Abam Kie adalah hasil keluaran sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan. Kami adalah batch keempat di sekolah ini yang mula dibuka pada Julai 1983. Antara SBP yang sezaman dengan SMACH ialah SM Sains Dungun, SM Sains Raub dan SM Sains Muar. Pada hari ini Abam Kie ingin berkungsi sebuah sajak yang ditulis oleh senior kami yang bertajuk Nukilan Buat Cikgu. Sila baca dan hayatinya.

8 Jan 86 kami datang
Di situ, cikgu berdiri mendepa tangan
Marilah anakku marilah sayang
Di sini kita cipta kejayaan
Di sini kita raih kecemerlangan
Bermacam warna dan juga ragam
Mulakan hidup penuh cabaran
Selamat datang ke Sekolah Menengah Sains Machang

Direnjis renjis dipilis
Ditepungi lah tawar
Hai kami freshie tak lawa
Ingin di tepung tawar
Minggu orientasi pun bermula
Lupa seketika rindu ayah bonda
Penat bergegas naik turun tangga

Usai orientasi, kehidupan hostel sebenar bermula
Dalam kedinginan malam
Kekadang esakan kedengaran di sana sini
Bukan Pontianak atau jembalang
Tapi anak-anak yang rindukan keluarga
Ada yang masih menyimpan supik rok rak tinggalan keluarga
Hati sayu tiap kali memandang
Walau hanya segumpal plastik di dalam locker

Bila keluarga datang menjengah
Peritnya hendak berpisah
Cekalkan hati cuba bertabah
Kawan nakal datang mengacah
“Mu tak sedih ko kena tinggal?”
Terburai lah air mata yang cuba diseka
Agak lama untuk hilang rindu kpd keluarga
Terkenang ibu ayah dan adik adik
Kenangan bersama sering mengusik
Dan siapa yang ada untuk pujuk hati lara kami
Selain teman-teman, cikgulah yg tetap ada di situ

Masa pun berlalu pergi
Kami sudah mula berdikari
Sudah pandai mengurus diri
Sudah tak kekok menggantikan “saya” dengan “aku”
Begitu jugak “awak” kepada “mu”
Rambut pun sudah mula ada remos
Bertukar code 10 kepada tanco
Kaki seluar mesti sebelas atau dua belas
Supik rok rak yang dulunya ditangisi
Kita jadi alat yang paling berguna
Masa pakai dan lucutkan seluar
Hairan bin ajaib
Macam mana kami manage bila ada emergency?
Sempatkah lucut sebelum terbarai?

Lagu rock nyanyian tidur
Heavy metal pula dendangan santai
Solat dan mengaji semakin liat
Walau ustaz adham dan cikgu supli selalu peringat
Ramai jugak yang dah ada adik, abang dan kakak angkat
Walau selimut sendiri di waktu subuh payah di angkat

Terima kasih cikgu kerana berdiri di muka pintu
Pastikan kami tidak terlepas
Terbang ke luar terlalu bebas
Walau kekadang ada yang terbabas

Cikgu jadikan hidup kami bermakna
Terhias dengan pelbagai warna
Cik po Hj Abd Rahman cool orangnya
PK1 Cikgu Him dan PK2 Cikgu Che Ismail pula sungguh cakna
Memberi nasihat yang amat berguna
Melayari hidup menginjak dewasa
Cikgu Lan Kurish paling popular
Lagu diajar tak pernah lupa
Bukitmu luasnya terbentang
Tak jemu mataku memandang
Kami menyanyi sambil tertawa
Walau diulang reaksinya tetap sama

Dua cikgu Lae gandingan mantap
Jadikan blok A tempat yang hebat
Warden berdua memberi khidmat
Pastikan pelajar sentiasa selamat
Juga hidup dalam suasana sihat
Otak cerdas kreativiti meningkat

Cikgu Bob dan Cikgu Hashim pula di blok B
Semua pelajar mereka perhati
Kekadang mereka perlu berlari
Mengejar kami yang buat tak reti
Dah masuk maghrib masih belum mandi
Jangan terlambat ke prep nanti

Blok C pula lain cerita
Dua srikandi  mengawal selia
Cikgu Amy dan Cikgu Saddy sentiasa ada
Mengasuh mendidik si anak dara
Agar maruah sentiasa terjaga
Menjadi kebanggaan ibu dan bapa

Guru mendukung falsafah pendidikan
Kembangkan bakat dan potensi pelajar
Kami terjemahkan dengan cara tersendiri
Bentuk unik dan paling kreatif
Masak megi dlm baldi, kuak lentang dalam kolah
Sukan olimpik kekurangan satu acara
Patut ada acara lompat pagar selain lompat galah
Pesta Perdana Menteri juga pasti lebih meriah
Andai ada acara bola tampar dan bola
Kriket badminton dan juga tenis
Bukan di gelanggang tapi dalam dorm
Semua ini menjadi kenangan
Rapi tersimpan menjadi memori terindah

Kini kita bertemu kembali
Setelah hampir 30 tahun
Gejolak rasa bercampur baur
Dalam teruja, ada juga sedikit gusar
Bukan takut cikgu tidak kenal kami
Tapi sebaliknya
Mana mau letak muka
Jika kami yang lebih lupa
Maafkan kami cikgu
Bukan sengaja, tapi faktor usia
Sudah 45 tahun kami rupanya

Wahai guru-guru yang kami hormati
Maafkan kami untuk segalanya
Mungkin dulu kami degil dan agak nakal
Ada ketikanya mungkin kurang ajar
Ada bicara yang tidak kena
Ada gelagat yang menjolok mata
Restuilah ilmu yang dicurahkan
Halalkan segala jasa
Bekalan kami sepanjang masa

Mohd Zaki bin Yacob
17 Februari 2018