Kata pelakon Jalil Hamid dalam Filem Berbisik Pada Langit,
 
"Ibu bapa yang kehilangan anak jauh lebih sakit daripada anak-anak yang kehilangan ibu bapa."
 
Kata-kata itu sangat tepat.
 
Kerana pemergian ibu bapa selalunya sudah dijangka apabila sampai pada sesuatu tahap tertentu.
 
Tetapi pemergian anak tidak pernah kita duga sama sekali. Walaupun mereka mengalami sakit yang kritikal kita tetap berharap kesembuhan itu akan ada.
 
Namun tragedi anak-anak UPSI mengajar kita satu perkara. Mati itu tidak mengenal usia dan masa.
 
Jika ibu bapa mempunyai kehidupan akhirat, begitu juga anak-anak kita. Mereka juga ada akhirat yang perlu dijaga sejak di dunia lagi.
 
Kita selalu beramal untuk diri. Kita jaga solat dan aurat sendiri. Kita ulang alik ke masjid setiap hari, sedangkan anak-anak, subuh pun kita tak kejut mereka bangun untuk menyembah Ilahi.
 
Kita hanya siapkan makanan, tempat tinggal, pelajaran dan segala-gala yang terbaik untuk anak-anak. 
 
Tetapi semuanya untuk kesejahteraan ketika hidup.
 
Kita yakin anak-anak akan melalui masa dewasa kelak dan mereka akan mula berubah untuk menjadi lebih baik. Ketika itu pandailah mereka mencari Tuhan sama seperti kita dahulu.
 
Rupa-rupanya kita tersilap. Syarat mati bukan ketika tua. Kadang-kadang yang muda pergi dahulu.
 
Sekiranya sesuatu yang buruk terjadi, maka ketika itu hiduplah kita dalam penyesalan yang tidak sudah.
 
Mesti kita mengharapkan anak tersayang akan ke syurga tetapi jauh di sudut hati kita tahu laluan itu tidak mudah kerana banyak check point yang harus ditempuhi.
 
Hati kita pasti tertanya-tanya, boleh luluskah dia pada setiap check point itu kerana semasa hayat di dunia kita terlupa untuk mengajar mereka tentang bekalan untuk dibawa ke alam sana. Solat anak-anak pun hanya sekali sekala. Membaca al-Quran jauh sekali. Aurat dan pergaulan tidak pernah kita tegah.
 
Kata ustazah, jika kita gagal menjadikan anak-anak kenal Allah dengan sebenar-benar kenal, maka itulah hutang terbesar ibu bapa kepada anak-anak yang akan dituntut oleh anak-anak di hadapan Allah kelak.
 
Semoga Allah ampunkan kelalaian kita semua. Kita insan lemah yang pastinya tidak terlepas daripada tersalah dan tersilap.
 
Buat anak-anak UPSI yang terkorban tahniah kerana ibu bapa berjaya mendidik kalian menjadi insan cemerlang di dunia hingga ke akhirat, insya-Allah.
 
Mendengar cerita kematian mereka sahaja kita sudah tahu anak-anak ini sangat istimewa. Didikan mereka sempurna. Allah ambil mereka dalam keadaan yang mulia.
 
Jom sama-sama kita berazam untuk menjadikan anak-anak kita juga lebih mengenali Allah. Kita mulakan dengan mendidik mereka untuk menunaikan solat lima waktu secara penuh dahulu.
 
Jangan berputus asa. Didikan memang memerlukan masa dan sabar.
 
Insya-Allah, perkara baik yang lain akan menyusul nanti.