Dilema pasangan suami tua dan wanita muda
Sanggup suami berumur, kena sanggup juga menjaga mereka ke akhir hayat. Jangan kahwin kerana harta
MUNGKIN ada benarnya seperti kata orang, umur hanya sekadar angka. Namun, itu terlalu subjektif.
Menyelak helaian kisah pasangan lelaki tua dan wanita muda, berdasarkan pengalaman saya, rata-ratanya memberi alasan bersatu dek kerana cinta dan jodoh mereka terlalu kuat.
Kononnya, jurang usia bukanlah penghalang untuk mencipta bahagia bersama. Ada juga yang menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan daripada-NYA.
Persoalannya, apakah pilihan tersebut wajar? Mampukah pasangan yang diibaratkan seperti ‘anak beranak’ itu menjadi pasangan suami isteri yang ideal dan hidup dengan aman damai sehingga ke akhirnya?
Ini adalah kerana sejak lebih dua dekad kebelakangan ini, berdasarkan isu semasa termasuk kes-kes yang saya kendalikan, semakin ramai gadis dan wanita muda lebih cenderung memilih lelaki berusia sebagai pilihan hati dan pasangan hidup masing-masing.
Menurut satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik di Universiti Emory, Atlanta, Amerika Syarikat pada awal tahun 2020, semakin besar jarak usia di antara suami dan isteri, maka semakin besar kemungkinan pasangan tersebut tidak mencapai keharmonian dalam rumah tangga!
Output penyelidikan turut menyaksikan, pasangan yang seusia atau berbeza umur hanya satu tahun atau dua tahun, kecenderungan untuk bercerai hanya 3 peratus.
Bagi pasangan yang berbeza usia tiga hingga lima tahun, potensi untuk berpisah adalah 18 peratus. Sementara pasangan yang berbeza 10 tahun, mencecah 39 peratus.
Berbeza pula dengan suami isteri yang berbeza usia 20 tahun. Penyelidikan menyatakan, kecondongan untuk mereka ‘mengucapkan salam perpisahan’ adalah 95 peratus! Angka itu bukan sengaja direka, tetapi berdasarkan kajian sahih, ya.
Walaupun hasil penyelidikan tersebut telah dihebahkan secara meluas di media sosial, namun masih ramai gadis dan wanita muda tetap gemar memilih lelaki tua.
Mengapa? Apa yang mendorong mereka sanggup berbuat demikian?
Berdasarkan kes-kes yang pernah saya kendalikan, lelaki lebih tua menjadi pilihan disebabkan dua faktor utama:
1. Wanita muda tersebut mahukan kehidupan yang stabil.
Biasanya lelaki tua yang dipilih bukanlah lelaki biasa-biasa, sebaliknya
berharta dan mempunyai kehidupan mewah. Status itu diharap menjadi
tempat untuk si wanita bergantung hidup tanpa perlu bersusah payah
dibandingkan jika mereka memilih lelaki seusia yang masih mencari-cari
hala tuju kehidupan.
2 Lelaki tua lebih suka memanjakan wanita muda berbanding lelaki seusia yang agak tegas dan mungkin lebih garang.
Berdasarkan aspek psikologi, lelaki tua dikatakan telah melalui ‘berjuta’ pengalaman hidup. Mereka juga biasanya lebih mudah bertoleransi dengan individu yang lebih muda. Pun begitu, tetap ada risiko dan bahaya. Khusus buat wanita muda, anda perlu faham. Lelaki mula alami kemerosotan dalam diri seawal usia 40 tahun atau disebut andropause.
Tatkala mencapai usia 60-an pula, rata-rata lelaki akan mengalami masalah dalam hubungan kelamin kecuali dibantu dengan ubat-ubatan.
Berdasarkan kes-kes dikendalikan saya, ramai isteri daripada golongan wanita muda yang bersuamikan lelaki tua mengadu tentang masalah hubungan kelamin. Kata mudahnya, tidak memenuhi kehendak mereka.
Kemelut itu menjadi lebih serius jika suami enggan berbincang atau mengakui kelemahan serta tidak mahu berusaha bagi mengatasi masalah yang berlaku.
Malah, terdapat kes, si suami menuduh isteri ‘makan luar’. Saya perlu akui, memang ada isteri-isteri muda yang mengakui mencari kepuasan daripada lelaki sebaya.
Selain itu, terdapat juga kaum lelaki dalam usia 60-an dan ke atas berdepan dengan pelbagai krisis kesihatan. Mungkin tidak berat, namun kemungkinan anda sebagai pasangan bakal menjadi ‘perawat tidak rasmi’ adalah besar.
Jadi, harapan untuk dimanjakan bertukar menjadi pelayan. Maka, tidak hairanlah jika berlaku pergaduhan dan perselisihan pada akhirnya.
Tak dapat restu
Di samping faktor fizikal lelaki tua tersebut, risiko lain yang perlu
dihadapi oleh si wanita adalah penerimaan keluarganya sendiri dan juga
ahli famili si lelaki.
Ramai ibu bapa yang tidak dapat menerima pilihan anak lantaran usia mereka hampir sebaya dengan ibu bapa sendiri.
