Belajar Melepaskan Anak Ke Menara Gading
❤️ BILA ANAK MELANGKAH KE MENARA GADING, MAK AYAH JUGA SEDANG BELAJAR MELEPASKAN
Mungkin ada dalam kalangan kita yang sudah menghantar anak ke universiti atau IPT minggu ini.
Bilik asrama sudah check-in.
Katil sudah dikemas.
Pakain di almari sudah tersusun.
Dan anak yang selama ini berada di depan mata, kini mula menjalani kehidupan sendiri.
Mungkin ada juga yang masih menunggu tarikh pendaftaran.
Masih sibuk membeli barang keperluan.
Masih membuat senarai semak.
Masih mengira hari sebelum tiba masanya menghantar anak ke kampus.
Apa pun keadaannya, satu perkara yang sama dirasai oleh hampir semua ibu bapa.
Perasaan yang bercampur baur.
Gembira.
Bangga.
Teruja.
Tetapi dalam masa yang sama, ada sedikit rasa sunyi dan sebak yang sukar diungkapkan.
Beberapa hari selepas pendaftaran, telefon mula berbunyi.
Ada anak yang menelefon dengan suara penuh keterujaan.
"Ayah, roommate saya orang Sabah bah."
"Mak, kawan sebelah katil saya dari Perlis."
"Best juga universiti ni, ramai orang dari macam-macam negeri."
Mereka bercerita tanpa henti.
Tentang dewan kuliah.
Tentang kolej kediaman.
Tentang orientasi.
Tentang kawan-kawan baharu.
Dan kita pula mendengar dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.
Ada juga yang menelefon dengan nada yang sedikit berbeza.
"Mak, saya rindu rumah."
"Ayah, makanan dekat sini tak sama macam masakan mak."
"Saya masih belum move on lagi."
Kadang-kadang suara yang kedengaran ceria itu sebenarnya sedang menahan air mata.
Kadang-kadang mesej yang berbunyi ringkas:
"Saya okay."
Sebenarnya membawa maksud:
"Saya sedang cuba kuat."
Hakikatnya, bukan anak sahaja yang sedang menyesuaikan diri.
Mak ayah juga sedang melalui proses yang sama.
Tiba-tiba meja makan terasa lebih kosong.
Tiba-tiba bilik anak menjadi terlalu sunyi.
Tiba-tiba tiada lagi suara meminta dihantar ke kedai.
Tiada lagi kasut sekolah yang berselerak di depan pintu.
Tiada lagi bunyi pintu bilik dibuka dan ditutup setiap hari.
Rumah masih sama.
Tetapi suasananya sudah berbeza.
Namun kita bersyukur.
Anak-anak generasi hari ini mempunyai kemudahan yang tidak pernah dinikmati oleh ramai ibu bapa suatu ketika dahulu.
Hari ini ada WhatsApp.
Ada panggilan video.
Ada Telegram.
Ada gambar dan video yang boleh dikongsi pada bila-bila masa.
Kalau rindu, boleh terus membuat panggilan video.
Kalau mahu melihat keadaan bilik asrama, hanya perlu minta anak snap gambar.
Berbeza dengan zaman ramai antara kita dahulu.
Jika mahu menghubungi keluarga, terpaksa beratur menggunakan telefon awam.
Poket penuh dengan syiling.
Kadang-kadang terpaksa menunggu giliran.
Ada yang hanya mampu menelefon seminggu sekali.
Ada yang menghantar surat.
Ada yang menunggu SMS kerana setiap mesej kosnya sedikit mahal.
Rindu tetap sama.
Cuma caranya berbeza.
Bagi ibu bapa yang anak belajar berdekatan rumah, mungkin masih ada peluang untuk bertemu setiap hujung minggu.
Masih boleh menghantar makanan.
Masih boleh singgah melawat.
Masih boleh melihat wajah anak dengan lebih kerap.
Tetapi bagi yang anak belajar jauh nun di utara, selatan, Pantai Timur, Sabah atau Sarawak, cabarannya berbeza.
Kadang-kadang hanya bertemu semasa cuti semester.
Kadang-kadang hanya mampu melihat wajah anak melalui skrin telefon.
