ANAK-ANAK pasti sangat teruja dan seronok saat dibawa berjalan jalan atau bercuti ke destinasi disukai mereka terutama taman tema.

NAMUN, kegembiraan boleh bertukar menjadi sesuatu yang merisaukan apabila anak tersesat atau terpisah tengah-tengah ribuan orang.

Tersesat antara yang sering berlaku kepada tujuh daripada 10 anak terutama dalam majlis keramaian. Justeru, semak tip yang disenaraikan munggu ini sebagai langkah keselamatan kepada anda yang merancang bercuti bersama anak-anak.

1. Sentiasa dekat dengan mereka

Pastikan anak selalu melihat anda dan anda boleh melihat mereka. Pesan kepada anak agar selalu melihat anda kerana dengan cara ini, mereka tidak akan pergi jauh dari pandangan anda.

Kerana terlalu teruja dengan destinasi yang dituju dan mungkin kerana ramai orang, mereka mungkin terpisah. Ibu bapa juga perlu memerhatikan anak-anak dan tidak terlalu berharap mereka mengingati pesanan anda.

2. Pastikan anak mengingati nama ayah dan ibu

Pastikan anak mengingati nama ayah dan ibu. Ini penting terutama ketika mereka tersesat.

Pada usia tiga tahun, mereka biasanya akan mengenali ibu bapa dengan nama 'mama' dan 'papa'. Jadi, mulai sekarang anda perlu melatih mereka mengingati nama anda.

Jika tersesat, mereka boleh memberitahu nama orang tua mereka.

3. Letak butiran penting anda dalam beg anak

Dengan keadaan yang sesak dan ramai orang sangat sukar untuk menjumpai anak, lebih-lebih lagi jika mereka masih kecil.

Ketika sibuk mencari, pasti ada segelintir masyarakat yang akan membantu dan menjaga anak anda jika terjumpa mereka.

Untuk memudahkan mereka mencari anda, letakkan butiran penting seperti nama, nombor telefon dan mungkin alamat di dalam beg, poket seluar atau baju anak anda.

4. Rancang tempat berjumpa

Sebelum keluar, beritahu anak lokasi perjumpaan jika terpisah daripada kumpulan. Dengan cara ini, ia memudahkan anda menjumpai anak yang tersesat.

Anda juga boleh bergegas ke lokasi dinyatakan untuk mencari anak yang terpisah.

5. Ménjerit dengan kuat

Biasanya anak akan sesat di tempat yang ramai orang. Oleh itu jika terpisah daripada kumpulan atau sesat, pesan kepadanya untuk menjerit dengan kuat memanggil anda dan duduk di satu tempat.

Dengan cara ini, anda boleh mendengar dan mengikuti suaranya

6. Minta bantuan orang terdekat

Keluarga terdekat atau rakan adalah orang yang paling selamat untuk meminta pertolongan. Jika anak anda tersesat di pusat membeli-belah, petugas kaunter informasi ialah orang yang paling tepat untuk meminta tolong. Ini kerana mereka boleh mengumumkan ada anak yang tersesat atau nama anak ditemui. Dengan itu anda dapat menemui mereka dengan segera.

7. Jangan menghukum

Beritahu anak untuk berada di tempat terakhir ketika berpisah dengan anda untuk menemui mereka. Jangan marah atau menghukum anak jika mereka tersesat.

Ini kerana situasi itu sesuatu yang tidak diingini dan meninggalkan trauma buat si anak.

Semoga tips yang Abam Kie kongsikan di sini bermanfaat kepada semua ibubapa di luar sana.