Kebanyakan orang duduk di rumah sepanjang PKP ni, tapi kerjaya Abam Kie ni mana boleh stop, Abam Kie kena juga pergi ke sekolah dan mengajar calon-calon SPM 2020 tu. Selain daripada itu, Abam Kie kena buat mengajar murid-murid tingkatan 4 dan 5 tahun 2021 secara dalam talian! Yang geramnya jadual mengajar menjadi padat kerana kena mengajar 8 kelas! Dah la tu kelas bersemuka dan online bertembung tapi kena laksanakan kedua-duanya! Tapi Abam Kie lebihkan calon-calon SPM 2020 la sebab pada 22 Februari ini mereka nak exam dah. Selesai kertas Bahasa Inggeris nanti barulah ringan beban mengajar ini. In Shaa Allah. 

Oklah. Cukup sudah Abam Kie membebel pasal kerja. Hari ini Abam Kie nak mengajak semua layan dulu baca tempat-tempat menarik dekat Pulau Pinang. Pulau Pinang adalah antara negeri di Malaysia yang sentiasa menerima kunjungan ramai pelancong, dari dalam dan luar negara. Biasanya kalau sebut Penang je, mesti orang semua terbayang kan yang bahagian pulau lebih kan? Sebenarnya, bahagian seberang juga ada banyak tempat menarik boleh dikunjungi. Tak caya? Jom baca senarai ni.   

Guar Petai

Permata tersembunyi Guar Petai ini juga dikenali sebagai Frog Hill merupakan bekas tapak kuari yang ditinggalkan di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara. Mempunyai pemandangan yang cantik dan ada yang samakan seperti di Jiuzhaigou China.

Asalnya kawasan ni merupakan ladang getah sebelum dijadikan tapak kuari pada tahun 1970an. Kawasan agak terpencil tapi mempunyai pemandangan yang sangat cantik. Sesuai untuk sesi penggambaran.

Hasil pembacaan Abam Kie, kalau ke sini, jangan lupa untuk buat persediaan sebab perlu mendaki bukit kecil. Jalan tanah merah agak licin kalau selepas hujan dan digalakkan untuk berkumpulan. Paling tidak kalau jatuh tu adalah kawan yang boleh tolong angkatkan! Hehehe...

Jangan lupa sunblock,  sunscreen dan bekalan air minuman secukupnya sebab cuaca boleh jadi agak panas. Takut nanti kulit jadi hitam bila kena panahan cahaya matahari dan dehydrasi dek kurang air. 

Tengok gambar-gambar orang yang pernah pergi menarik sungguh. Nanti lepas PKP ini Abam Kie teringin nak ke Seberang Prai plak sebab masa pi Penang 5 tahun lalu cuma terokai pulau aje. 

Hutan Lipur Bukit Mertajam (Bukit Mertajam Recreational Forest)

Kawasan Taman Rimba Bukit Mertajam yang berstatus hutan lipur ini dikenali juga sebagai Hutan Lipur Bukit Mertajam atau Cherok Tok Kun yang mempunyai keluasan lebih kurang 37.0 hektar dengan puncak tertinggi mencapai 545 meter dari aras laut. Taman Rimba ini masih mempunyai pokok-pokok dan tumbuhan asal seperti Meranti Seraya dan Meranti Rambai Daun. 

Di antara daya tarikan utama taman rimba ini lebih kepada aktiviti lasak seperti  pendakian bukit melalui 'jeep track' atau denai hutan boleh dilakukan sehingga ke puncak bukit. Selain itu, acara "downhill mountain bike" juga memilih Taman Rimba Bukit Mertajam sebagai salah satu destinasi di bahagian utara Semenajung Malaysia.

Untuk pengetahuan kawan-kawan, pelbagai aktiviti boleh dijalankan di sini seperti beristirehat, berkelah dan mandi-manda. Di samping itu bagi yang meminati aktiviti pendakian yang mencabar ini melibatkan jarak 3.5km dari bawah dan akan mengambil masa melebihi 1 jam bagi pendaki bertaraf sederhana untuk sampai ke Stesen 3. Sepanjang pendakian kawan-kawan pasti dihiburkan dengan kicauan unggas, serangga eksotik serta dapat menikmati keindahan pemandangan dari puncak. Kemudahan minuman disediakan di Stesen 3 oleh sukarelawan untuk keselesaan awam. Terdapat beberapa buah kolam mandi turut dibangunkan untuk orang awam bagi tujuan mandi-manda dihutan lipur ini.

Lokasinya hanya 8 km dari bandar Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Untuk sampai ke sana, kawan-kawan boleh menggunakan teksi dari bandar Bukit Mertajam kerana tiada kemudahan bas ke dalam kawasan ini. Bagi kenderaan persendirian yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan perlu keluar melalui Tol Juru, menuju ke bandar Bukit Mertajam dan kemudian menggunakan jalan menuju ke Kulim. 

