Kos Kerja Kahwin dan Realiti Kewangan
Kadang-kadang niat baik ibu bapa menjadikan satu majlis perkahwinan yang "gah" mungkin menjadi beban yg berpanjangan kepada pasangan pengantin.
Asalnya ibu bapa memang sangat ikhlas, iaitu mahu melihat anak dihargai, diraikan dengan penuh adat, dan melalui detik perkahwinan yang dianggap sempurna.
Tetapi dalam realiti ekonomi hari ini, keputusan untuk menetapkan hantaran yang tinggi dan menganjurkan majlis yang besar boleh membawa kesan kewangan yang jauh lebih panjang daripada tempoh majlis itu sendiri.
Dalam banyak kes, kita melihat angka yang semakin meningkat tanpa disedari, di mana hantaran RM20,000 hingga RM30,000 sudah dianggap biasa, dan kos majlis pula boleh mencecah RM40,000 hingga RM80,000 untuk 500 hingga 800 tetamu, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar RM60,000 hingga RM100,000.
Sedangkan majoriti pasangan muda hanya memperoleh sekitar RM2,500 hingga RM4,000 sebulan, iaitu kira-kira RM30,000 hingga RM48,000 setahun, yang bermaksud kos perkahwinan itu sendiri sudah bersamaan satu hingga dua tahun pendapatan.
Masalahnya...
1. Perkahwinan bermula dengan hutang
Apabila kos terlalu tinggi, pasangan terpaksa membuat pinjaman seperti RM50,000 yang membawa bayaran sekitar RM700 hingga RM800 sebulan selama beberapa tahun, sekali gus mengecilkan ruang kewangan mereka sejak awal perkahwinan.
2. Tekanan kewangan menjejaskan hubungan
Komitmen bulanan yang ketat menyebabkan tekanan berterusan dalam perbelanjaan harian, dan ini boleh mencetuskan konflik walaupun perkara kecil kerana kewangan menjadi isu sensitif dalam rumah tangga.
Fakta: sebab utama penceraian berkisar masalah kewangan.
3. Kehilangan peluang bina asas kewangan
RM50,000 hingga RM100,000 itu sebenarnya boleh digunakan untuk deposit rumah, dana kecemasan, atau pelaburan yang berpotensi berkembang, tetapi apabila dibelanjakan untuk majlis, peluang tersebut hilang begitu sahaja.
4. Menghadkan fleksibiliti hidup dan kerjaya
Apabila sudah terikat dengan komitmen bulanan, pasangan menjadi kurang bebas untuk tukar kerja, berpindah, atau ambil peluang baru kerana perlu menjaga komitmen sedia ada.
5. Tekanan sosial berulang kepada generasi seterusnya. Standard majlis besar ini akhirnya menjadi “benchmark” yang diwariskan, menyebabkan anak-anak pula rasa perlu ikut walaupun tidak mampu.
Dalam semua perbincangan ini, persoalan yang lebih penting sebenarnya bukan sekadar mengkritik, tetapi apakah angka yang lebih munasabah dan praktikal untuk dijadikan panduan.
Cadangan
1.Jika kita melihat kepada pendapatan sebenar pasangan muda yang berada sekitar RM5,000 hingga RM8,000 sebulan secara gabungan, satu pendekatan yang lebih sihat ialah memastikan kos keseluruhan perkahwinan berada dalam lingkungan 3 hingga 6 bulan pendapatan, iaitu sekitar RM18,000 hingga RM36,000 bagi pasangan dengan pendapatan RM6,000 sebulan, supaya perbelanjaan itu tidak menjejaskan kehidupan selepas majlis.
2.Dalam kerangka ini, hantaran yang lebih realistik biasanya berada sekitar RM8,000 hingga RM15,000, dan dalam banyak keadaan RM5,000 hingga RM10,000 sudah memadai untuk memenuhi adat tanpa membebankan, manakala majlis pula boleh dirancang dalam lingkungan RM10,000 hingga RM25,000 dengan skala sederhana sekitar 200 hingga 400 tetamu, sama ada di dewan komuniti, masjid, atau ruang yang lebih praktikal tanpa perlu mengejar persepsi kemewahan. Tapi jika mak bapak nak "payung" dan berkemampuan apa salahnya dan itu cerita lain.
3.Realitinya sekarang, majlis tidak lagi perlu terlalu gah. Jemputan sekitar 500 saudara mara, sahabat dan jiran terdekat sebenarnya sudah mencukupi untuk meraikan hari bahagia tersebut tanpa perlu membebankan pasangan.
4.Perkara paling penting yang sering diabaikan ialah keperluan untuk mengelakkan hutang, kerana jika sesuatu majlis memerlukan pinjaman RM50,000 semata-mata untuk dilaksanakan, itu sebenarnya petunjuk jelas bahawa perbelanjaan tersebut telah melebihi kemampuan sebenar pasangan.
5.Jika dibandingkan secara objektif, RM50,000 yang dibelanjakan untuk majlis akan habis dalam satu hari, tetapi jumlah yang sama jika digunakan sebagai deposit rumah boleh menjadi asas kepada aset jangka panjang, atau jika dilaburkan pada kadar pulangan sekitar 5% setahun boleh berkembang kepada lebih RM80,000 dalam tempoh 10 tahun, menunjukkan bahawa kos sebenar bukan sekadar wang yang dibelanjakan, tetapi juga peluang yang dilepaskan.
Akhirnya, ukuran yang paling tepat bukanlah sama ada majlis itu nampak gah di mata orang lain, tetapi sama ada keputusan tersebut membolehkan pasangan meneruskan kehidupan dengan stabil dalam tempoh lima tahun selepas berkahwin, tanpa tekanan kewangan yang berlebihan, dengan kemampuan untuk menyimpan, membina aset, dan membuat keputusan hidup dengan lebih fleksibel.
Kesimpulannya, hantaran tinggi dan majlis besar bukanlah sesuatu yang salah secara mutlak, tetapi ia perlu selari dengan kemampuan sebenar dan keutamaan jangka panjang. Dalam banyak keadaan hari ini, majlis yang sederhana tetapi bermakna jauh lebih bernilai daripada kemewahan sementara.
Dan jika ada rezeki daripada “salam kaut” hasil majlis, dan terdapat lebihan selepas menampung kos, adalah lebih baik ia disalurkan kembali kepada pasangan pengantin sebagai bekalan permulaan kehidupan, kerana keperluan selepas berkahwin jauh lebih penting daripada sehari majlis itu sendiri.
Atau ada ibu bapa yang menyerahkan semula hantaran kahwin kepada pihak pengantin, sebagai sokongan menjadi keluarga muda. Yang pentingnya, kefahaman ibu bapa dalam membantu anak-anaknya mengharungi kehidupan baru adalah lebih penting.
Akhirnya, keputusan yang benar-benar bijak bukanlah yang paling nampak gah, tetapi yang paling memberi ruang untuk kehidupan yang lebih tenang, stabil, dan berkembang.
Sekadar pandangan...
P/s jangan pulak makin ramai tak kahwin. Ada skim "kahwin perdana" yg ramai-ramai tu. Ok aja sebenarnya (pada yg layak). Kita bukannya artis pun...hehe








1 Comments
Sekarang ini hantaran dah RM30 000 eh?
ReplyDeletePenting jangan berhutang.
Thanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.