Mutu perkhidmatan sistem pengangkutan bas awam di seluruh Malaysia harus dipertingkatkan oleh kerajaan agar orang awam akan menggunakannya sebagai pengangkutan utama.

Rakyat Malaysia lebih suka menggunakan kereta sendiri sebagai pengangkutan utama berbanding bas awam disebabkan kualiti perkhidmatannya yang kurang memuaskan.

Hal ini mengakibatkan terlalu banyak kereta di atas jalan raya.

Ia mewujudkan pelbagai masalah seperti kesesakan lalu lintas yang teruk (terutamanya di kawasan bandar), risiko kemalangan jalan raya yang lebih tinggi, pencemaran udara serta pemanasan global disebabkan pelepasan gas-gas rumah hijau daripada kereta dan tekanan pemandu kerana kesesakan lalu lintas.

Jika perkhidmatan sistem pengangkutan bas awam diperluas serta dijadikan lebih cekap dan efisien, maka orang awam akan digalakkan untuk menggunakannya sebagai kaedah pengangkutan utama mereka berbanding kereta sendiri.

Antara langkah-langkah yang harus diambil oleh pihak kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan sistem bas awam adalah:

- Membina dan menyediakan lebih banyak bas awam serta memperluas perkhidmatan bas awam di seluruh Malaysia bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas supaya penumpang tidak perlu menunggu lama di perhentian atau stesen bas.

- Memastikan pengendali serta pemandu bas sentiasa mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan serta tidak sesekali lewat apabila memulakan perjalanan mereka.

- Menaik taraf serta membersihkan bas-bas dan stesen serta terminal bas khususnya yang lama dan kotor di seluruh Malaysia supaya orang awam akan lebih selesa dan selamat untuk menggunakan perkhidmatan bas awam.

- Menggunakan bas-bas yang memanfaatkan tenaga elektrik atau gas hidrogen sebagai bahan api agar perkhidmatan bas awam lebih mesra alam. 

- Mengenakan yuran bas yang lebih murah pada permulaan inisiatif ini. Setelah ada peningkatan dalam kekerapan serta jumlah penggunaan bas awam oleh orang ramai, yuran untuk parkir kereta dalam bandar boleh mula dinaikkan. Selain itu, cukai import atas pembelian kereta-kereta asing boleh dikenakan terhadap orang awam yang membelinya. Langkah-langkah sebegini akan menggalakkan orang awam untuk lebih menggunakan bas awam berbanding kereta mereka sendiri.

- Memberi keutamaan kepada perkhidmatan bas awam sebagai pengangkutan awam utama di Malaysia, dan bukannya sistem LRT atau MRT. Pada masa ini, sistem pengangkutan bas awam adalah cukup bersesuaian untuk keperluan bandar-bandar kita yang sedia ada berbanding dengan perkhidmatan sistem LRT/MRT yang tidak diperlukan dan jauh lebih mahal untuk dibina dan diimplementasikan.

Jumlah penduduk Malaysia yang semakin bertambah ini sudah tentunya turut meningkatkan jumlah kereta atas jalan raya, seterusnya memburukkan lagi masalah-masalah yang disenaraikan di atas.

Oleh itu, pihak kerajaan harus mempertimbangkan dan melaksanakan langkah-langkah yang proaktif untuk meningkatkan mutu perkhidmatan sistem pengangkutan bas awam di seluruh Malaysia agar orang awam akan lebih menggunakannya sebagai kaedah pengangkutan utama.