Wednesday, 14 August 2019

Kos Tinggi Punca Belia Lewat Kahwin


Kenduri kahwin kini memerlukan kos yang tinggi. Trend majlis perkahwinan di hotel atau dewan telah mengganti majlis yang biasanya diadakan di rumah. Orang kampung pun sudah pandai kenduri dengan menempah makanan. Jika dulu tuan rumah menghantar kad jemputan secara fizikal, namum sekarang melalui media sosial. Ke mana pergi adat budaya kita?

Dulu orang bagi bunga telur tanda terima kasih tuan rumah kepada tetamu, hari ini ada yang bagi gula-gula, coklat, buah, kek dan berbagai hiasan termasuk rantai kunci dan sapu tangan.

Semua perubahan majlis perkahwinan bermula daripada persedian hingga ke majlisnya menunjukkan masyarakat Melayu Islam Malaysia yang melalui proses perubahan dan yang pasti kelihatan semakin mewah.

Namun berapa ramaikah yang benar-benar tahu tentang hukum pernikahan dan hukum mengadakan kenduri atau walimatulurus? Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab mengadakan majlis dan siapa yang perlu mengeluarkan belanja? Yang pasti, ramai pasangan yang mahu berkahwin, digamit rasa khuatir kerana perkahwinan memakan belanja yang tinggi. Akhirnya, tunda majlis kerana tidak cukup wang.

Perkahwinan juga bukan sekadar kendurinya saja. Hari ini, orang tidak tanya berapa mahar atau mas kahwin pengantin perempuan kerana ia telah ditetapkan (ikut ketetapan negeri) dan orang mampu mengadakannya.

Sebaliknya, tetamu menjeling-jeling wang hantaran dan mengira jumlah dulang yang dihantar. Bukan itu saja, ada yang sanggup membelek-belek barangan yang dihantar hendak menentukan kualiti; tulen atau tiruan.

Ibu bapa sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit malah ada pasangan muda yang sanggup berhutang untuk memastikan kenduri perkahwinan menjadi paling meriah dan paling mahal. Memanglah, pasangan mempelai mahu majlis perkahwinan mereka paling istimewa dan unik sebagai tanda cinta mereka.

Apa yang berlaku hari ini, pasangan mendahulukan semua yang adat seperti membelanja wang untuk hantaran, membeli barang hantaran, membeli bunga telur atau apa-apa buah tangan untuk tetamu, menempah mak andam beserta pelamin, baju dan hiasan perkahwinan.

Pasangan hanya berbelanja RM300 sebagai mas kahwin atau mahar berbanding RM50,000 untuk yang lain-lain sedangkan ia hanya adat, bukannya wajib. Malah ia boleh menimbulkan riak kerana rasa ingin menunjuk-nunjuk dan pembaziran.

Mas kahwin adalah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang.

Bagi memastikan suatu perkahwinan itu sah berlaku dan memenuhi kehendak hukum syarak, pasangan hendaklah diakadnikahkan oleh wali atau oleh pendaftar dengan kebenaran wali dan disaksikan oleh dua saksi.

Pasangan mestilah seorang lelaki dan seorang perempuan dan pengantin lelaki hendaklah membayar mas kahwin kepada pengantin perempuan.

Alangkah mudahnya majlis pernikahan tersebut dan hari ini pasangan telah boleh bernikah dengan mempunyai minimum RM500 kerana jika maharnya RM300, upah nikah dan sedikit yang lain, pasangan boleh diakadnikah dengan selamat.

Tentunya ramai yang berkata "tidak mungkin" kerana hari ini hantaran mencecah RM20,000. Itu tidak termasuk harga barang hantaran seperti cincin pertunangan dan cincin perkahwinan (ada juga yang memberi rantai dan gelang emas) kasut, baju, bag tangan, minyak wangi dan lain-lain barangan sokongan sebagai hantaran.