Masuk adalah percuma dan ia dibuka setiap hari dari 7.00 pagi hingga 6.00 petang

Air Hitam Dalam Educational Forest

Terletak di Kampung Air Hitam Dalam, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU), hutan paya air tawar ini mampu memberi pengalaman menarik kepada setiap pengunjung yang bertandang. Namun begitu, ramai yang tidak mengetahui destinasi tersebut adalah amat sesuai untuk dikunjungi oleh seisi keluarga. Umumnya, Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam adalah meliputi kawasan paya darat seluas kira-kira 11 hektar serta bersempadan dengan dua buah sungai iaitu Sungai Kereh dan Sungai Air Hitam.

Selain jenis flora yang tersenarai, spesies fauna paya darat seperti memerang, monyet, biawak dan pelbagai (spesies) burung juga dapat diperhatikan di dalam kawasan ini. Sekiranya bernasib baik, pengunjung boleh melihat spesies buaya yang kadang-kadang timbul di sungai berhampiran.

Pada bulan Oktober hingga Jun, taman rekreasi yang berada di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Pulau Pinang dan tidak mengenakan sebarang bayaran kemasukan menjadi tumpuan para pelancong dari dalam serta luar negara terutamanya dalam kalangan para penggemar burung.

Ini kerana, kawasan tersebut merupakan habitat pelbagai spesies burung dan lokasi persinggahan burung hijrah. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 150 spesies burung telah dikenalpasti. Untuk memudahkan para pengunjung menikmati keindahan panorama alam sambil membuat pemerhatian terhadap spesies-spesies flora dan fauna di sini, kemudahan pelantar pejalan kaki, pondok-pondok rehat, jambatan gantung, pelantar pemandangan, tandas dan dangau disediakan.

Pantai Bersih (Butterworth)

R&R Bagan Ajam atau dikenali juga sebagai Pantai Bersih R&R Bagan Ajam, kerana lokasinya yang strategik, terletak di sepanjang pesisiran pantai di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) hingga ke Pantai Bersih di Bagan Ajam.

Menariknya R&R Bagan Ajam ini adalah kerana antara Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang mempunyai pantai yang indah, berlatarbelakangkan bandar Georgetown.

Pantai Bersih R&R Bagan Ajam ini sering menjadi tumpuan penduduk setempat untuk beriadah, berkelah, berkhemah serta mandi-manda di pantai. 

Pantainya bersih dan dijaga, hasil usaha kerjasama pihak LLB dan sukarelawan setempat yang dikenali sebagai Lestari R&R yang sering menjalankan aktiviti bersih pantai (beach clean-up) pada setiap hari Ahad, setiap minggu.

Terdapat dua bahagian di Pantai Bersih R&R Bagan Ajam ini.

Pertamanya, lokasi pantai yang agak berbatu, terletak sebelum Plaza Tol LLB dan sebelum Kompleks R&R. 

Lazimnya, kawasan pantai yang berbatu ini dipenuhi oleh pengunjung yang memancing dan menangkap ikan.

Manakala, ruangan pantai selepas Plaza Tol LLB, iaitu di sepanjang Kompleks R&R adalah kawasan yang berpasir, sesuai untuk seisi keluarga beriadah, bermandi-manda dan berkhemah.

Pelbagai kemudahan disediakan di Pantai Bersih R&R Bagan Ajam ialah parkir percuma, tandas dan bilik mandi, surau, kafeteria, padang untuk beriadah dan stesen petrol Shell. 

Antara tips buat pengunjung yang ingin berkunjung ke Pantai Bersih R&R Bagan Ajam:

i. Elak datang pada petang Ahad atau malam Isnin.

ii. Datang pada hari Sabtu (untuk hujung minggu)

iii. Berkunjunglah ke kawasan pantai berpasir kerana ia lebih selamat dan terdapat pelbagai kemudahan.

iv. Aktiviti membersihkan pantai (Beach Clean-Up) diadakan setiap Ahad jam 7.00 pagi hingga 10.30 pagi, terbuka untuk semua.

Ha tu antara tempat-tempat menarik di luar kawasan pulau. Kalau nak cuba makanan sedap-sedap, boleh ke Sungai Dua, Butterworth. Ada char kuew teow, mee udang dan makanan berasaskan seafood. Bagi yang luar dari Penang, boleh la buat pilihan hotel penginapan yang menarik dengan carian hotel in penangKalau korang rajin jugak, baca dulu review hotel in penang supaya boleh buat perancangan awal dan untuk mengelakkan diri dari menginap di hotel yang tak memenuhi kehendak korang.