❤️ BILA ANAK MELANGKAH KE MENARA GADING, MAK AYAH JUGA SEDANG BELAJAR MELEPASKAN

Mungkin ada dalam kalangan kita yang sudah menghantar anak ke universiti atau IPT minggu ini.

Bilik asrama sudah check-in.

Katil sudah dikemas.

Pakain di almari sudah tersusun.

Dan anak yang selama ini berada di depan mata, kini mula menjalani kehidupan sendiri.

Mungkin ada juga yang masih menunggu tarikh pendaftaran.

Masih sibuk membeli barang keperluan.

Masih membuat senarai semak.

Masih mengira hari sebelum tiba masanya menghantar anak ke kampus.

Apa pun keadaannya, satu perkara yang sama dirasai oleh hampir semua ibu bapa.

Perasaan yang bercampur baur.

Gembira.

Bangga.

Teruja.

Tetapi dalam masa yang sama, ada sedikit rasa sunyi dan sebak yang sukar diungkapkan.

Beberapa hari selepas pendaftaran, telefon mula berbunyi.

Ada anak yang menelefon dengan suara penuh keterujaan.

"Ayah, roommate saya orang Sabah bah."

"Mak, kawan sebelah katil saya dari Perlis."

"Best juga universiti ni, ramai orang dari macam-macam negeri."

Mereka bercerita tanpa henti.

Tentang dewan kuliah.

Tentang kolej kediaman.

Tentang orientasi.

Tentang kawan-kawan baharu.

Dan kita pula mendengar dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.


Ada juga yang menelefon dengan nada yang sedikit berbeza.

"Mak, saya rindu rumah."

"Ayah, makanan dekat sini tak sama macam masakan mak."

"Saya masih belum move on  lagi."

Kadang-kadang suara yang kedengaran ceria itu sebenarnya sedang menahan air mata.

Kadang-kadang mesej yang berbunyi ringkas:

"Saya okay."

Sebenarnya membawa maksud:

"Saya sedang cuba kuat."

Hakikatnya, bukan anak sahaja yang sedang menyesuaikan diri.

Mak ayah juga sedang melalui proses yang sama.

Tiba-tiba meja makan terasa lebih kosong.

Tiba-tiba bilik anak menjadi terlalu sunyi.

Tiba-tiba tiada lagi suara meminta dihantar ke kedai.

Tiada lagi kasut sekolah yang berselerak di depan pintu.

Tiada lagi bunyi pintu bilik dibuka dan ditutup setiap hari.

Rumah masih sama.

Tetapi suasananya sudah berbeza.

Namun kita bersyukur.

Anak-anak generasi hari ini mempunyai kemudahan yang tidak pernah dinikmati oleh ramai ibu bapa suatu ketika dahulu.

Hari ini ada WhatsApp.

Ada panggilan video.

Ada Telegram.

Ada gambar dan video yang boleh dikongsi pada bila-bila masa.

Kalau rindu, boleh terus membuat panggilan video.

Kalau mahu melihat keadaan bilik asrama, hanya perlu minta anak snap gambar.


Berbeza dengan zaman ramai antara kita dahulu.

Jika mahu menghubungi keluarga, terpaksa beratur menggunakan telefon awam.

Poket penuh dengan syiling.

Kadang-kadang terpaksa menunggu giliran.

Ada yang hanya mampu menelefon seminggu sekali.

Ada yang menghantar surat.

Ada yang menunggu SMS kerana setiap mesej kosnya sedikit  mahal.

Rindu tetap sama.

Cuma caranya berbeza.


Bagi ibu bapa yang anak belajar berdekatan rumah, mungkin masih ada peluang untuk bertemu setiap hujung minggu.

Masih boleh menghantar makanan.

Masih boleh singgah melawat.

Masih boleh melihat wajah anak dengan lebih kerap.

Tetapi bagi yang anak belajar jauh nun  di utara, selatan, Pantai Timur, Sabah atau Sarawak, cabarannya berbeza.

Kadang-kadang hanya bertemu semasa cuti semester.

Kadang-kadang hanya mampu melihat wajah anak melalui skrin telefon.

Kadang-kadang kerinduan itu terpaksa ditahan sehingga tiba masa untuk pulang.


Namun percayalah.

Di sebalik kerinduan itu, sedang berlaku satu proses yang sangat penting dalam kehidupan anak-anak kita.

Mereka sedang belajar berdikari.

Belajar mengurus masa.

Belajar mengurus wang.

Belajar menyelesaikan masalah sendiri.

Belajar hidup bersama orang yang berbeza budaya, negeri dan latar belakang.

Belajar menjadi dewasa.

Dan semua itu tidak dapat dipelajari sepenuhnya di dalam bilik darjah.


Kepada mak ayah.

Jika hari ini anak menelefon dan mengadu penat, dengarkan.

Jika anak mengadu rindu rumah, tenangkan.

Jika anak membuat kesilapan kecil, bimbing.

Jangan terlalu cepat menghukum.

Kerana mereka juga sedang belajar.

Mereka sedang melalui fasa yang tidak pernah mereka lalui sebelum ini.


Dan kepada anak-anak yang sedang membaca ini.

Ketahuilah bahawa walaupun mak ayah tidak menelefon setiap jam, bukan bermakna mereka tidak pikir tentang kamu.

Setiap kali telefon berbunyi, mereka berharap itu panggilan daripada anak.

Setiap kali melihat gambar lama di rumah, mereka teringatkan anak.

Setiap kali selesai solat, nama kamu tetap ada dalam doa mereka.


🌱 Suatu hari nanti, apabila kamu berjaya menggenggam segulung ijazah, diploma atau sijil, kamu akan sedar bahawa perjalanan ini bukan hanya tentang dirimu.

Ia juga tentang doa seorang ibu yang tidak pernah putus.

Tentang ayah yang diam-diam menyimpan rasa rindu.

Tentang keluarga yang sentiasa menunggu kepulanganmu.

Dan ketika itu, kamu akan memahami bahawa melepaskan bukan bermaksud kehilangan.

Melepaskan adalah sebahagian daripada kasih sayang.

Kerana setiap langkah yang menjauh dari rumah hari ini sebenarnya sedang membawa anak-anak kita semakin dekat kepada masa depan mereka.