Apakah yang anda akan lakukan jika anda mempunyai sejumlah wang dalam genggaman?

Adakah anda akan menyimpannya dalam bank, membelanjakannya untuk menggembirakan diri ataupun menggunakan untuk tujuan-tujuan yang murni umpamanya misi menawan menara-menara tertinggi dunia?

Kebarangkaliannya, duit berkenaan akan digunakan untuk memenuhi kepuasan diri. Apa tidaknya, duit tersebut adalah miliknya dan sudah tentu mereka mempunyai hak untuk menggunakan duit tersebut untuk aktiviti-aktiviti yang dirasakan sesuai.

Bagi rakyat marhaen seperti saya sendiri yang terpaksa kais pagi, makan pagi; kais petang, makan petang, impian untuk mendapat kekayaan hanya tinggal impian dan tidak mungkin akan menjadi kenyataan.

Sebaliknya, saya terpaksa membanting tulang dan bekerja keras setiap hari semata-mata untuk mencari sesuap nasi bagi menyara kehidupan diri dan keluarga. Maklumlah, kos sara hidup masih tinggi dan pendapatan yang diterima cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan seperti bil elektrik, air, internet, rumah dan kereta. Selain itu, wang juga diperlukan untuk membiayai rawatan perubatan apabila saya jatuh sakit.

Berbicara mengenai perkara ini, adalah sangat kritikal untuk kita sentiasa memberi keutamaan ketika berbelanja. Jangan sesekali beranggapan bahawa duit simpanan kita di bank akan kekal selama-lamanya dan tidak akan habis.

Sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan perkara-perkara di luar jangka yang memerlukan perbelanjaan tambahan. Oleh yang demikian, keutamaan haruslah diberikan kepada perkara atau agenda yang mendesak dan memberi manfaat kepada si penerima serta si pemohon, bukannya untuk tujuan selain daripada itu.

Logik ini juga adalah terpakai kepada pihak kerajaan dan syarikat-syarikat korporat yang sentiasa didatangi dengan permohonan untuk mendapatkan dana untuk tujuan-tujuan tertentu.

Apabila berita mengenai permintaan seorang individu yang memerlukan dana sebanyak RM4 juta bagi melengkapkan Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia menjadi tular baru-baru ini, saya bertanyakan kepada diri sendiri di manakah kewajarannya oleh pihak yang berkenaan untuk memohon dana sebanyak itu. Apakah begitu signifikan untuk individu tersebut menakluki menara-menara tertinggi di dunia? Apakah pulangan pelaburan atau Return of Investment (ROI) yang akan dinikmati oleh negara kita hasil daripada misi itu? Benarkah ROI daripada misi berkenaan akan mengatasi kepentingan-kepentingan lain?

Saya tidak salahkan individu tersebut yang meminta dana untuk merealisasikan misi murni yang dilakukannya itu. Lagipun, misi tersebut adalah untuk mengharumkan nama negara. Akan tetapi, jumlah dana yang dipohon itu dilihat agak tinggi sedikit.

Dengan keadaan ekonomi negara masih pada tahap pemulihan, sebarang perbelanjaan ataupun tajaan perlulah berpada-pada dan mengambil kira sentimen semasa rakyat yang terpaksa bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

Mungkin bagi sesetengah individu, jumlah RM4 juta itu tidaklah sebanyak mana namun bagi rakyat marhaen seperti saya sendiri, jumlah itu sebenarnya cukup banyak yang boleh dimanfaatkan untuk perkara-perkara lain yang lebih bermanfaat.

Jumlah wang yang begitu banyak itu barangkali boleh digunakan untuk bermacam-macam perkara. Umpamanya, memperbaiki infrastruktur sekolah, penurapan jalan raya mahupun sistem perparitan. Apa yang dibuat ini akan memanfaatkan jutaan rakyat kerana kesemuanya ini digunakan oleh rakyat.

Pendek kata, utamakanlah perkara-perkara yang perlu dan mendatangkan faedah kepada rakyat.

Sumber: Bartholomew Chan