Dengan menggunakan barang-barang yang dah sedia ada dalam rumah seperti serbuk penaik, cuka putih, dan lemon, anda boleh memastikan rumah sentiasa bersih dan bau segar!

Tiada perasaan yang lebih membahagiakan daripada melihat rumah bersih tanpa sebarang habuk. Kalau nyamuk mendarat atas lantai pun pasti tergelincir!

Sebab itulah bagi sesetengah rakyat marhaen, bawah sinki dia penuh dengan barang-barang pencuci. Kalau takde Clorox sebotol, Harpic sebotol, tak tenteram jiwa.

Masalahnya, kita ada macam-macam jenis kotoran. Kalau anda nak beli produk yang spesifik bagi setiap keadaan, anda akan habiskan lebih banyak duit daripada yang sepatutnya.

Jadi dalam artikel ini, Abam Kie akan terangkan petua-petua untuk bersihkan rumah menggunakan barang-barang yang dah sedia ada dalam rumah.

Kebanyakan barang-barang yang Abam Kie sebut di bawah boleh didapatkan dari kedai runcit kat kawasan rumah anda (sokong ekonomi tempatan!), tapi Abam Kie senaraikan juga harga yang dijumpai di Tesco Online buat rujukan:

Serbuk penaik (baking soda): Arm & Hammer Pure Baking Soda 454g pada harga RM6.90
Cuka putih: S&W Premium Distilled White Vinegar 473ml pada harga RM6.59
Lemon: Dijual pada harga RM0.99 sebiji
Kain microfibre: 2 helai kain microfibre Tesco pada harga RM7.90
Lint roller: FRONT 3-In-1 Lint Roller dengan refill pada harga RM6.13

1) Bersihkan aliran sinki dengan serbuk penaik dan cuka


Mungkin anda tinggal dengan housemate yang tak reti buang sisa makanan ke tong sampah SEBELUM letak pinggan mangkuk dalam sinki. Lama-lama, anda perasan yang aliran air sinki makin perlahan.

Selain daripada memberi tazkirah kepada housemate anda, anda boleh atasi masalah ini dengan baking soda dan cuka.

Campurkan setengah cawan serbuk penaik dengan setengah cawan cuka, dan ia akan mula berbuih. Tuangkan campuran ini ke dalam sinki dan biarkan buat seketika, kemudian bilas dengan air suam.

2) Bersihkan kepala shower guna cuka


Kalau anda perasan, semburan daripada shower anda mungkin dah tak kuat macam dulu. Ini kerana kepala shower tu dah lama tak cuci. Bukan air je yang perlahan, malah ia boleh mengumpul banyak bakteria.

Ambil beg plastik kecil, isi dengan air dan cuka, dan rendamkan kepala shower tadi. Macam buat jeruk pulak. Pastikan anda ikat beg plastik tadi dengan gelang getah. Biarkan semalaman dan bilas.

3) Bersihkan barang-barang kaca guna air dan cuka


Kesan tinggalan air boleh menjadikan gelas dan pinggan dan mangkuk kaca tidak sekilat dahulu.

Untuk membersihkan kesan ini, rendamkan gelas tadi di dalam campuran cuka dan air buat beberapa ketika, mungkin dalam 15 minit. Kemudian bilas dan lap permukaan kaca tadi. Anda juga boleh sental permukaan tersebut menggunakan berus gigi.

Campuran cuka dan air ini juga boleh digunakan untuk membersihkan tingkap kaca ataupun cermin. Sembur ke atas tingkap dan lap guna kertas surat khabar.

Bagi yang berhati kaca pula, kami masih tidak ada penyelesaian buat masa ini.

4) Buang bau daripada kasut, sofa, tilam, dan sebagainya guna serbuk penaik


Anda boleh guna sebuk penaik untuk buang macam-macam bau.

Pertamanya, ada di antara kita yang jarang sekali basuh kasut. Jadi paling kurang buanglah sikit bau tu. Taburkan serbuk penaik ke dalam kasut dan biarkan. Jangan lupa buang sebelum anda pakai.

Satu lagi benda yang jarang dibasuh adalah tilam dan sofa, yang ini sebab tak muat nak sumbat dalam mesin basuh. Namun anda masih boleh hadkan penyebaran bakteria.

Guna vakum untuk bersihkan tilam/sofa, taburkan serbuk penaik, dan tinggalkan buat beberapa jam. Kemudian sedut kembali guna vakum.

Anda juga boleh letakkan serbuk penaik dalam bekas kecil, dan tinggalkan dalam peti sejuk ataupun kabinet.

5) Bersihkan baju dan perabot daripada bulu kucing


Bagi yang ada kucing kesayangan di rumah, pasti anda faham akan liku-liku yang perlu ditempuhi sehari-hari. Bulu di mana-mana – kat baju, seluar, beg, sofa, cadar, muka pun ada.

