Setelah berpanas di padang selama 3 hari saya pergi ke PPD TM pada 21 Mac 2013 untuk mengambil keputusan SPM 2012. Sebagai Setiausaha SPM inilah rutin tahunan saya yang perlu dilaksanakan. Saya pergi ke sana dengan dua orang lagi guru, Penolong Kanan Pentadbiran dan Pengetua.

Sampul slip keputusan SPM telah diserahkan oleh Pegawai PPD kepada pengetua sekolah dan apabila dibuka kami semua terkejut kerana sekolah kami jatuh ke tempat kelima di dalam PPD. Pada tahun lepas kami jadi johan! Kami dapati 23 orang gagal Bahasa Melayu dan 61 orang gagal Bahasa Inggeris. Berbeza pada tahun 2011 cuma 6 orang gagal BM. Cuma 27 orang mendapat A untuk BM berbanding 93 pada tahun 2011. Peratus lulus untuk BI cuma 69% berbanding 74% pada tahun sebelumnya.

Pelajar terbaik ialah Alia yang memperolehi 7A, 2B dan 1D. Kasihan sungguh sebab yang D itu ialah subjek Bahasa Inggeris! Aku rasa dia telah mencuba sehabis baik cuma nasib tidak menyebelahinya. Lagi menyedihkan aku ialah cuma 3 orang mendapat A untuk subjek BI. Nampaknya ramalanku jauh tersasar.

Antara faktor kegagalan yang tinggi dalam subjek BM dan BI ialah ketidakhadiran berpanjangan murid-murid di kelas akhir. Apabila mereka ponteng sekolah maka banyak benda yang mereka tidak tahu. Ada juga murid-murid yang buta huruf. Jadi subjek-subjek yang memerlukan pembacaan dan penghafalan seperti Pendidikan Islam, Tassawur Islam, Sejarah dan Sastera Melayu mencatat peratus gagal yang tinggi.

Para guru telah mencuba yang terbaik dalam mendidik calon-calon SPM 2012 tapi kami tidak memiliki kuasa ajaib untuk memastikan semua calon lulus dengan cemerlang kerana murid-murid kami datang dari pelbagai latar belakang dan kemampuan kognitif. Apa-apa pun kami berdoa agar calon-calon SPM 2013 akan mengangkat kembali martabat DMPR2 ke tahap tertinggi. InsyaAllah.