Apabila tiada restu ibu bapa, memang sukar melayari bahtera perkahwinan dengan aman dan sentosa.
Demikian juga dengan ahli keluarga lelaki. Rata-ratanya sukar untuk berkongsi kasih atau menerima konsep poligami.
Apatah lagi jika wanita muda itu hampir sama umur dengan anak si lelaki itu. Lantas, anak-anak akan menganggap wanita muda tersebut sebagai pengacau. Lebih teruk lagi, mereka dianggap mempunyai niat yang menyimpang.
Apa yang saya boleh katakan, tentangan daripada ahli keluarga kedua-dua pihak biasanya akan mengundang masalah besar.
Pun begitu, saya akui, bukan semua hubungan dan perkahwinan melibatkan wanita muda dengan lelaki berumur gagal.
Pertalian yang kekal sehingga ke akhir hayat bagi saya adalah bertunjangkan kepada keikhlasan, menerima pasangan seadanya, bertoleransi dan berkompromi dalam setiap aspek hubungan rumah tangga.
Itu termasuklah berkaitan dengan hubungan kelamin. Paling utama, adalah hubungan tersebut mendapat restu daripada ibu bapa dan ahli keluarga lain yang terlibat.
Cadangan saya buat wanita muda yang sedang bercinta dengan lelaki tua, tanyakan pada diri, apakah tujuan hidup anda?
Jika semata-mata demi keseronokan untuk meneruskan kehidupan, percayalah, anda sedang berada di laluan yang salah.
Ingat, jangan berniat jahat demi untuk mewarisi harta kerana berdasarkan kes-kes yang pernah saya uruskan, misi songsang itu tidak akan diredai-NYA.
Mungkin lelaki yang anda rasa tidak akan hidup lama itu, mana tahu diizinkan ALLAH panjang pula umurnya.
Andai anda ikhlas dan jujur mengasihi, persiapkan minda kerana anda perlu berlapang dada menghadapi ranjau dan onak yang bakal ditempuhi.
Suka untuk saya ingatkan sekali lagi, apabila memilih untuk meneruskan hidup bersama lelaki tua, secara fitrahnya, ia memang berbeza berbanding jika anda memilih lelaki sebaya. Fikir-fikirkan.
Sumber: Zaiton Manaf
13 Comments
kalau lelaki muda kahwin wanita tua mmg kes rare...kekdg jodoh tu sukar ditafsirkan, rahsia Allah swt...adakah 'Cupid is so dumb'...hahaha...
ReplyDeleteSaya nak komen no komen je la aci tak? haha
ReplyDeletebagus juga kahwin beza usia akan saling tolong bantu kalau isteri muda suami tua n uzur isterilah penjaganya..sama2 tua sama2 xlarat kan susah heh heh
ReplyDeleteterbaca jugak & terdetik jugak .. betul ke sbb cinta? but .. wallahualam kan..
ReplyDeletedoa yg baik2 saja la utk mereka
Gambar hiasan dia tu.... fuh!
ReplyDeleteLelaki berumur tidak segagah lelaki muda dan pilihlah lelaki muda yang stabil ekonomi dan power..hehehehe tapi perlu ingat yang muda pasti akan tua
ReplyDeleteTak mungkinlah sebab cinta!
ReplyDeleteDengan orang muda, kalau merajuk, kena pujuk diri sendiri. Kalau dengan laki tua, nanti dia siap beli handbag, siapa yang tak nak? Hehe..
ReplyDeleteno komen..sbb xde experience lagi..haha
ReplyDeleteTapi saya masih maklum kalo lelaki tua menikah dengan wanita muda . Yg saya susah nak terima, kalo terjadi sebaliknya 🤣.
ReplyDeleteBeberapa waktu lalu di Indonesia ada lelaki muda, menikah dengan nenek2. 😅. Beda usia 55 THN. Pernikahan mereka viral Di indonesia, dan menikah THN 2017. Tapi Alhamdulillah hingga skr masih awet, jadi mematahkan anggapan kalo si pria hanya cari sensasi.
Kejadiannya di sumatera selatan. Walopun ternyata mereka baik2 aja, tapi ttp sih saya ga akan setuju kalo anak saya menikah dengan pasangan terlalu jauh 😁
Cuya lah yang jenis tak suka lelaki tua sangat ni...harap2 dapatlah berjodoh dengan lelaki yang tak jauh beza usia
ReplyDeleteApapon kita hanya merancang, Tuhan menentukan segalanya. Moga yang terbaik akan hadir :)
Kalau benar ada keikhlasan dalam mencintai dan mengambil berat mengapa tidak tapi jika sebalik nya mmg mencari sesuatu la .. ke gane?
ReplyDeleteTeori saya pulak, sebab zaman skrg ni ramai anak2 yg ibubapa dieorg bercerai dari dieorg kecik jadi ada yg dahagakan kasih sayang ayah. Bila dieorg cari pasangan yg lebih tua, dieorg sbnrnya cari pengganti figura seorang ayah yg lama hilang. Pendapat saya la.
ReplyDeleteThanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.