Viral isu pakcik teksi (Maxim) terlanggar belakang kereta saga putih dan ditampar oleh perempuan mungkin pemilik kereta yang dilanggar.

Perlanggaran sudah berlaku, kenapa perlu ada serangan fizikal?

Perkara sudah jadi, bawa kereta ke tepi. Bincang apa yang patut dan buat laporan polis untuk tuntutan insurans.

Semasa saya cuti sambung belajar dulu, 3 kali saya terlibat dalam perlanggaran. Berlaku sekitar tahun 2018, 2019.

Entahlah kenapa cuai sangat padahal mula memandu sejak umur 18 tahun, macam - macam size kereta dah saya pandu. Tapi dengan MyVi ini kerap benar saya berlanggar.

Kali pertama saya keluar simpang dalam kawasan rumah, sungguh saya tak nampak lansung kereta Perodua Kancil pakcik India itu.

Tiba - tiba sudah bercalar dan kemek badan kereta dia.

Saya mohon maaf, esok bawa ke bengkel, jumlah kerosakannya saya bayar terus ke bengkel.

Siap dibaiki dia asyik minta duit dari saya, alasannya tak dapat bekerja beberapa hari.

Tak lama kemudian saya nampak keretanya remuk lagi.

Beberapa minggu tambah lagi kemek dibahagian lain.

Suami kata hobi dia dilanggar orang agaknya. Mujur sekarang kereta itu sudah tak ada lagi.

Tiap - tiap hari saya lalu depan rumahnya, dah tak nampak pula uncle ini keluar menjemur kain. Mana dia pergi agaknya?

Kali kedua, pun dalam kawasan rumah, balik dari hantar Akhil ke tadika dan nak hantar Nazran ke taska.

Sedar - sedar terlanggar motosikal auntie berbangsa Cina dihadapan saya. Entah bila masa dia potong kereta saya pun tak sedar. Sebelum itu saya nampak dia semasa berhenti di lampu isyarat.

Yang ini jiran saya kebetulan lalu, dia bantu angkatkan motosikal, dia suruh saya balik rumah. Biar dia uruskan semua.

Dia bantu bawa auntie ke klinik, auntie itu pula walaupun warganegara tapi tak tahu berbahasa melayu langsung. Hmmm...

Jiran saya ini orang India, badannya besar, suara kuat. Auntie itu asyik bising marah dan membebel itu ini, ditempik sekali dengan jiran saya, terus senyap.

Malamnya suami dan jiran saya berjumpa suami auntie tersebut. Dia minta duit nak baiki motosikal, minta duit nak jumpa tabib.

Kami beri jumlah yang sepatutnya.

Esok lusa telefon minta duit lagi. Ah sudah, nak peras ugut pula.

Mujur saya buat laporan polis. Kata sarjan yang terima laporan, kalau terlibat dengan kemalangan, tak kira teruk atau tidak, nak tuntut insurans atau tidak, wajib buat laporan.

Bimbang nanti pihak yang dilanggar melapor dulu dan buat laporan palsu, kita dapat masalah.

Kata sarjan itu lagi, "Ada satu kes ni puan, orang ini langgar belakang, sikit saja tak ada apa - apa dan mereka selesai sendiri. Esoknya orang yang dilanggar itu meninggal atas sebab lain, keluarga itu buat tuduhan terhadap lelaki yang langgar belakang pada hari sebelumnya. Naya dia kena naik turun mahkamah."

Jadi berhati - hatilah ya.

Kali ketiga, ini saya langgar belakang kereta budak lelaki Melayu pula.

Cukup 1 Malaysia kata suami saya.

Yang ini berlaku semasa jalan sesak, depan Astro. Memang salah saya pun tak perasan dia sudah brek, saya terlewat menekan brek.

Kami berhenti di tepi jalan, saya cepat - cepat minta maaf. Budak lelaki itu nampak kalut, nak ke Seri Pentas, dia pemain muzik sambilan. Mujur dia tak marah, tapi nampak dia gelisah.

Rupanya antara sebab dia gelisah adalah kerana dia tak ada lesen memandu.

Patutlah dia ajak saya 'settle tepi' saja. Tapi tak bolehlah, kereta saya kemek teruk. Kereta Ford dia tak seteruk MyVi saya.

Semasa tu tunggu tow truck insurans sampai, geng tonto yang datang lebih awal sibuk nak tawarkan bantuan itu ini. Baru 5 minit kejadian mereka sudah tiba.

Hebatkan?

Jangan layan, tunggu saja yang pihak insurans hantarkan.

Dasyatnya mereka ini, semasa tow truck insurans sampai mereka ugut nak belasah pemandunya.

Mujur ada polis peronda lalu ditempat kejadian, cepat - cepat mereka lari.

Jadi apa perlu buat bila berlanggar?

Bertenang, bawa kereta ke tepi supaya tak ganggu lalu lintas.

Tak perlu bergaduh, minta maaf dan telefon pihak insurans segera. Kalau kereta tak boleh bergerak minta hantarkan kereta tunda.

Ambil nombor telefon dan butir - butir pemandu yang dilanggar.

Buat laporan di balai terdekat. Kena semak kawasan tersebut di bawah jagaan balai kawasan yang mana.

Selesai buat laporan, tunda kereta ke bengkel yang dipilih. Ada orang suka dekat rumah, ada juga yang tak kisah kalau dihantar ke mana pun.

Kita boleh pilih nak hantar ke mana, cuma perlu semak jarak dalam kilometer dan berapa adakah jarak tersebut dilindungi oleh insuran atau perlu bayaran tambahan.

Perkara yang sama perlu dibuat oleh kereta yang dilanggar, hubungi insuran sendiri. Nanti pihak insuran kita akan selesaikan segala tuntutan.

Kereta sudah selamat sampai ke bengkel, jangan lupa ambil barang - barang berharga.

Untuk proses tuntutan insuran pula, sediakan semua dokumen ini.

Salinan kad pengenalan pemandu
Salinan lesen memandu pemandu
Salinan 'cover note' insuran
Salinan geran kereta
Salinan laporan polis

Kalau kereta tu bukan milik kita, sediakan juga
Salinan kad pengenalan pemilik
Salinan lesen memandu pemilik

Sudah serahkan semuanya, tunggu pihak penilai nilai kerosakan, tunggu pula bengkel baiki.

Kadang ambil masa berbulan, ikut nasib masing - masing.

Kes saya dengan budak lelaki itu, dia minta juga duit pampasan sebab mahu betulkan gitar.

Gitar tersebut ada dalam bonet dan rosak sedikit sebab perlanggaran itu.

Kami jumpa di studio muziknya, suami saya periksa, betul ada kerosakan. Mujur suami saya juga bermain muzik.

Tapi, tak lama kemudian dia hubungi suami minta duit lagi. 2, 3 kali dia meminta, suami kata cukup sebab kami sudah bantu yang sepatutnya.

Dari simpati timbul geram pula.

Itulah kisah perlanggaran 1 Malaysia saya.

Tak lama lepas itu saya jual MyVi tersebut, kembali pandu SUV. Dah bertukar kereta 2 kali, 

Alhamdulillah tak ada berlanggar. Mohon Allah pelihara, tak sanggup terkena lagi.

Mungkin nasib saya kurang baik dengan MyVi atau mungkin saya terikut gaya 'king of the road' waktu itu?

Credit goes to Dr. Fara Hamidi, UniKL