Sering kali kita mendengar dakwaan bahawa tiada bantuan untuk Bumiputera. Hakikatnya, MARA telah sekian lama menyediakan pelbagai laluan pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan ekonomi yang menyeluruh, dari peringkat menengah sehingga ke pengajian doktor falsafah.

Di peringkat sekolah menengah, MARA membangunkan rangkaian 57 buah MRSM di seluruh negara dengan pelbagai aliran seperti program teknikal, Ulul Albab dan IGCSE. Institusi ini telah melahirkan ribuan graduan yang berjaya dalam pelbagai bidang.

Bagi mereka yang lebih cenderung kepada kemahiran berbanding pembelajaran akademik, GIATMARA menawarkan peluang seawal usia 16 tahun. Program sijil yang disediakan memberi fokus kepada kemahiran sebenar yang diperlukan industri. Malah, bukan hanya golongan muda, orang dewasa dan ibu bapa juga boleh mengikuti latihan bagi meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan.

Selepas itu, terdapat pula institusi TVET MARA yang dahulunya dikenali sebagai IKM, KKTM dan MJII, yang kini menawarkan pelbagai program sijil dan diploma dalam bidang teknikal dan teknologi. Selain itu, Kolej Profesional MARA menyediakan laluan kepada bidang profesional. Lebih menarik, banyak program di institusi ini ditawarkan secara percuma berserta elaun bulanan, walaupun tempat adalah terhad.

Bagi memenuhi permintaan yang tinggi, MARA turut menyediakan laluan pengajian di institusi seperti German-Malaysian Institute (GMI) dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM). Walaupun program ini berbayar, kualiti pendidikannya tetap tinggi dan diiktiraf.

Bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, MARA memiliki dua buah universiti iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM). UniKL terkenal dengan pelbagai program berasaskan teknologi dan kejuruteraan seperti kejuruteraan kimia, mekanikal, elektrik, marin, rel dan penerbangan, di samping bidang psikologi, kejururawatan, perakaunan serta pengurusan. Pengajian pula ditawarkan sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Walaupun yuran di universiti-universiti ini lebih tinggi berbanding IPTA yang menerima subsidi kerajaan, MARA menyediakan pinjaman boleh ubah, tajaan yuran yang besar serta elaun sara hidup kepada pelajar yang layak. Pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang pula menikmati kadar tajaan yang lebih tinggi, malah ada yang hampir keseluruhan kos pengajian ditanggung.

MARA juga menawarkan tajaan khas kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara, termasuk biasiswa penuh kepada mereka yang berjaya memasuki universiti-universiti terbaik dunia.

Semua ini membuktikan bahawa peluang itu memang wujud. Persoalannya bukan lagi sama ada bantuan disediakan atau tidak, tetapi sejauh mana kita bersedia untuk merebutnya.

Jangan sesekali memandang rendah terhadap pendidikan kemahiran. TVET bukan lagi pilihan kedua atau tempat untuk pelajar yang lemah. Hari ini, tenaga mahir sangat diperlukan industri dan ramai graduan TVET menikmati peluang pekerjaan serta pendapatan yang baik.

Ironinya, masih ada tempat yang disediakan tetapi tidak diisi sepenuhnya. Namun pada masa yang sama, masih ada suara yang mengatakan tiada bantuan untuk Bumiputera.

Hakikatnya, peluang telah lama dibuka. Tinggal kita sendiri sama ada mahu melangkah masuk atau terus sekadar memandang dari luar.