KEBENARAN YANG TAK SIAPA BERANI CAKAP TENTANG PENDIDIKAN MALAYSIA

Kita semua tahu masalah moral, adab, akhlak dan sahsiah anak-anak hari ini bukan datang dari sekolah semata. Ia bermula di rumah. Dari cara ibu ayah mendidik, menegur, memberi contoh dan menetapkan batas. Tapi sekolah tetap memainkan peranan besar menyambung misi mendidik selama 8 jam sehari, membentuk akal dan disiplin anak-anak dalam suasana yang makin mencabar.

Tapi mari kita jujur sekejap.

Anak-anak yang cemerlang, yang skor A, yang petah menjawab ramai antara mereka bukan hasil sistem sekolah, tapi hasil pengorbanan ibu ayah.

Ibu ayah yang sanggup keluar duit untuk tuisyen, KAFA, kelas hafazan, kelas bahasa, kelas muzik, kelas sukan.

Yang ulang-alik siang malam, korbankan hujung minggu semata-mata nak pastikan anak faham, bukan sekadar hafal.

Bila keputusan diumumkan, bila gred sekolah naik, bila KPI melonjak, sistem yang dipuji, sekolah yang disanjung.

Tapi peluh, masa dan pengorbanan ibu ayah yang jadi tulang belakang?

Langsung tak disebut.

Sebab itu ramai rasa sistem pendidikan kita hari ini terlalu syok sendiri.

Yang buat dasar pun ramai hantar anak ke sekolah elit, ada guru khas, ada kelas tambahan. Tapi dasar untuk rakyat biasa masih terperangkap dalam realiti 30 orang pelajar, satu cikgu, satu silibus untuk semua. Akhirnya ramai yang tertinggal dalam diam.

Data dan statistik pun tak menipu.

Kajian KPM dan laporan pendidikan swasta tunjuk pelajar dari sekolah berprestasi tinggi, asrama penuh dan MRSM jauh ke depan dalam keputusan SPM dan STPM.

Sekolah-sekolah ini bukan sekadar ada fasiliti hebat, tapi ada ekosistem juang, budaya belajar, motivasi dan semangat menang yang hidup.

Dari sinilah lahir pelajar yang masuk universiti ternama, dapat biasiswa, dapat kerja baik dan akhirnya jadi pemimpin masa depan.

Tapi bagaimana pula dengan anak-anak dari sekolah biasa?

Ramai yang bijak, rajin, berpotensi besar tapi sistem tak bagi peluang sama rata. Bukan sebab mereka tak pandai, tapi sebab ruang dan bimbingan itu tak wujud untuk semua.

Hari ini, sekolah sepatutnya jadi tempat anak belajar hidup, bersosial, berkawan, hormat orang, faham dunia luar selain rumah sendiri.

Tapi bila sekolah makin tak selamat, buli naik, kes rogol disorok, kes bunuh pun dah jadi berita mingguan, siapa yang masih boleh kata sistem kita berjaya?

Ya, kerajaan dah belanja lebih 60 bilion untuk pendidikan.

Tapi semua itu hanya angka, kalau jiwa anak-anak ini masih kosong dari nilai.

Kalau sistem tak mampu melahirkan manusia yang beradab, berfikir dan punya arah hidup, maka kita sebenarnya gagal dalam erti sebenar pendidikan.

Kita kena sedar zaman dah berubah.

Anak-anak hari ini dibesarkan bukan oleh ibu ayah dan guru semata, tapi oleh skrin kecil di tangan mereka.

TikTok, YouTube, Netflix dan permainan digital semua itu membentuk siapa mereka lebih daripada buku teks dan jadual waktu.

So persoalannya sekarang, kita nak terus salahkan satu pihak atau kita berani betulkan semula sistem yang dah lama rosak ini?

Pendidikan bukan soal siapa paling pandai, tapi siapa paling jadi insan.

Dah tiba masa kita ubah cara fikir, bukan sekadar ubah silibus.

Sumber: Dr Ahmad Fadhzil Mohamad

Kangar, Perlis