Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) merupakan badan yang memainkan peranan penting dalam sekolah.

Peranannya termasuk menyokong pengurusan sekolah, melibatkan ibu bapa dalam proses pembelajaran anak, memperjuangkan kepentingan dan kebajikan murid serta sebagainya.

Di sebalik penubuhan PIBG yang mungkin kelihatan gah di mata masyarakat luar, namun sebenarnya masih ramai yang tidak mengetahui PIBG juga ada 'kisah sedihnya'.

Sinar Bestari memetik perkongsian Mohd Fadli Salleh di Facebooknya, pada Isnin yang menyenaraikan 10 fakta sedih tentang PIBG.

Berikut adalah perkara tersirat yang mungkin orang luar tidak mengetahuinya.

Jom hayati!

1) Mesyuarat Agung PIBG tiada sambutan. Ramai guru dari ibu bapa yang hadir biasanya.

2) Ahli yang tidak hadir mesyuarat paling banyak mempersoalkan keputusan PIBG yang ditetapkan pada hari mesyuarat. Ini paling menjengkelkan.

3) Tidak ramai yang bayar sumbangan PIBG semata-mata kerana ia sumbangan, bukan yuran.

"Anak aku tak bayar pun, semua program sekolah dia boleh masuk.

Semua kemudahan yang PIBG sediakan seperti kipas, dewan, hadiah, motivasi, apa jua yang mengguna dana PIBG, anak aku tetap dapat nikmati seperti murid lain. Buat apa aku bayar?"

Hal ini disebarkan pula supaya kawan-kawan dia dan ibu bapa lain turut serta tidak bayar sumbangan PIBG.

Berbahagialah kalian mengambil dan menggunakan hak orang lain.

4) Kebanyakan sekolah hanya dapat kumpul 30 hingga 40 peratus sahaja sumbangan PIBG. Selebihnya buat keras macam tunggul kayu.

5) Duit sumbangan RM100 untuk seorang murid, hampir 100 peratus ibu bapa datang ambil. Tiada alasan bekerja, sakit dan sebagainya. Tiba hari mesyuarat PIBG, berjuta alasan sampai. Sedih lagi.

6) Guru dan ahli jawatankuasa (AJK) PIBG difitnah makan duit PIBG. Duit PIBG kalau nak keluar waima RM1 mesti ada tanda tangan bendahari dan Yang Dipertua (YDP) PIBG, semua duit yang masuk dan keluar diaudit dan dibentangkan dalam mesyuarat agung PIBG. YDP dan Naib YDP pula adalah terdiri daripada ibu bapa.

Tak datang mesyuarat, kemudian buat fitnah dan sebarkan.

7) AJK PIBG dan guru-guru bertungkus lumus kumpul dana untuk tabung PIBG. Turun naik syarikat dan kedai cari tajaan. Buat jualan dan sebagainya.

Bila ada dana dan baik pulih sekolah atau buat program untuk murid, yang tak bayar sumbangan itu paling banyak mempertikai. Kenapa panggil penceramah itu bukan yang ini. Kenapa tak tukar kipas jenis itu ini dan pelbagai lagi.

8) Ibu bapa pendapatan rendah lebih ramai yang bayar sumbangan PIBG. Yang hanya punya motor buruk, yang hanya kerja buruh. Ada yang bayar ansuran RM10 sebulan. Bahkan keluarga yang kategori asnaf dan penerima zakat pun bayar sumbangan PIBG.

Yang kerja dalam pendingin hawa dan datang dengan kereta menjalar, itu yang ramai liat nak bayar.

Ini realiti yang sangat menyedihkan.

9) PIBG yang disokong kuat oleh ibu bapa mampu berikan keselesaan pada infrastruktur sekolah dan kemudahan untuk murid.

Lihat sekolah Cina, hampir semuanya ada dewan tertutup siap pendingin hawa dan dewan terbuka berbumbung untuk aktiviti outdoor. Semuanya dibuat guna dana PIBG. Pendidikan Jasmani Kesihatan (PJK) masih boleh dijalankan walau hari hujan atau panas terik.

Tapi kebanyakan dana PIBG sekolah kebangsaan, nak tukar meja murid yang reput pun tak lepas. Kipas dah rosak berbulan tak boleh tukar.

10) Anda hanya perlu menyimpan 0.14 sen sehari untuk bayar duit sumbangan PIBG berjumlah RM50 setahun. Tapi itu pun ramai yang gagal buat. Dan sangat ramai yang merungut mahal.

Inilah dia 10 fakta sedih tentang PIBG.

Baca dan hayatilah elok-elok. Kongsilah agar ramai yang tahu fakta sedih ini. Jangan biarkan 10 fakta ini terus bersedih selamanya.

Sokong PIBG untuk anak-anak kita juga. Usah berkira lagi untuk pendidikan anak-anak.

Ibu bapa cakna, anak-anak terbela. Begitulah.