Dari masa ke masa, timbul bahas mengenai kedudukan kewangan negara khususnya sama ada kerajaan ada duit atau tidak.

Baru-baru ini apabila Menteri Kewangan, Datuk Tengku Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kata kedudukan fiskal Malaysia kukuh, adalah orang yang tuduh Menteri Kewangan dulu, Lim Guan Eng bohong pasal dia pernah kata kerajaan tak ada duit.

Masalahnya, banyak orang yang dengar berita macam itu dan kemudian buat kesimpulan sebenarnya tak pun faham hal sebenar. Perkara-perkara yang bersangkut paut dengan kewangan ini rumit dan boleh dinilai daripada banyak sudut. 

Memang benar kedudukan kewangan negara kita kukuh macam Tengku Zafrul kata. Tapi Guan Eng pun tak salah bila dia kata kerajaan tak ada duit. Ini kerana mereka bercakap melalui sudut yang berbeza.

Betul kata Tengku Zafrul bahawa kedudukan kewangan negara kukuh. Kalau dikira semua duit yang ada dalam sistem kewangan, kita sebenarnya ada duit yang banyak. 

Ini kerana ekonomi kita lebih baik daripada kebanyakan negara di dunia dan daripada awal lagi kerajaan galak dan paksa rakyat simpan duit.

Kita simpan duit secara sukarela dalam bank atau melalui pelaburan macam Amanah Saham Bumiputera, Bursa Malaysia dan Tabung Haji. 

Kita juga simpan secara wajib melalui caruman kepada tabung-tabung pencen macam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi anggota tentera dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Jadi memang betullah bila orang kata sistem kewangan kita kukuh. Maksudnya negara kita ada duit. Tapi duit itu bukan duit kerajaan dan kerajaan tak boleh guna sesuka hati.

Duit kerajaan sendiri tak banyak, hanya ada apa yang dikutip daripada orang ramai dan syarikat perniagaan dalam bentuk cukai, yuran, denda dan seumpamanya. Kemudian sedikit daripada sumber pelaburan seperti Petronas dan Khazanah Nasional Berhad.

Itu pun apa yang dikutip setiap tahun tak cukup untuk memenuhi keperluan perbelanjaan kerajaan. Kutipan itu hanya cukup untuk bayar gaji dan pencen kakitangan awam, selenggara pentadbiran dan bayar balik hutang.

Untuk bangunkan negara macam bina sekolah, hospital, prasarana dan beli kelengkapan tentera, kerajaan terpaksa berhutang. Daripada siapa kerajaan berhutang? Daripada kita semua. Kebanyakan kita tak pun tahu yang kerajaan berhutang daripada kita.

Inilah kepelikan pentadbiran kewangan negara. Untuk bangunkan negara kononnya, demi kebaikan kita rakyat jelata, kerajaan berhutang daripada rakyat jelata.

Kerajaan berhutang daripada kita dengan cara menjual surat jaminan dalam bentuk Bon Perbendaharaan. Bon itu dibeli oleh bank, KWSP, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, KWAP, LTAT dan bermacam-macam lagi badan pelaburan yang semuanya guna duit simpanan dan pelaburan kita.

Kesimpulannya, Tengku Zafrul betul bila dia kata, sistem kewangan dan percukaian negara kukuh. Ini kerana sistem kewangan kita ada banyak duit tapi duit itu duit kita, bukan duit kerajaan.

Guan Eng pun betul juga bila dia kata, kerajaan tak ada duit. Memang kerajaan tak ada duit atau tak cukup duit. Kerajaan terpaksa berhutang daripada kita, lepas itu pungut cukai daripada kita untuk bayar balik hutang daripada kita.

Sebab itulah saya selalu kata kita, khususnya orang Melayu, kena faham sikit sebanyak hal ekonomi. Kita tak boleh pandang ringan bila kerajaan menyeleweng dan rasuah. Duit yang mereka seleweng dan rasuah itu duit kita.

Ambil contoh duit RM4 bilion yang SRC International Sdn Bhd pinjam daripada KWAP. Duit KWAP itu duit pencen kakitangan awam.

SRC International ini asalnya anak syarikat 1MDB. la tak mampu bayar balik hutang KWAP sebab berniaga atas angin. Kerajaan kena bayar balik. Daripada mana kerajaan dapat duit? Daripada siapa lagi kalau bukan kita rakyat jelata yang bayar cukai.

Duit yang kerajaan bagi dalam bentuk Bantuan Sara Hidup (BSH) dan sebagainya itu bukan duit derma Tok Arab atau ibu duit tapi setiap sen adalah duit cukai yang kita sendiri bayar.

Wallahualam.

Sumber: A Kadir Jasin (Tokoh Wartawan Negara)