Selain daripada memberi makanan yang sihat buat si manja supaya dia tak gugur banyak sangat bulu, pastikan anda ada lint roller kat rumah. Bukan bulu kucing je yang anda bulu kutip, bulu orang pun sama.

Anda juga boleh gunakan lint roller ini untuk mengutip cebisan-cebisan kecil atas lantai, kalau malas nak capai penyapu.

6) Cuci cutting board dengan lemon dan garam


Tak kisahlah cutting board anda jenis apa, anda boleh buang kesan kotoran di atasnya menggunakan lemon dan garam.

Taburkan garam kasar atas papan dan biarkan buat beberapa minit. Potong lemon, dan gosok permukaan papan tersebut dengan isi lemon tadi, dan bilas.

7) Bersihkan kipas siling dengan sarung bantal


Memang dilema kalau nak cuci kipas siling ni. Bila dijolok, habuk boleh jatuh atas muka, atas meja, atas katil. Dah la habuk tu bukan senang nak bersihkan bila kena kain.

Untuk selesaikan masalah ini, anda boleh bersihkan bilah kipas tu guna sarung bantal, supaya habuk-habuk tersebut tak melimpah keluar.

Kalau anda tak cukup tinggi untuk capai kipas, hubungilah rakan-rakan yang lebih berkemampuan.

8) Bersihkan contengan daripada dinding


Kalau anda ada anak-anak kecil yang 'kreatif' sangat (tapi mudah lupa yang mereka ada kertas conteng/papan hitam), anda boleh bersihkan kesan contengan dengan ubat gigi ataupun lap guna kain basah yang disemburi serbuk penaik.

9. Cuci dan buang bau daripada microwave


Campurkan cuka, lemon dan air dalam sebiji cawan, dan pasang microwave selama lima minit.

Stim daripada air tadi akan melonggarkan bahan-bahan yang terlekat pada microwave anda, supaya anda boleh lap ia dengan mudah. Lemon tadi pula adalah untuk menyegarkan bau dalam microwave.

10. Bersihkan span guna microwave


Kalau anda guna span untuk bersihkan pinggan mangkuk, nak guna apa untuk bersihkan si span itu pulak?

Sebenarnya, bila anda biarkan span dalam keadaan lembap, ia boleh mengumpul bakteria dengan mudah. Bau yang datang kemudian pun taklah menyenangkan sangat!

Cara untuk mengelakkan perkara ini mudah sahaja, letak span tersebut dalam semangkuk air dan microwave untuk seminit, supaya dapat membunuh sehingga 99.9% daripada kuman tersebut.

Lepas rumah anda dah bersih hingga berkilau, bolehlah mula memilih pokok hiasan yang terbaik untuk rumah anda, supaya dapat menikmati pelbagai manfaat seperti mengurangkan kemurungan dan membantu peredaran udara dalam rumah!
 
Sumber: www.propertyguru.com

15 Comments

  1. cuka adalah bahan pembersihan yang paling berguna. Nasib baik sebotol RM2 aje

    ReplyDelete
  2. yg microwave tu mmg suka buat lepas tu wangi lemon jaa hehe

    ReplyDelete
  3. tq for sharing. time pkp ni lah ada masa nak cuci toilet lah, bersih dapur tu semua hehe.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih Abam KIe berkongsi tip-tip bergna ini

    ReplyDelete
  5. Ok banyak guna serbuk penaik dan cuma.
    Tips untuk bersihkan kipas am at diperlukan. Terima kasih.

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah. Terima kasih Cikgu AK perkongsian. Boleh praktikkan ni satu persatu.

    ReplyDelete
  7. Banyaknya tips... menarik sangat. Boleh cuba kat rumah..
    Terima kasih abam kie...

    ReplyDelete
  8. terima kasih share... Mmg cermin kat rumah ni semua dah kelabu... pakai sabun makin kelabu jadinya

    ReplyDelete
  9. Yang cuci kipas dengan sarung bantal tue, memang selalu buat, sebab habuk tak jatuh ke lantai.. Tips yang memberi kebaikan untuk seisi rumah, memudahkan kerja-kerja rumah.. Terima kasih

    ReplyDelete
  10. ok... esok kene beli cuka dengan baking soda

    ReplyDelete
  11. time study dl, dpt hosmet yg suka buang sisa dlm sinki sampai tsumbat

    ReplyDelete
  12. Terima kasih untuk perkongsiannya abam kie.. rupanya boleh guna cuka dan baking soda saja. Senang nak cari. Dan macam itu rupanya nak hilangkan bau dalam microwave.

    ReplyDelete
  13. good tips abam.. mmg bagus utk mama ni

    ReplyDelete
  14. Saya banyak dah change to Norwex Alhamdulillah.. Senang skit kerja pembersihan rumah saya..

    ReplyDelete

Thanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.