Assalamualaikum Abe Kie ucapkan kepada semua pembaca setia blog ini. Masih dalam mood raya ke? Abe Kie ni menyambut raya seadanya. Maklumlah kan, bila dah tua ni mood atau keterujaan nak sambut Hari Raya Aidil Fitri ni semakin pudar. Tidak seperti zaman kanak-kanak dulu dimana suasana raya itu amat terasa! Pada entri kali ini Abe Kie ingin berkongsi pengalaman menyambut Aidil Fitri pada tahun 1447H.
Pada malam raya tu susah betul nak tidur sebab bunyi bising orang bermain bunga api dan mercun di sekitar taman perumahan ni. Sampai jam 1 pagi pun masih ada yang galak bermain mercun. Geram tul. Dah la Abe Kie ni susah nak lena jika bunyi bising macam ni.
Pagi raya pertama tu selepas solat raya, Abe Kie dan isteri serta anak bongsu pergi beraya di Pasir Mas. Manakala anak-anak yang lain pergi beraya dengan mummy mereka di Tanah Merah ini juga. Abe Kie pergi ke Pasir Mas dalam jam 10.30 pagi dan pulang ke rumah sekitar 3.15 petang bagi mengelakkan kesesakan jalan raya. Dekat kampung isteri tu Abe Kie beraya di rumah adik-beradik ipar dan ibu bapa mentua. Cuma rumah terakhir tu pergi ke rumah sepupu isteri.
Pada hari raya kedua pula giliran beraya di kampung Abe Kie di Machang. Sesampai di kampung tu terus menziarahi pusara Allahyarham ibu dan bapa. Sempat baca surah Yassin untuk kedua ibubapa Abe Kie. Semoga roh mereka ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman. Aamiin.
Kemudian Abe kie dan keluarga menziarahi bapa saudara, Pakcik Weil. Dia satu-satunya adik beradik ibu yang masih hidup. Umurnya dah mencecah 76 tahun tapi masih sihat.
Selesai beraya di rumah Pakcik Weil, kami bergerak ke rumah kakak kedua Abe Kie iaitu Kak Yah. Dapatlah berjumpa dengan anak saudara, Hakim dan isterinya Hasanah. Mereka juga guru seperti Abe Kie. Foto keluarga di atas pun Hakim yang tolong snap.
Ni foto bersama Kak Ton di bawah pokok kelapa masa tengah panas terik. Dah la mata sepet, tahan panas lagi la sepet. Hahaha. Setelah puasa sebulan berat Abe Kie turun lebih 4 kg. Sekarang cuma 68 kg. Sedih sangat-sangat bila kurus ni.
Ha! Kami ambil juga foto outdoor sekeluarga. Dah besar belaka anak-anak Abe Kie. Tapi semuanya masih belajar. Lambat lagi la nak dapat menantu. Tema baju tahun ini pelbagai. Janji cantik dan mampu milik.
Pada petang 3 Syawal tu, kawan lama Abe Kie bernama Razaq Lyndon Desker dari Singapura datang beraya ke Tanah Merah, Kelantan dan menginap di sebuah hotel di bandar kecil ini. Selepas dia check in, kami pergi makan di Pizza Hut, salah satu tempat makan yang tak ramai orang pergi makan pada musim raya ni. Kami mula kenal sejak 2006 yang lalu menerusi Friendster kalau tak silap. Razak ni berketurunan Serani Belanda dan telah memeluk Islam hampir 3 dekad yang lepas. Tarikh lahir dia senang nak ingat sebab dia lahir pada 31 Ogos 1964. Pada usia 62 tahun ni dia masih bekerja sebagai HR manager di sebuah hotel terkemuka di Singapura. Lawatan terakhir dia ke Tanah Merah ni pada 2018. Tak ingat la berapa kali dia datang ke sini. Tapi rasa macam hampir 5 kali kot.

Pada hari Selasa tu Razaq ada datang ke rumah Abe Kie dan bersarapan di sini. Ini gambar yang diambil bersama anak-anak Abe Kie. Masa pertama kali Razak datang tahun 2006 dulu si kakak baru berusia 3 tahun. Sekarang dia dah masuk 23 tahun. Lama sungguh persahabatan kami berdua ni. Biar pun bermula di alam maya dan berjauhan tapi jika ada kesempatan pasti berjumpa.
Pada tengaharinya pula, 2 orang bekas murid Abe Kie datang beraya. Mereka ni ambil SPM pada tahun 2017. Yang rendah tu namanya Lokman. Sekarang bertugas sebagai guru di MRSM Baling manakala yang tinggi tu Mifzal. Katanya dia bekerja sebagai jurutera projek di Kota Bharu. Alhamdulillah. mereka sudah ada pekerjaan dengan gaji yang lumayan.
Pada tengahari Rabu tu saya dan anak-anak membawa Razaq bersiar-siar di Jambatan Guillemard yang merupakan satu mercu tanda di Tanah Merah ini. Ada taman yang dibina di tebing Sungai Kelantan dengan latar belakang Jambatan Guillemard. Cantik kan pemandangan di sini?
Jambatan Guillemard ini menghubungkan Jajahan Machang dengan Tanah Merah dan dibina sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Ada landasan keretapi dan laluan untuk kenderaan lain. Teringat pada zaman kanak-kanak melalui jambatan ini dengan kereta untuk ke Tanah Merah. Bas SKMK pun lalu atas Jambatan Guillemard ini. Bila siap Jambatan Kusial pada tahun 1987 maka Jambatan Guillemard ini hanya digunakan oleh keretapi.
Inilah foto kami wefie di replika kepala keretapi pada tengahari yang panas terik. Sudah lama hujan tidak turun di Kelantan. Sangat panas cuaca sekarang.
Ini pula foto kami di hadapan besi jambatan yang runtuh akibat dibom oleh tentera British bagi memperlahankan pergerakan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Pada hari terakhir Razaq berada di Tanah Merah iaitu pada hari Jumaat, 27 Mac 2026, saya membawanya ke majlis kenduri anak kawan saya di Dewan Kolej Vokasional. Sebelum saya menghantarnya ke hotel pada petang itu, Razaq memberikan 4 sampul duit raya untuk nak-nak saya. Lumayan juga jumlahnya. Terima kasih sahabatku. Semoga Razak akan datang lagi pada masa yang akan datang.
Demikianlah kisah sambutan raya Abe Kie pada tahun ini. Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.
0 Comments
Thanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.