Termenung saya dalam LRT. Kawan saya nak sangat sangat jumpa saya di KL. Urgent sangat katanya. Sampai di KL jumpa saya, belanja saya berbuka. Lepas solat magrib menangis depan saya merayu sangat nak pinjam duit RM8500 nak bayar kereta tertunggak selama 6 bulan.

Saya terkejut beruk. Barangkali beruk pun terkejut tengok saya terkejut. RM8500 tu. Lagi terkejut baru 2 hari ini tengok kes kereta H nak kena tarik sebab tak bayar tunggakan.

Saya kata. Merayu keluar air mata darah sekali pun aku tak mampu nak beri Rm8500. Rm8500 ini belum tentu kau dapat bayar dan belum tentu boleh selesaikan masalah kau untuk akan datang. Nak tak nak kau kena cairkan aset yang kau ada jika nak selamatkan kereta atau berbincang dengan pihak bank, bukan sorok kereta begitu.

Kau boros sangat, iphone tu aku tengok setiap tahun tukar, jam tu brand Tissot belum layak untuk kita bro. Aku dah nasihat banyak kali jangan beli Alphard walaupun gaji 5 - 6K sebulan. Bila aku halang kau beli, kau cakap aku tak beri semangat.

Inilah masalah orang kita, beli kereta ni bukan perlu beri semangat macam nak lumba lari dalam guni. Alphard bukan keperluan kau. Aku dah pesan pakai myvi je dulu. Aku 3 tahun pakai myvi baru beli kereta lain, itu pun sebab ada keperluan dan mampu. Lagi pun kau tinggal di KL, LRT Kelana Jaya depan mata dah.

Kita ni nak pakai apa-apa buat kira-kira terlebih dahulu, sesuai tak dengan pendapatan dan keperluan kita. Ini tidak, tengok orang pakai Alphard kita pun nak pakai. Orang pakai iphone kita pun nak pakai. Sanggup berhutang dengan telco janji dapat pakai iphone. Jika bank susah nak lulus kenderaan kita sehingga terpaksa guna penjamin, itu bermakna kita tak layak memiliki kereta.

Sebenarnya beli kereta ini satu beban jika kita tak manfaat kereta itu untuk mendapatkan pendapatan lain. Kita akan terbeban dengan kos penyelenggaraan terutama sekali minyak petrol, servis, tayar dan kos lain yang kita tak nampak. Lagi sakit jika kereta yang kita beli itu CC tinggi.

Tapi itulah orang kita. Sesetengahnya sanggup ‘ikat perut’ demi nak pakai kereta yang nampak mewah. Tujuannya satu, nanti balik kampung nampak gah, nak rasa lebih berbanding adik-beradik lain. Nak orang respect terutama kawan-kawan sekolah dulu, sedangkan benda itu sekejap dan itulah tanda riak yang merosakkan hati kita. Akhirnya terasa bahang bebanan kita itu adalah anak isteri.

Mula jadi panas baran, marahkan anak dan isteri, mula abaikan nafkah anak isteri. Dan paling sedih isteri juga akhirnya terpaksa gadai segala barang kemas demi nak selamatkan kereta yang tertunggak.

Sebab itulah saya menghasut anak-anak muda supaya jangan buat apa apa loan selagi tiada keperluan. Selagi boleh pakai motor pergi kerja, naik bas, naik LRT redah ajelah. Janji ada buat simpanan, beli aset terutama rumah. Jika teringin sangat nak pakai kereta mulakan dengan kereta murah. Dari situ kita akan belajar bagaimana nak ‘bela’ kereta.

Betullah peribahasa Melayu mengatakan;

‘Ukur baju di badan sendiri’

Dari kisah ini, ambillah pengajaran supaya kita tidak lagi buat sesuatu untuk nampak kaya, tapi hakikatnya hutang keliling pinggang dan bagi nasihat kepada adik-adik kita yang baru nak ‘up’ tu. Jangan kerana mahukan pujian di media sosial yang hanya beberapa minit, kita sanggup merana 9 tahun.

Sumber: -EncikMatt-
#LelakiBurQa

22 Comments

  1. Banyak tu duit minta pinjam.
    Kalau saya pun takkan pinjamkan sebab kena tengok kredibiti peminjam.

    ReplyDelete
  2. betul tu.. kadang nafsu je lebih

    ReplyDelete
  3. Sangat-sangat penting ukur baju di badan sendiri.Mengelakkan banyak masalah timbul pun ya juga.

    ReplyDelete
  4. setuju sangat cikgu, rasanya kalau gaji takat 5k ke 6k tak layak lagi beli alphard, gaji 10k ke atas mungkin kira layak sikit itu pun kalau ada pendapatan lain... yelah ramai orang kita yang suka berlagak, bermewah sedangkan sebenarnya hutang sana sini...

    saya dah pakai myvi 10 tahun walaupun berkira-kira nak beli kereta lain tapi selagi kereta tu masih ok kami simpan dulu niat tu, dah beli rumah dh rasa lega lupa kejap pasal kereta baru hehehe...

    ReplyDelete
  5. Betul tu..tak perlu ikut orang

    ReplyDelete
  6. betul tu..xperlu ada kemewahan klu diri sndiri xmmpu

    ReplyDelete
  7. kita beli apa-apa itu ikut keperluan.. jangan ikutkan kehendak nak bermewah...

    ReplyDelete
  8. Bnyk kes kawan pinjam duit kawan ,bila kawan yg bg utang mintak duit blik mcm2 alasan..tp tup2 yg berhutang tu g holiday oversea,minum air starbuck idop mewah2..bleh plakkn.huhuhu

    ReplyDelete
  9. Betul tu. Ikut kemampuan hati pun senang tak ada hutang sana sini. Ketenangan tak boleh dibeli dengan wang ringgit.

    ReplyDelete
  10. macam2 kan perangai manusia ni...

    ReplyDelete
  11. Apalah yang nak dikejar dengan pandangan orang kan, diri sendiri yang susah nanti. 8.5K tu banyak tu, kalau saya, boleh buat bayar duit kereta setahun hihi

    ReplyDelete
  12. betul tu ukur baju di badan sendiri

    ReplyDelete
  13. kita guna myvi jer..tu pun jnuh nak mnbayar..haha

    ReplyDelete
  14. betul sangat tu cikgu...setakat gaji 5/6K sebulan..duduk KL plak tu... mmg x layak beli kete Alphard tu...

    ReplyDelete
  15. Orang Perak kata "biar papei, asei bergaya". Haha Allah semoga kita semua dijauhi dengan sifat itu.

    ReplyDelete
  16. Ramai anak muda kita mahu hidup bergaya mewah walau pun belum mampu.

    ReplyDelete
  17. terima kasih cikgu memberi ingatan =)

    ReplyDelete
  18. Ya Allah.. ni kategori biar papa asal bergaya.
    Tapi memang ada je manusia segini. Segala nak branded sampai hutang CC pun naik mencanak2.

    Mintaklah ammi dijauhkan dari perasaan riak nak menunjuk2 ni.

    ReplyDelete
  19. pepatah melayu sangat lah mendalam. alhamdulillah saya sudah bebas hutang T_T

    ReplyDelete
  20. Apa pun yang kita buat kena ukur baju di badan sendiri lagi-lagi bab perancangan kewangan dalam hidup. Ini penting sangat. Salah percaturan dalam urusan kewangan memang bikin kepala pusing

    ReplyDelete

Thanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.