"Mama, tolong tengok jap, mak kencing ni."

Jerit suami dari luar. Waktu ni aku ada dalam bilik sedang menyiapkan kerja.

Bergegas aku keluar.

"Napa lambat bubuh pampers?", tanyaku pada suami.

"Luqman ni hah, lambat sangat bubuh minyak EO tu."

Mak baru lepas mandi. Ya, mak mandi awal. Begitulah rutin kami suami isteri.

Memang mak perlu diuruskan awal pagi, sebab kami nak mengelakkan banyak perkara-perkara lain yang mungkin berlaku.

Biasa awal pagi pampers mak memang lencun.

Cadar akan sentiasa berbau haring.

Setiap hari alas yang kami lapik masa mak baring di katil, memang setiap pagi kami jemur dan cuci.

Sebabnya, bau air kencing mak memang kuat hingga melekat di kain mak pakai dan juga melekat di kerusi roda mak duduk.

Bilik memang berbau.

Tapi, anak-anak kami, Nuraisya dan Maryam yang tidur sebilik dengan tok dorang, tak pernah bising lagi. 

Sebab tu lah kami sentiasa uruskan mak mandi di awal pagi.

Banyak benda kami nak elakkan dari berlaku.

Dan yang paling utama adalah emosi kami sendiri.

Sebenarnya inilah kali pertama mak kencing masa kami nak pakaikan pampers.

Aku ambil plastik beras yang memang kami sediakan khas untuk jadi pelapik kerusi roda, bila pampers mak lencun dan bocor. 

Aku ambil kain batik mak yang pakai semalam, aku lap air kencing yang meleleh di kakinya.

Kemudian aku lap air kencing yang meleleh banyak di tikar getah.

Suami terus bawa mak ke dalam bilik air, basuh kencing dan lap semula kaki dan punggung mak yang dah dibersihkan dengan kain tuala mandi mak.

Melihat keadaan emosi suami yang sedikit tergelincir, aku ambil alih urusan ni. Aku suruh suami keluar dari bilik air agar aku dapat uruskan mak.

Selesai uruskan mak, aku mop berkali-kali tikar getah yang terkena air kencing tadi hingga aku yakin bersih. 

Hakikatnya, aku tahu bukan mudah nak mengurus emosi bila perkara-perkara begini berlaku.

"Setiap apa kebaikan yang kita lakukan ni adalah di kira sebagai sedekah. Kalau kita tak mengeluh, merungut, In Sha Allah, pahala sedekah itu kita akan dapat sampai hari akhirat."

Begitulah aku mengingatkan suami.

"Awal tadi memang dah niat, nak jaga emosi, tapi tu lah, ujian betul. Bukan senang nak urus emosi", balas suami.

"Mestilah, orang berimankan. Allah nak uji la keimanan kita." Jawabku.

Tapi, Alhamdulillah, ilmu yang kami suami isteri belajar tentang lapisan-lapisan hati, buatkan diri kami sentiasa cepat-cepat tersedar bila tahu, emosi tergelincir.

Cepat-cepat kami istighfar.

Begitulah, orang yang melihat, tidak sama dengan orang yang menguruskannya setiap hari.

Orang yang menjaga di hari minggu, tidak sama dengan orang yang menguruskannya setiap hari. 

Sebab tu lah kami sentiasa mencari ilmu untuk dekat kan diri dengan Tuhan.

Agar, kami dapat menjaga diri kami dari terus di kuasai emosi sendiri yang boleh menghilangkan pahala-pahala kebaikan kami ketika kami diberi peluang untuk berbakti kepada mak. 

Dan inilah situasi kami. Sentiasa saling ingat-mengingatkan antara satu sama lain.

Ketika emosi aku tergelincir, suami yang mengingatkan.

Ketika emosi suami yang tergelincir, aku yang mengingatkannya.

Bukan mudah nak masuk syurga.

Ia adalah satu perjuangan.

Perjuangan melawan syahwat dan syubhat sendiri.

Kerana melaluinya, kami dapat BERSABAR ketika menguruskan mak kami.

Dan melaluinya, kami dapat BERSYUKUR dengan nikmat berbakti ini yang Allah kurniakan kepada kami.

Kami tidak sempurna.

Kami juga manusia biasa.

Tetapi, kami sentiasa memperbaiki diri kami untuk kami meraih Syurga Firdaus yang kami dambakan.

Hidup kami, sentiasa di penuhi KHAUF (takut) dan RAJA' (harap) akan setiap apa yang kami lakukan.

Kami merasai banyak perbezaan diri kami di awal dulu yang tidak mengenal Tuhan, berbanding sekarang yang sedikit demi sedikit kami sudah mengenal Tuhan. 


Inilah UJIAN hidup kami.

Ternyata, UJIAN kita semua adalah berbeza.

Kerana Allah itu Maha Mengetahui kemampuan setiap hamba-hambaNya.

Astaghfirullah wa atu bu ilaih.

#kisahcaregiver

#maksakitstroke

Aku yang mencari jiwa takwa pada seorang ibu,

Sumber: Nor Halmi Ahmad