Monday, 29 October 2018

Kenangan Menonton Wayang Pacak Semasa Kecil


DEKAD 60-an dan 70-an dulu, tayangan gambar 'wayang pacak' Jabatan Penerangan menjadi satu medium utama kerajaan untuk menyampaikan maklumat sambil berhibur secara langsung kepada rakyat khususnya di kampung. Zaman tu cuma orang-orang berada aje yang memiliki TV di kampung. Kalau ada, cuma radio. Itulah sumber utama hiburan dan maklumat kepada penduduk kampung.

Jabatan Penerangan hanya menggunakan peralatan yang agak simple seperti janakuasa, kain layar putih bertiang besi, projektor dan filem 16mm pada era tersebut. Bagaimanapun, peralatan-peralatan itu mungkin yang terbaik dan paling sesuai pada zamannya. "Wayang Pacak" mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kampung-kampung pada era tahun 60an dan 70an. Penduduk kampung tidak memanggilnya "Wayang Pacak", tetapi mereka memanggilnya sebagai "Wayang Penerangan".

Di Kampung Pangkal Meleret, Machang, Kelantan pertunjukan tayangan wayang pacak ini diadakan di tanah kosong milik datuk saudara Abam Kie. Seingat abam kie la, pertunjukan wayang pacak yang terakhir diadakan di situ ialah pada tahun 1981. Pada masa tu abam kie baru berusia 8 tahun. Memang la wayang pacak ni diadakan beberapa kali setahun pada dekad 60an dan 70an namun abam kie x berapa ingat. Apatah lagi masa tu abam kie belum lahir. Kalau lahir pun masih kecil lagi.

Biasanya kakitangan Jabatan Penerangan akan tiba kira jam 6 petang dan akan membuat persiapan menaikkan kain layar dan bertiangkan 2 batang besi. Generator akan ditarik jauh sedikit daripada van Jabatan Penerangan kerana tidak mahu bunyi bising generator itu menganggu peti suara. Selesai saja kerja kerja persiapan untuk tayangan malam nanti lagu patriotik akan dimainkan.

Menjelang malam yang pastinya  warga kampung akan keluar menuju ke tempat pertunjukkan sambil membawa tikar mengkuang atau kertas surat khabar sebab tak disediakan kerusi.  Kalau tak bawa tikar atau kertas surat khabar, alamat duduk atas rumput atau tanah la jawabnya. Pasti basah habis punggung. Seronok duduk ramai-ramai atas tikar atau kertas surat khabar sambil mendongak melihat layar putih yang terpampang di hadapan mata, serta menjamu selera dengan kekacang dan air minuman yang dibawa daripada rumah atau pun dibeli di kedai runcit milik bapa saudara abam kie.

Pada kebiasaannya staff Jabatan Penerangan memulakan tayangan wayang gambar selepas waktu Maghrib. Tayangan itu dimulakan dengan filem-filem pendek atau trailer, kemudian diikuti pula oleh filem-filem dokumentari dan seterusnya filem cereka. Lampu dinyalakan dan tayangan dihentikan seketika semasa tayangan filem yang terakhir (biasanya filem cereka) bagi membolehkan Pegawai Penerangan menyampaikan ceramah pendek. Inilah masanya orang-orang kampung mendengar  khabar dari kerajaan mengenai polisi, dan usaha-usaha untuk menaik taraf kehidupan rakyat, penyelesaian masaalah rakyat dan lain-lain. Selepas ceramah barulah filem terakhir disambung semula sehingga selesai.

Kebanyakan filem yang ditayangkan adalah filem hitam putih terbitan Filem Negara yang berbentuk dokumentari dan filem cereka. Kebanyakan filem yang ditayangkan bukannya setakat untuk hiburan semata-mata, tetapi mengandungi mesej-mesej tertentu yang bersesuaian dengan keadaan pada zaman itu. Penduduk kampung amat terhibur menonton tayangan wayang gambar Jabatan Penerangan kerana mereka tidak mempunyai pilihan yang banyak untuk mendapat hiburan dan maklumat yang sahih.
.
Semasa mengadakan tayangan wayang gambar, Pegawai Penerangan juga biasanya membawa buah tangan yang mengandungi pelbagai maklumat seperti risalah, buku kecil, poster dan sebagainya untuk diedarkan kepada orang ramai.

Abam Kie masih ingat, sebelum wayang sebenar bermula, pihak jabatan penerangan menayangkan iklan mengenai Amanah Saham Nasional yang baru diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Hussein Onn. Iklan yang ada tagline 'Merah sangatlah mak ngah! Macam zaman dulu-dulu' tetap menjadi ingatan kepada orang ramai sehingga kini!

Penonton berasa seronok apabila tayangan filem terutama filem Hindi seperti Bobby, Haati Mere Sathi disamping filem arahan dan lakonan Seniman Agung Tan Sri P Ramlee serta drama Dayang Suhana terbitan Filem Negara Malaysia (FNM) ditayangkan.

Biasanya tayangan wayang pacak ni berakhir hampir jam 11.30 malam. Lepas kami pun berjalan balik ke rumah masing2. Jarak rumah abam kie pada masa tu hampir 1.5km jugaklah. Tapi bila menapak ramai-ramai tak terasa sangat letihnya. Cuma yang tak bestnya esok kena bangun awal nak ke sekolah!

Demikianlah pengalaman abam kie menonton wayang pacak semasa kecil.

10 comments:

  1. awa pernah tengok masa kecik2 dulu. lokasinya kat Jengka , temerloh pahang... rumah bapak sedara tonton ramai-ramai citer AZURA Jamal Abdillah.

    ReplyDelete
  2. sempat jg menonton wayang free zaman kanak2 dahulu cigu Abam..

    ReplyDelete
  3. tengok ramai2 di kawasan lapang..seronok sekali rasanya

    ReplyDelete
  4. wahhh... tengok ramai-ramai... meriah kan... pengalaman kecil yang amat berharga ni. tak semua orang dapat..

    ReplyDelete
  5. xsempat merasa..masa cik nor dah ada tv..:)

    ReplyDelete
  6. hai abam kie. ana lahir zaman akhir 80-an dah ada tv dah tp ada pernah terlibat dengan sesi 'wayang pacak' masa karnival jalur lebar beberapa tahun lepas di Felda kami hehe

    ReplyDelete
  7. oh baru tau pasal wayang pacak hehe

    ReplyDelete
  8. Sarie tak sempat merasa tengok wayang pacak ni. Kalau ada lagi sekarang nak juga tengok. Kalau bawa budak-budak sure seronok

    ReplyDelete
  9. memang nostalgia la cikgu bila sebut pasal wayang pacak ni. Zaman dulu gak, jika ada apa-apa mesej nak disampaikan, biasanya mereka akan guna platform wayang pacak. Mereka bauat pengumaman dan orang kampung pakat ramai-ramai pergi tengok wayang pacak. Masa pertengahan cerita, depa stop sekejap dan bagai penerangan. (pasal denggi ke, pasal mengundi ke dan lain-lain isu semasa). lepas habis sessi penerangan, baru cerita disambungs semula.

    ReplyDelete
  10. untung abe kie. mek tkdey meraso.

    ReplyDelete