Pelajar terutama calon peperiksaan utama perlu dibantu supaya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian menjadi lebih berkesan terutama pada era pandemik ini.

Pada 15 Julai lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon, melancarkan Program Tuisyen Online Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Percuma 2021 bagi sekolah menengah di kawasan Parlimen Tanjung Piai.

Program sebegini membantu pelajar menjadikan pembelajaran dan ulang kaji bukan sahaja lebih berkesan, bahkan menyeronokkan. Ia sepatutnya dimanfaat pelajar, terutama calon peperiksaan demi masa depan.

Keputusan SPM 2020 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 berbanding 4.86 (2019). Ia sewajarnya menjadi rangsangan bagi calon peperiksaan tahun ini, apatah lagi pencapaian SPM 2020 terbaik sejak 2016.

Proses adaptasi sesi PdP dalam talian bukan mudah, namun tidak mustahil ia akhirnya menjadi trend pembelajaran baharu untuk pelajar, walaupun selepas cabaran pandemik berakhir.

Justeru, untuk memudahkan sesi pembelajaran, guru dan pelajar perlu membiasakan diri dengan penggunaan aplikasi penstriman langsung.

Bagi pelajar memiliki asas komputer, mereka mungkin lebih cepat memahami. Namun bagi kurang biasa, ia mungkin mengambil masa untuk memahirkan diri, tetapi tidaklah sampai tahap mengganggu kelancaran sesi pembelajaran.

Bagi luar bandar, mungkin kaedah pembelajaran seperti ini tidak begitu popular. Namun jika dilihat sebenarnya, pembelajaran dalam talian sudah lama dipraktikkan di Barat. Home learning atau pembelajaran di rumah bukan sukar buat mereka.

Bagi menjayakan pembelajaran dalam talian, perisian dan sambungan internet paling penting. Jika sambungan internet lemah, ia akan menyukarkan pembelajaran dan menyebabkan pelajar sukar memahami subjek.

Ia cabaran besar khususnya bagi pelajar kurang berkemampuan. Pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi mengatasi masalah ini dengan meningkatkan kelajuan internet melalui pemasangan lebih banyak fiber dan pemberian spektrum kepada syarikat telekomunikasi.

Di sebalik kesukaran, pengajian dalam talian sebenarnya banyak kelebihan. Ia melatih pelajar mengurus waktu dengan berkesan. Apa pelajar harus lakukan adalah merangka jadual waktu harian dengan membahagikan waktu belajar, menyiapkan tugasan dan aktiviti lain.

Ia dapat membantu memastikan kehidupan lebih teratur dan efisien supaya kehidupan serta emosi pelajar lebih stabil.

Untuk lebih efisien ketika belajar dalam talian, pelajar seharusnya menyediakan ruang lebih kondusif dan bijak memilih tempat selesa, selamat dan tidak mudah diganggu.

Pastikan ruang tidak mengganggu semangat belajar seperti di atas katil atau bilik gelap kerana ia mengundang rasa mengantuk atau tertidur sewaktu kelas berlangsung.

Untuk mengekalkan konsentrasi juga, pelajar perlu mempunyai rehat secukupnya. Tidur tidak mencukupi boleh memberikan impak besar kepada prestasi pembelajaran. Waktu rehat cukup meningkatkan daya ingatan dan menyegarkan pemikiran ketika pembelajaran dalam talian.

Lakukan juga aktiviti ringan seperti senaman supaya kembali aktif ketika belajar dalam talian.

Memandangkan kaedah pembelajaran ini lebih bebas tanpa guru di hadapan, pelajar lebih mudah hilang fokus. Jika berterusan, sesetengah pelajar akan mula bosan dan tidak dapat mengikut rentak pembelajaran, sekali gus perlu diberi perhatian oleh guru.

Peranan ibu bapa sangat penting bagi memastikan pelajar mampu melakukan tugasan dalam talian secara kendiri.

Ibu bapa perlu membantu dan memantau aktiviti mereka. Ia cabaran baharu kepada ibu bapa dalam mewujudkan suasana pembelajaran di rumah.

Apa pun, berfikiran positif boleh memberikan impak baik sekiranya pelajar dalam keadaan tertekan. Elak daripada memikirkan perkara negatif dan banyakkan berfikir positif untuk berjaya dalam peperiksaan nanti.

Ingatlah, setiap perkara berlaku ada hikmahnya. Jadi mulakan hari dengan fikiran positif supaya dapat memberi semangat untuk memulakan pembelajaran dalam talian dengan rasa gembira, bukan kerana terpaksa dan dipaksa.

Sumber: Dr Wee Jeck Seng (Ahli Parlimen Tanjung Piai, Johor)