Jiran Yang Tak Diundang
Pernah tak korang berdepan tragedi menyayat hati tahap potong bawang, di mana jiran sebelah rumah rancak pasang khemah siap berdentum pasang lagu raya, tapi sepatah pelawaan makan pun tak keluar dari mulut dia untuk korang?
Bau rendang daging dan sate ayam pula sungguh tidak beradab, menusuk masuk terus ke dalam ruang tamu tanpa bagi salam.
Korang mula pasang strategi, acah-acah rajin sapu daun kering, siram pokok bunga dan buat-buat jemur baju yang dah kering.
Keluar masuk pintu pagar lapan belas kali dengan harapan jiran lambai panggil makan.
Tapi hampeh, jangankan pelawaan, jelingan mata pun dia tak sudi nak bagi!
Mesti hati panas mendidih, rasa nak hempas pintu kan?
Sabar geng, jangan terus koyak!
Jom lepak sekejap, Min nak sembang santai kenapa tragedi ini boleh berlaku dan penyelesaian paling elegan tanpa merosakkan kesihatan mental korang yang sedia rapuh tu.
Sebenarnya korang tahu tak kenapa benda ni jadi?
Cuba cermin diri tu.
Sejauh mana kemesraan korang dengan jiran selama ni?
Entah-entah korang ni spesis kalau bertembung muka, terus pecut laju masuk rumah macam nampak hantu bungkus, punya la tak nak jumpa dengan jiran.
Memanglah diorang pun segan nak pelawa korang datang makan!
Tapi kejap, pesanan ini juga khas untuk tuan rumah yang sakan bersuka ria tu!
Hello bos, jangan syok sendiri sangat meraikan tetamu sampai terlupa kewujudan jiran terdekat di sebelah pagar.
Pihak tuan rumah wajib kena alert dengan keadaan sekeliling!
Jiran tu mungkin tak luahkan apa-apa, tapi dalam hati ada taman yang dah rentung terbakar tengok khemah meriah tu.
Jangan ingat jiran sebelah rumah tu teknologi buatan ataupun AI yang tiada perasaan.
Jangan sampai jiran kecil hati merajuk tak nak tegur berbulan-bulan lamanya.
Sekurang-kurangnya, hulurlah sebekas dua juadah, hantar sate sepuluh cucuk pun jadilah buat syarat merasa.
Bau masakan tu dah melepasi sempadan tau, kesian jiran telan air liur dari tadi! Ingat, kalau ada sebarang kecemasan meletup ke apa nanti, jiran tu juga yang tolong telefon bomba, bukannya syarikat katering korang tu!
Untuk jiran yang tak diundang, apa korang nak buat sekarang?
Tolonglah suntik vaksin husnuzon tebal-tebal. Sangka baik sahajalah.
Percayalah, urus majlis ini sangat memenatkan.
Tuan rumah mungkin tepu urus katering sampai terlepas pandang kewujudan korang.
Boleh jadi majlis itu dikhaskan untuk rakan sepejabat sahaja.
Dia risau kalau ajak korang, habis licin kambing golek dia, naya pak karim!
Berhentilah jadi CCTV tak bergaji dan menyeksa diri menagih simpati sepotong ayam masak merah.
Pergi start enjin kereta, bawa keluarga lepak kat Rembayung pekena sayur lemak dan kuih muih tradisional yang viral tu.
Eh, tapi kena booking awal-awal dulu, korang pergi la mana-mana port makan yang boleh korang santai-santai tenangkan jiwa.
Jadikan ini pengajaran deep untuk upgrade kemahiran hidup berjiran korang.
Mari renungkan pesanan padu Rasulullah SAW tentang kehebatan adab hidup berjiran melalui hadis ini:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ
Maksudnya: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jirannya."
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Kesimpulannya geng, sama ada korang tuan rumah atau jiran sebelah, jangan sesekali biarkan isu secucuk sate merosakkan keharmonian.
Lapangkan dada, jaga adab dan telan sahajalah air liur tu perlahan-lahan.
Anggap je rezeki makan belum sampai hari ni!
Esok, bila korang buat rumah terbuka juga, korang nak jemput ke tak jiran korang tu?
#BahagianDakwahJAKIM






1 Comments
Terima Kasih atas perkongsiannya. 'Tepuk Dada tanya selera' eh! sesuai ke?
ReplyDeleteThanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.