SELAMAT DATANG 2022

Jika kita tidak mampu TAMBAH PENDAPATAN tahun baru ini, kita KURANGKAN PERBELANJAAN. Baru kita jadi jejaka tampan & jelitawan.

1. Batalkan langganan Astro anda, tengok extravaganza bukan boleh jadi kaya raya kawan.

2. Guna lampu LED, mahal mulanya saja. Bila bil elektrik datang kita mula rasa lega.

3. Kurang guna hp, banyakkan berbicara dan kuat kerja. Jangan mengumpat, banyak dosa.

4. Berhenti beli majalah, akhbar dan mastika. Bacaan online sahaja pun dah pening kepala.

5. Hentikan keahlian kelab rekreasi yang mahal gila, padang taman masih hijau dan percuma. Gegadis juga ramai selalu di sana.

6. Bandingkan harga sebelum beli & belah terus, kita tak rugi sebenarnya.

7. Guna email ianya percuma, tak perlu surat, kertas, meja dan mata pena.

8. Beli barang dapur dalam jumlah banyak di Mydin, ianya lebih sempurna dan bergaya.

9. Kurangkan wang dalam dompet bila jalan-jalan. Semakin banyak wang yang ada, semakin lawa semua benda yang kita jumpa. Semakin mengada-ngada nak beli semua.

10. Banyakkan duduk di rumah dari di pasaraya, semua benda cantik ada di sana termasuk promoter jelita yang sudah berusia.

11. Perpustakaan itu percuma, jangan asyik nak beli Majalah Mangga, URTV, Wanita, Nona dan Impiana.

12. Jangan ke restoran sebaliknya ke gerai saja, ia bukan dosa. Api yang dia guna sama sahaja warnanya.

13. Pergi kedai seminggu sekali, bukan setiap hari, beli dan buat simpanan sendiri. Beli sikit-sikit jadikan kita rugi.

14. Patuhi peruntukan belanja anda, tak guna ada i-phone segala jika setiap belanja tidak dicatat dalamnya.

15. Beli pakaian hujung musim, habiskan stok yang sedia ada. Kalau dah kacak macam Brad Pitt, pakai apa pun tetap bergaya.

16. Barang terpakai bukan dosa, bundle pun ada yang baru juga. Jangan pandang sebelah mata. Kalau dah cinta, pakai apa tetap sayang punya.

17. Sewa bilik jika kita masih bujang, jangan melaram dari bilik depan hingga belakang. Kita sedang membazir ruang.

18. Jangan beli kereta jika masih bujang, hantu jembalang tak akan tumpang. Kalau hati dah sayang, Honda 2 roda pun tak mengapa.

19. Berhenti ke saloon dan spa rawatan, potong timun letak di mata. Lepas guna, jadikan ulam. Padan muka sapa yang makannya.

20. Teliti kembali takaful anda, jangan sampai lebih belanja. Jika dah lebih 10%, berhenti saja. Ejen mesti benci saya .

21. Bawa bekal tak mengapa, kita bukan sekolah tadika. Orang tahu kita berjimat, bukan mintak duit mereka.

22. Air kosong tetap sihat dan beri tenaga. Minum saja, jangan mengada- ngada. Air hipsters mahal gila!

23. Jangan merokok dan hisap vape merata-rata, nanti orang ingat muka kita macam ekzos kereta.

24. Naiklah kenderaan awam, banyak awek ada di dalam. Mula-mula memang segan, lama=lama hati tertawan.

25. Kawasan perumahan yang murah itu masih banyak. Beli kos rendah dan sederhana, dah stabil baru beli yang ada kolam dan laman di dalamnya. Jangan terus beli Semi D.

26. Tukar pada jenama lebih murah, jenama Mydin, Evonsave dan Tesco tidak bersalah.

27. Hanya ada satu kad kredit dengan had terendah saja, jika banyak kita cenderung belanja bella amora. Sedangkan rumah belum ada.

28. Mintak diskaun sebelum bayar, tak salah kita mencuba. Untung-untung dapat makanan percuma.

29. Beli bila ada diskaun sahaja, jubah mahal lupakan segera. Pakai saja jubah lama, jika beriman tetap ke syurga.

30. Tukar kenderaan kepada viva atau axia. Minyak tangkinya jimat gila!, Isi sekali tak habis-habis pusing ke mana-mana.

31. Melawat tempat yang percuma. Zoo Negara mahal giler sejak mereka bela Panda. Muzium Negara lebih terjaga. Nak percuma Tugu Negara dan Planetarium Negara ada.

32. Beli untuk kita guna, bukan untuk kelihatan bergaya. Gegadis tak suka lelaki bergaya tetapi sebenarnya papa kedana.

33. Henti beli dan belah ikut suka, selalunya menyesal bila sampai di rumah kita. Semuanya strategik promoter jelita saja.

34. Jangan tukar kereta baru, kereta lama banyak jasanya. Isteri pertama senantiasa bermakna, susah senang kita hidup bersama.

35. Jangan tampar anak murid kita, nanti kita masuk penjara.
 
36. Belajar sedikit ilmu pelaburan,  agar kita tak bergantung pada ASB dan Tabung Haji saja.

37. Jangan pasang impian kahwin lagi, harga pelamin dah cukup tinggi. Itu belum termasuk SST. Masya Allah auranya.

38. Belian online lebih banyak jimat wang dan tenaga. Beli secara bijaksana bukan sebab nak kejar sale Lazadadadada.

39. Jangan ada wanita simpanan, ia tambah belanja sahaja. Bulu mata dia ada harganya. Belajar jadi lebih setia.

40. Selain berjimat belajar tambah pendapatan. Ia lebih baik buat kita. Zaman ini jika bergantung satu pendapatan kita cukup cukup makan. Mesti kita nak jalan-jalan.

Tidak semua orang bijak tambah wang, jika kita belum mampu mulakan dengan berjimat dahulu.

Sumber: Azizul Azli Ahmad