Setiap kali terpandang majalah Dewan Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hati saya pasti diselubungi rasa nostalgia. Majalah inilah yang menjadi teman setia zaman kanak-kanak saya, jauh sebelum wujudnya telefon pintar, media sosial dan internet. Bagi saya, Dewan Pelajar bukan sekadar bahan bacaan, malah merupakan "guru kedua" yang banyak membentuk minat membaca, memperkaya ilmu pengetahuan dan mencorakkan masa depan saya.

Kisah saya dengan Dewan Pelajar bermula ketika saya berada di Darjah 2 pada tahun 1981. Namun, benih kecintaan terhadap majalah ini sebenarnya telah disemai lebih awal apabila saya sering membelek naskhah keluaran tahun 1977 dan 1978 yang dibeli oleh kakak ketiga saya. Walaupun ketika itu saya masih kecil, gambar-gambar yang menarik, cerita-cerita pendek, fakta ilmu serta pelbagai ruangan khas berjaya memikat hati saya. Saya akan membaca majalah itu berulang kali sehingga hampir setiap halaman saya hafal.

Sejak itu, saya mula mencari Dewan Pelajar di perpustakaan sekolah. Tidak cukup dengan itu, saya mengumpul duit belanja untuk memiliki naskhah sendiri. Syukurlah, harga majalah ini pada awal tahun 1980-an sangat berpatutan. Kebiasaannya, kakak saya yang bersekolah di bandar Machang akan membelikan majalah tersebut selepas tamat sesi persekolahannya sebelum pulang ke kampung. Setiap kali dia membawa pulang naskhah baharu, saya tidak sabar-sabar membacanya dari kulit hadapan hingga ke halaman terakhir.

Banyak ruangan yang menjadi kegemaran saya. Artikel ilmiah, cerpen, kuiz, fakta sains, sejarah, bahasa, pengetahuan am dan kisah tokoh sentiasa saya nantikan. Salah satu pengalaman yang paling saya ingat ialah apabila saya menyertai ruangan Sahabat Pena. Alangkah gembiranya apabila saya menerima surat daripada tiga orang rakan pena, masing-masing berasal dari Johor, Perak dan Selangor. Kami saling bertukar cerita tentang kehidupan, sekolah dan cita-cita. Pengalaman itu mengajar saya cara berkomunikasi melalui penulisan serta membuka minda tentang kehidupan di negeri-negeri lain.

Saya benar-benar percaya bahawa budaya membaca yang dipupuk melalui Dewan Pelajar telah banyak membantu kecemerlangan akademik saya. Minat membaca menjadikan saya lebih mudah memahami pelajaran dan menambah pengetahuan di luar bilik darjah. Hasilnya, saya berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan 5A dalam Ujian Penilaian Darjah 5, sekali gus melayakkan diri memasuki Sekolah Menengah Sains Machang. Saya sentiasa bersyukur kerana sebuah majalah mampu memberi impak yang begitu besar dalam perjalanan hidup saya.

Kini, lebih 40 tahun telah berlalu. Dunia sudah banyak berubah. Kanak-kanak hari ini lebih akrab dengan gajet berbanding buku atau majalah bercetak. Namun, apabila saya terlihat Dewan Pelajar keluaran Julai 2026, hati saya terus terpanggil untuk membelinya. Bukan untuk diri sendiri semata-mata, tetapi untuk diperkenalkan kepada anak bongsu saya yang kini berusia 11 tahun.

Saya berharap dia akan menikmati pengalaman membaca seperti yang pernah saya lalui suatu ketika dahulu. Saya ingin dia mengenali dunia melalui pembacaan, memperkayakan kosa kata, meningkatkan ilmu pengetahuan dan membina imaginasi yang luas. Mudah-mudahan Dewan Pelajar akan menjadi teman setianya sebagaimana majalah ini pernah menjadi teman setia saya lebih empat dekad yang lalu.

Terima kasih, Dewan Pelajar dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebuah majalah yang bukan sekadar menghiburkan, malah berjaya mendidik, menginspirasikan dan mengubah perjalanan hidup seorang anak kampung sehingga berjaya mengejar cita-citanya. Semoga legasi majalah ini akan terus hidup dan mencorakkan generasi pembaca baharu untuk tahun-tahun yang akan datang.