Kadang-kadang kerinduan itu terpaksa ditahan sehingga tiba masa untuk pulang.
Namun percayalah.
Di sebalik kerinduan itu, sedang berlaku satu proses yang sangat penting dalam kehidupan anak-anak kita.
Mereka sedang belajar berdikari.
Belajar mengurus masa.
Belajar mengurus wang.
Belajar menyelesaikan masalah sendiri.
Belajar hidup bersama orang yang berbeza budaya, negeri dan latar belakang.
Belajar menjadi dewasa.
Dan semua itu tidak dapat dipelajari sepenuhnya di dalam bilik darjah.
Kepada mak ayah.
Jika hari ini anak menelefon dan mengadu penat, dengarkan.
Jika anak mengadu rindu rumah, tenangkan.
Jika anak membuat kesilapan kecil, bimbing.
Jangan terlalu cepat menghukum.
Kerana mereka juga sedang belajar.
Mereka sedang melalui fasa yang tidak pernah mereka lalui sebelum ini.
Dan kepada anak-anak yang sedang membaca ini.
Ketahuilah bahawa walaupun mak ayah tidak menelefon setiap jam, bukan bermakna mereka tidak pikir tentang kamu.
Setiap kali telefon berbunyi, mereka berharap itu panggilan daripada anak.
Setiap kali melihat gambar lama di rumah, mereka teringatkan anak.
Setiap kali selesai solat, nama kamu tetap ada dalam doa mereka.
🌱 Suatu hari nanti, apabila kamu berjaya menggenggam segulung ijazah, diploma atau sijil, kamu akan sedar bahawa perjalanan ini bukan hanya tentang dirimu.
Ia juga tentang doa seorang ibu yang tidak pernah putus.
Tentang ayah yang diam-diam menyimpan rasa rindu.
Tentang keluarga yang sentiasa menunggu kepulanganmu.
Dan ketika itu, kamu akan memahami bahawa melepaskan bukan bermaksud kehilangan.
Melepaskan adalah sebahagian daripada kasih sayang.
Kerana setiap langkah yang menjauh dari rumah hari ini sebenarnya sedang membawa anak-anak kita semakin dekat kepada masa depan mereka.







8 Comments
Bukan senang nak lepaskan anak ke menara gading. Sebak tapi bangga!
ReplyDeleteluahan rasa seorang yang merindui anak2 kesayangan belajar melepaskan burung telah bersayap terbang lihat dunia luas
ReplyDeletesemoga dapat merasa perkara ini..aamin...
ReplyDeletetapi kalau linda, memang suka beljar jauh dari rumah.. suka tengok tempat orang
Insha Allah dalam masa 2 tahun saya akan menghadapi situasi ni. Semoga masa tu hati ni dah benar2 bersedia nak berjauhan dgn anak sulung!
ReplyDeleteteringat masa zaman belajar kat perlis dulu. sekali jer parent hantar, itupon naik keretapi masa hari pendaftaran. selepas itu semuanya sendirian. telefon kampung pon seminggu sekali jer, itu pon kalau ade syiling sebab guna public phone. kalau takde duit, buat panggilan reserve charge
ReplyDeleteSaya anak pertama yang tinggalkan rumah untuk tinggal kat asrama masa umur 18 tahun, sebelum tu tak pernah keluar tinggalkan rumah, sepanjang jalan dari Johor ke Jengka saya menangis, masa nak kene tinggal tu memang mak nangis. Setiap kali call rumah guna public phone saya tak boleh nak cakap dengan mak, sebab saya akan nangis mak pun akan nangis last-lastu cakap dengan abah je. Tapi tiap minggu saya akan call rumah. Adik ke 2,3,4 mak hantar tak la sesedih masa anak no 1
ReplyDeleteSetuju sangat, melepaskan bukan bermaksud kehilangan tapi sebahagian daripada kasih sayang. Bila rumah tiba-tiba jadi sunyi, masa itulah rindu makin menggamit. Terima kasih atas perkongsian ringkas tapi cukup bermakna ini
ReplyDeletesetuju sgt....bila anak2 dah besar, masuk IPT tu pun satu kejayaan jugakl..alhamdulillah.
ReplyDeleteThanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.