Sejak kebelakangan ini, Abam Kie melihat peningkatan kadar perkahwinan remaja di Malaysia dan ia menjadi seperti trend untuk anak-anak muda untuk berbuat demikian. Secara amnya, purata umur remaja yang berkahwin adalah antara 15 dan 18 tahun.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada perkahwinan remaja adalah cinta, kehamilan remaja, pilihan atau paksaan keluarga, dan sebab-sebab ekonomi, politik atau budaya. Terdapat juga segelintir orang yang menggunakan alasan agama untuk menjadikan perkahwinan itu sah di sisi undang-undang padahal mereka telah melakukan sesuatu yang salah yang membawa mereka untuk bernikah pada usia muda.

Abam Kie percaya bahawa sesetengah remaja yang memilih untuk mengikat tali perkahwinan berbuat demikian kerana mereka sangat menyintai satu sama lain dan mahu berkongsi hidup mereka dengan pasangan masing-masing. Mereka tiba-tiba membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga kerana mereka percaya bahawa apabila mereka berkahwin, semuanya akan menjadi sempurna.

Bagi mereka yang dipaksa oleh keluarga mereka, mereka tidak boleh menentang permintaan keluarga mereka kerana selalunya ibu bapa mereka akan membantu kehidupan mereka sesudah mereka berkahwin.

Bagaimanapun, tanggungjawab besar pada usia muda itu memerlukan remaja untuk mengorbankan kehidupan remaja mereka dan kebebasan untuk meneroka pengalaman baru yang ditawarkan oleh dunia.

Ketika remaja menikah tanpa kerjaya tetap dan pendidikan yang rendah, perjalanan hidup mereka akan lebih sukar daripada yang mereka harapkan. Mereka akan menghadapi banyak tanggungjawab yang mereka tidak akan cukup matang untuk mengendalikan. Pekerjaan yang mereka ada tidak mampu memberi mereka wang yang cukup, menyebabkan mereka bekerja lebih masa atau melakukan kerja sambilan. Apabila remaja menghabiskan banyak masa bekerja di luar rumah, mereka akan kurang fokus kepada satu sama lain. Dari situ, mereka akan mula menyalahkan satu sama lain dan bergaduh dengan lebih kerap.

Dengan kekurangan pendidikan, mereka tidak akan mempunyai peluang untuk meneruskan kerjaya yang lebih baik dan mengembangkan pengetahuan mereka untuk memiliki masa depan yang cerah.

Secara ringkas, perkahwinan mungkin kelihatan menjanjikan kehidupan yang lebih bahagia untuk remaja tetapi faktor negatif jauh lebih besar daripada yang positif. Jadi kepada remaja di luar sana, berfikirlah dengan matang sebelum mendirikan rumah tangga. Jangan ingat benda sedap je selepas kahwin tapi banyak lagi cabaran dan masalah yang perlu dihadapi sebagai pasangan suami isteri dan kemudiannya sebagai ibu bapa pula. 

Jangan gatal nak kahwin awal! Cari kerja dulu, bantu mak ayah. Bila dah stabil tu barulah nikah!