Alhamdulillah, setiap kali pulang ke kampung pasti ada sahaja aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Kali ini, selain meluangkan masa bersama keluarga, saya membawa pulang satu anak pokok pauh ringan untuk diserahkan kepada adik lelaki saya.


Anak pokok itu bukanlah yang pertama saya berikan kepadanya. Malah, tahun lalu saya juga pernah menghadiahkan anak pokok pauh ringan untuk ditanam di kawasan belakang rumahnya. Tahun ini saya mengulangi perkara yang sama kerana saya percaya tanah yang luas di rumahnya lebih sesuai untuk pokok mangga itu membesar berbanding di rumah saya yang mempunyai kawasan yang agak terhad.

Melihat adik saya sendiri menggali tanah dan menanam anak pokok tersebut memberikan satu kepuasan yang sukar digambarkan. Semoga pokok itu dapat hidup subur, membesar dengan baik dan suatu hari nanti mengeluarkan hasil yang boleh dinikmati seisi keluarga. Pokok buah-buahan bukan sekadar memberi rezeki, malah menjadi satu legasi yang boleh diwarisi kepada generasi akan datang.

Saya berharap kali ini adik saya dapat menjaga anak pokok pauh ringan tersebut dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Menanam memang mudah, tetapi membesarkan sebatang pokok sehingga berbuah memerlukan komitmen yang tinggi. Insya-Allah, dengan penjagaan yang rapi, beberapa tahun lagi kami sekeluarga dapat menikmati kemanisan buah pauh ringan hasil tanaman sendiri.


Sesungguhnya, setiap pokok yang ditanam bukan sahaja menghijaukan bumi, malah menjadi simbol kasih sayang, ukhwah dan harapan yang terus mekar dari satu generasi ke generasi yang lain. Semoga usaha kami adim-beradik akan membuah hasil yang lumayan pada suatu hari nanti. InSyaAllah.