Ada pasangan berbelanja RM5,000 ke 10,000 untuk hantaran sahaja. Majlis kenduri jika berlangsung di hotel, kosnya kepada berapa jemputan dan jenis makanan yang dihidangkan dan tidak kurang daripada RM50,000. Barang-barang lain yang sangat mahal adalah pelamin, baju pengantin dan bunga telur dan hadiah kepada tetamu. Jika dijumlahkan dari bertunang hingga akad nikah, ada pasangan membelanjakan RM100,000.

Ada yang membelanjakan wang simpanan, ada yang membelanjakan duit ibu bapa yang bergadai bergolok untuk majlis anaknya kerana takut malu dan mahu menjaga air muka dan nama. Lebih malang, pengantin lelaki yang terpaksa meminjam wang bank, koperasi atau kawan kerana wang simpanan tidak mencukupi.

Ramai yang terpaksa bertunang lama kerana perlu mengumpul wang. Lebih malang, bayaran pinjaman belum habis dibayar, isteri dah minta cerai. Menurut kajian, lelaki berkahwin pada usia 28 tahun dan wanita 26 tahun dan adakah ini bermakna pasangan lambat berkahwin kerana faktor kos perkahwinan yang sangat mahal.

Perkahwinan adalah isu jodoh dan kita perlu sentiasa ingat bahawa jodoh pertemuan adalah hak Allah. Memang ramai wanita berkahwin lambat kerana kebanyakan wanita berpendidikan tinggi. Bagi yang wanita perkahwinan bergantung kepada jika ada orang masuk meminang tetapi bagi lelaki sama ada dia mampu untuk meminang.

Jika tamat belajar mereka berumur 24 tahun dan dengan gaji RM3,000 ke 4,000 sebulan, dengan membayar PTPTN, pinjaman kereta dan perbelanjaan harian, mereka mungkin dapat menabung RM1,000 sebulan. Jika perbelanjaan perkahwinan (hantaran sahaja RM15,000) mereka perlu menabung 15 bulan. Jika anggaran perbelanjaan perkahwinan itu RM50,000 maka mereka hanya boleh berkahwin selepas 50 bulan bekerja (iaitu empat tahun) dan tentulah usia perkahwinan menjadi 28 tahun.

Alangkah baiknya simpanan RM50,000 itu dijadikan wang muka membeli rumah dan pasangan boleh terus tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin.

Jadi Abam Kie nak tanya bilakah anda berkahwin? Abam Kie sendiri berkahwin pada usia 28. Dua tahun kemudian barulah menimang cahayamata. Abam Kie mula mengajar pada usia 24. Sempatlah simpan duit untuk menolong ibu dan ayah di kampung disamping buat belanja kahwin. Kerana pada pendapat Abam Kie, selepas grad tu nak tolong orang tua dulu. Mereka x minta pun tapi sebagai anak kita kena membantu ibubapa apabila kita bekerja. Iyolah kan, takkan nak kahwin terus lps grad. Dah la tu, minta ibubapa taja belanja kahwin. Memang x patut!

Jadi abam kie rasa tunggulah beberapa tahun slps dpt kerja yg tetap atau bagus barulah mendirikan rumahtangga, OK? Sekian, terima kasih. 

16 comments:

  1. Peribadi bagi PC apa pun Sederhana Dan ikut kemampuan. Kalau lelaki Dan Perempuan serta keluarga masing-masing faham.. InshaAllah baik-baik sahaja.. Hakikatnya kehidupan selepas akad nikah itu cabaran yang sebenarnya..

    ReplyDelete
  2. Cukuplah sekadar yg mampu, yg penting kenduri diberkati Allah Kan abam akie..

    ReplyDelete
  3. Masa generasi kita memang berfikiran macam tu cikgu lepas grad kerja dulu sebab fikir nak bantu dan senangkan orang tua. Tapi zaman sekarang lain sebab mereka dah sediada senang parents yang ajar jugak tu yang belum kerja pun dah ada yang kahwin sebab parents support.

