TINGGAL dua hari saja lagi umat Islam di negara ini akan meraikan Hari Raya Aidilfitri selepas sebulan menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Bagi mereka yang kuat beribadah, pasti akan terasa rindu dan sedih dengan pemergian Ramadan iaitu bulan digandakan ganjaran pahala.

Sementara itu, buat mereka yang mementingkan perihal duniawi, pemergian Ramadan tidak begitu dirasai. Pada mereka, tiada yang istimewa pada bulan tersebut kecuali aneka juadah ketika berbuka puasa.

Sebaliknya, golongan ini lebih ternanti-nanti ketibaan Syawal untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga dan sanak saudara sama ada di perantauan atau kampung halaman.

Bagi golongan berada, ketibaan Syawal pasti disambut meriah. Apa tidaknya, pakaian raya lebih daripada lima pasang, kereta dan perabot pula bertukar baharu.

Selain itu, aneka juadah enak dapat disajikan kepada tetamu yang hadir, selain penganjuran rumah terbuka secara besar-besaran di rumah atau hotel mewah.

Sementara bagi segelintir individu, ketibaan hari raya pada tahun ini pasti terasa sangat ‘sakit’ apabila melihat duit di dalam dompet atau baki wang di bank.

Ini kerana, raya pada tahun ini jatuh sebulan selepas pembukaan sekolah. Jadi, rata-rata ibu bapa yang memiliki anak bersekolah terpaksa menggunakan wang untuk membeli pakaian, buku dan kelengkapan persekolahan.

Justeru, ramai antara kita terpaksa memilih jalan selamat dengan melakukan persiapan Hari Raya Aidilfitri secara sederhana pada tahun ini.

Ada keluarga yang tidak berganti baju baharu pada raya kali ini. Ada pula yang memilih untuk tidak pulang ke kampung halaman sebagai langkah penjimatan.

Pada pandangan Abam Kie, biarpun hari lebaran dirayakan secara sederhana dan tidak semeriah golongan kayangan, namun percayalah kemeriahannya tetap dapat dirasai.

Ini kerana, hari lebaran disambut untuk meraikan kemenangan kita selepas menahan lapar, dahaga serta nafsu sepanjang Ramadan. Ia bukan ‘pentas’ untuk menunjukkan kekayaan dengan segala kelengkapan baharu.

Malangnya, ada segelintir individu yang berpegang teguh pada prinsip, ‘biar papa asal bergaya’.

Golongan ini sebenarnya tidak berduit pun, sebaliknya mereka sanggup membuat pinjaman peribadi di bank atau along semata-mata untuk tampil bergaya pada hari raya nanti, sekali gus dipandang tinggi oleh orang di sekeliling.

Abam Kie difahamkan, permohonan pinjaman di bank menjelang raya kali ini meningkat dua kali ganda. Malah, media massa melaporkan bahawa terdapat peningkatan mendadak terhadap pinjaman along menjelang hari raya tahun ini.

Situasi itu bukanlah sesuatu yang baik kerana ia akan menyebabkan golongan berkenaan terhimpit dengan masalah hutang, sekali gus mengurangkan kuasa beli mereka pada masa depan.

Justeru itu, pilihlah untuk beraya mengikut kemampuan masing-masing. Tidak ada salahnya jika terpaksa beraya secara sederhana.