak ikut atau tidak, nak berdisplin atau tidak, itu pilihan sendiri.
Tiada cikgu yang akan ingatkan atau kejar pelajar untuk hantar kerja rumah.
Pensyarah mengajar semasa kuliah, beri tugasan, beri tarikh penghantaran kerja kursus, selebihnya anak perlu pandai urus masa sendiri.
Ada masanya info semuanya di portal pelajar, secara online.
Pelajar kena rajin baca, rajin buka email dan rajin bertanya pada kawan-kawan atau pada pensyarah itu sendiri.
Di sinilah ramai yang terkena kejutan budaya walaupun asalnya dari sekolah berasrama.
Terkejut bukan kerana subjek itu susah, tetapi kerana disiplin diri belum kuat.
Jenis yang terbiasa semua diatur oleh ibubapa atau dipantau oleh guru atau warden, terus jadi terkejut kerana tak ada siapa nak bebelkan mereka lagi.
Hidup rasa lepas, bebas macam burung terlepas dari sangkar.
Silap gaya, yang cemerlang semasa SPM pun jatuh terduduk kerana hilangnya displin diri.
Kemudian, anak berjumpa pula kawan dari pelbagai latar belakang.
Kalau dulu jumpa kawan dari Perak, Selangor, KL sahaja.
Di universiti jumpa kawan dari Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Loghat, budaya, agama, cara berfikir dan gaya hidup masing-masing berbeza.
Ini boleh jadi peluang untuk membina kematangan, tetapi juga risiko jika anak mudah terikut-ikut kawan yang bersikap negatif.
Disinilah pentingnya ilmu agama, adab dan nilai moral yang diterapkan oleh ibubapa sebelum ini.
Berkawan biar ramai, tapi yang sikap tak elok jangan diikut.
Masuk semester berikutnya, mungkin tidak lagi tinggal di asrama di dalam kampus.
Anak menyewa bersama kawan-kawan di rumah sewa.
Disini pentingnya untuk bantu mereka urus diri, kewangan, kebersihan dan emosi.
Kadang ada pertembungan dengan rakan serumah.
Nak selesaikan masalah rakan tak mahu bayar sewa, kawan guna elektrik terlebih tapi perlu kongsi bayar, masalah nak tumpang kawan ke kelas tapi malam tadi sudah berselisih faham isu pinggan tak dibasuh.
Kena berhikmah dan bijak nak selesaikan isu ini.
Ibubapa jangan campurtangan secara terus, nanti lagi panjang perbalahannya.
Universiti ini sebenarnya bukan tempat untuk anak ditinggalkan, bukan juga tempat untuk kita masih lagi "pamper" anak.
Tetapi universiti ini adalah tempat untuk fasa peralihan anak-anak kita.
Anak masih perlukan ibu bapa, bukan untuk mengawal, tetapi untuk menjadi tempat bertanya, meluah dan berpaut.
Bila para ibubapa faham realiti kehidupan di kampus, kita akan lebih tenang dalam membuat keputusan dan lebih bijak untuk menyokong anak sepanjang perjalanan mereka.






0 Comments
Thanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.