Assalamualaikum,

Setiap kali bulan Ramadan menjelma salah satu hidangan popular untuk berbuka puasa ialah bubur lambuk. Ia sangat popular di Kuala Lumpur terutama sekali di Masjid Kampung Baru di mana orang ramai sanggup beratur selepas sahaja solat Asar untuk mendapatkan menu ini. Di sini Daddy ingin berkongsi resepi bubur lambuk yang istimewa ini dengan kawan-kawan sekalian. Selamat mencuba! 

Bahan A (dikisar)

• 1 sudu besar jintan manis
• 1 inci halia
• 1 ½ sudu besar jintan putih
• 2 ulas bawang putih
• 4 ulas bawang merah
• udang kering (dimesin)
• ½ cawan kacang tanah (digoreng)
• lada sulah
• kerisik

Bahan B

• 2 cawan beras
• ¼ kilo daging lembu
• 1 cawan udang basah
• daun sup dan daun bawang
• bawang goreng
• daun kucai
• air rebusan daging
• lobak merah (dipotong dadu)
• kacang pis
• garam

Bahan penumis

• 1 kuntum bunga lawang
• 4 kuntum cengkih
• 1 inci kulit kayu manis
• 2 biji buah pelaga

Cara-cara membuatnya

1. Tumiskan bahan penumis hingga wangi. Kemudian masukkan bahan A. Goreng hingga kekuningan.

2. Masukkan kerisik, udang kering, kacang tanah, daging dan udang. Kacau dan biarkan sekejap.

3. Masukkan sedikit air rebusan daging dan biarkan mendidih.

4. Campurkan garam, lada sulah, beras dan air mengikut sukatan beras untuk membuat bubur.

5. Masukkan lobak merah dan kacang pis dan masak sehingga bubur kembang.

6. Taburkan daun sup, daun bawang, daun kucai dan bawang goreng.

7. Siap untuk dihidangkan!