    ReplyDelete
  4. KAHWINLAH SETELAH BERTEMU JODOH...MAJLISNYA BESAR ATAU KECIL TERGANTUNG KEMAMPUAN

    ReplyDelete
  5. setuju cikgu sekarang nak kahwin belanja bukan main mahal lagi tak apalah saya enjoy dulu puas-puas hidup bujang nampaknya =)

    ReplyDelete
  6. Bila sudah jadi trend maka berlumba-lumbalah orang ikut walaupun tak mampu.. Lebih baik ukur baju di badan sendiri. Lepas majlis hidup perlu diteruskan bukan menanggung hutang keliling pinggang.. Ikut kemampuan janji berkat dan dapat restu ibubapa..

    ReplyDelete
  7. Bagi pendapat sy sendiri sy kurg bersetuju hehe. I mean tidak semua golongan belia nak kahwin hantaran mahal2. Ada pasangan yg ingin berkahwin secara sederhana tp parents pula malu sbb anak sambung belajar tinggi2 .. mcm mana nak hadap jiran2 kalau tanya kenapa hantaran tak tinggi. Mostly graduan skrg mmg berusaha utk cari kerja malah ada yg tak fikir pasal kahwin dulu pun sbb kos sara hidup, hutang lagi. Habis grad pun ada yg belum dapat kerja.

    Itu pandangan sy berdasarkan apa yg sy lihat disekeliling. Apa yg Abam Kie kongsikan pun mmg ada yg mcm tu juga. Apapun kalau nak kahwin lebih baik kita permudahkan dgn mengikut ajaran Islam sendiri. InsyaAllah pasti berkat. Paling penting sekali lepas kahwin tu hehe~

    ReplyDelete
  8. Assalam..

    Sy kahwin di usia 24, zaman sy kahwin tu RM6,000 masih lepas lagi utk jamu tetamu, pelamin dan pakaian pengantin. Rasa nak tercekik dengar kos kahwin skrg yg mengikut trend. Kalau buat kecil kena kutuk, buat besar pun kena kutuk juga, urmmm.

    ReplyDelete
  9. Bagi LeYa, ukur kemampuan diri. Tidak perlu nak bermewah dan terikut-ikut trend hari ini. Yang wajib didahulukan. Yang lain-lain jika benar berkemampuan, boleh diteruskan demi hari bahagia mempelai..

    ReplyDelete
  10. Bagi pendapat Rabia, buatlah majlis kahwin tu secara kecil-kecilan je. Lepas kahwin nanti nak pakai banyak duit. Kalau dh ada anak pula, nak pakai duit banyak juga. Nak beli keperluan anak-anak lagi kan.

    ReplyDelete
  11. haha xde calon pon salah 1 sebab abg kie hihih

    ReplyDelete
  12. mmg belanja kahwin skrg nih sangat menakutkan, tp bg saya itu terpulang juga pd pasangan dan keluarganya utk menentukan majlis itu nanti... bersederhana lebih mudah, untuk masa depan jugak... kalau bermewah dan meminjam sana sini, anak dah 2 tp hutang pun tak abis lagi hehehe...

    ReplyDelete
  13. assalamualaikum abam kie.. betul tau! skrg ni serba serbi mahal.. nk wat kenduri kalau x de duit hmmm habislah.. cian gak kat pengantin lelaki kena berhabis banyk.. lg2 klau hantaran pun mahal.. kan nnti lepas kawin hutang berlambak.. awa dulu hantaran x mahal pun bang kie.. knduri pun sederhana je walau awa anak bnongsu.. sbbnya ayah ckp hidup lepas kawin tu lg penting

    ReplyDelete
  14. buat majlis ikut kemampuan, kekdg pasangan dah ok, keluarga/sanak saudara pulak berlebih-lebihan..

    ReplyDelete
  15. kos sara hidup tinggi sekarang. nak jimat sekurang-kurangnya kena buat majlis serentak lelaki dan perempuan. kalau berharap pada pihak lelaki, sakit lah beliau kena cari duit sana sini. harap saling bergantungan bila majlis mcm ni.

    ReplyDelete