Jika anda sedang mencari idea untuk mengisi ruangan kosong yang mungkin ada di dapur atau balkoni, boleh cuba untuk meletakkan tanaman yang sesuai dan bermanfaat. Panduan ni memberikan anda 14 jenis yang sangat mudah ditanam, walaupun dalam rumah.

Bagi yang suka menanam je akan faham kepuasannya bila ada pelbagai tanaman sendiri di rumah. Bukan saja sejuk mata memandang, tapi kalau dapat tanam herba atau sayur-sayuran, memang sangat menyenangkan bila nak memasak di dapur.

Bila nak masak atau makan buat ulam hanya perlu gunting atau petik je dari pokok. Indahnya rasa kalau dapat buat macam tu kan, selain tu dapat juga berjimat-cermat! Tapi, tak kurang juga orang yang bila dengar je pasal bercucuk-tanam mesti ramai yang mengeluh susahnya.

Mulalah terbayang nak cangkul tanah bagai, sedangkan ada cara yang mudah dan tak perlu pakai banyak barang pun. Kalau yang duduk kondo, rumah flat, atau rumah teres tapi tak ada tanah, sangatlah sesuai untuk menanam jenis tanaman dalam rumah ni.

Kalau Nak Mula Menanam, Apa Yang Diperlukan?

Sebelum nak menanam, kena lah tahu sikit pasal tanah. Sikit je, kami janji! Jenis tanah untuk tanaman juga memainkan peranan yang penting untuk memastikan kesuburan tanaman. Ada beberapa jenis tanah yang perlu digunakan:

Tanah Atas – lapisan tanah yang paling atas pada tanah.

Tanah Bakar – sisa tanah liat; selalunya dari pembuatan pasu.

Tanah Hitam – tanah yang dah dicampur dengan sekam bakar.

Pasir – pasir sungai atau lombong.

Bahan Organik – kompos, sabut kepala halus atau mana-mana najis haiwan ternakan (lembu, kambing, ayam, arnab).

Bagi yang pandai, selalunya mereka akan campur sendiri tanah-tanah ni dengan sukatan sendiri. Tapi, untuk memudahkan kerja, anda boleh beli yang boleh terus dipakai di kedai je.

Apakah Jenis Tanaman Yang Sesuai Dalam Rumah?

Tanaman boleh menceriakan ruang rumah, dan boleh menjadi sangat berguna untuk menyegarkan udara, memasak, dan sebagai hiasan.

Jadi, mari kita tengok apakah 14 jenis tanaman yang menguntungkan di Malaysia kalau ditanam sendiri:

1) Cili Padi


Bagi yang gemar makan pedas, cili padi ni memang antara bahan dapur yang selalu kena ada dalam peti. Kalau makan tak rasa pedas cili padi tu macam hilang nikmat makanan tu! Jadi, apa kata pada yang minat dengan cili padi cuba tanam sendiri dekat rumah. Nak makan pun senang, dapat petik yang segar lagi. Caranya mudah saja, anda hanya perlu potong cili padi dan ambil bijinya.

Sediakan pasu berisi tanah dan masukkan biji cili tadi dan siram dua kali sehari. Kalau anda nak guna benih cili yang jual di kedai tu pun boleh juga. Bila dah nampak anak pokok cili dah mula bercambah, anda boleh alihkan ke pasu yang lebih besar jadi pokok cili anda bolehlah membesar dengan jayanya.

Serius, cantik sangat bila dah start keluar cili-cilinya nanti. Nampak warna-warna merah, hijau tu pun dah terliur rasa nak tambah nasi!

2) Daun Bawang


Daun bawang ni memang dikira pelengkap selera lah kalau pada yang minat tu. Makan apa pun mesti nak tabur daun bawang, lagi-lagi kalau makan sup. Paling tak best bila nak beli daun bawang ni, tak boleh nak beli sikit-sikit. Bila simpan dalam peti lama-lama, terus jadi lembik dan tak sedap dah makan.

Haa, bayangkan setiap kali nak masak, dapat potong yang segar je dari pokok. Best kan? Nak tanam pun kena ada bawang merah tu je.

Potongkan dulu bahagian atas bawang merah tu sikit untuk cepatkan percambahan dan tanamkan bahagian akarnya di dalam pasu yang bertanah. Pastikan anda siram sekali sehari dan pokok mendapat cahaya matari.

Dalam 3 minggu macam tu, ia akan mula membesar. Ada juga cara baru yang mana orang gunakan papan telur untuk tumbuhkan daun bawang ni.

Basahkan papan telur dan letak tanah sedikit pada setiap ruangan tu dan letakkan bawang merah yang dah dipotong bahagian atasnya di situ.

Bila dah besar dan tinggi daunnya, bolehlah memotong daun bawang yang nak digunakan.

3) Daun Saderi

Ni lagi satu bahan yang memang kena ada bila masak sup. Kalau takde ni, boleh lari rasa sup tu tau. Ada juga yang suka ratah daun saderi ni, rasanya sangat rangup dan menyegarkan!

Untuk tanam daun saderi ni, anda perlukan lebihan bahagian akar sayur saderi tu sendiri. Ambil dalam 3 inci bahagian akar saderi, cucukkan dengan batang lidi dari bahagian luar supaya akar tak mencecah bawah bekas dan rendamkan di dalam bekas berisi air. Letakkan bekas pada tempat yang kena cahaya matahari. Bila daun saderi dah mula bercambah, boleh alihkan ke pasu berisi tanah dan siram dua kali sehari.

Pastikan tanah sentiasa lembap untuk daun saderi tumbuh dengan segar. Oh, nak cuba resepi lain dari yang lain tak? Mungkin ada yang dah pernah buat, tapi bagi yang belum. Anda boleh sapukan mentega kacang (peanut butter) pada daun saderi dan makan macam tu je. Sekali makan, pasti nak lagi!

4) Daun Pudina (Mint)

Bila nampak je gambar daun pudina ni terus terbayang air sejuk-sejuk lepas tu letak lemon dan daun pudina. Enaknya kalau dapat minum masa musim panas ni! Selain femes orang guna letak dalam air, daun pudina ni memang banyak digunakan dalam masakan Arab atau India. Kalau tu makanan kegemaran anda dan memang selalu masak masakan tu, wajib ada daun ni kat dapur.

Senang sangat tau bila boleh petik je daun pudina masa nak pakai. Bau pun segar sangat, gerenti asyik nak masuk dapur bau pudina je lepas ni. Macam mana nak tanam? Okay, mula-mula sekali, beli keratan batang daun pudina dan buang daun yang ada di bahagian bawah. Lepas tu boleh terus cucuk ke dalam pasu berisi tanah dan letakkan di tempat redup. Pastikan anda spray air untuk melembapkan tanah.

5) Daun Ketumbar

Ade sesetengah orang memang sangat gemar dengan daun ketumbar ni, tapi ada juga yang tak tahan dengan baunya. Daun ketumbar ni pun femes juga dalam masakan India dan Timur Tengah. Hampir semua menu utama mereka akan menggunakan bahan ni. Baik dalam masakan, ataupun sebagai hiasan.

Kalau anda memang sukakan daun ketumbar, sangat berbaloi untuk jadikan tanaman dalam rumah sebabnya caranya tersangatlah mudah. Dapatkan daun yang ada akar tu dalam 2-3 inci, dan rendam dalam bekas berisi air. Bila dah nampak besar lagi beberapa inci, masukkan ke dalam pasu. Timbuskan bahagian akar je dalam tanah dan bahagian batang tu pastikan tak masuk dalam tanah jadi pokoknya boleh tumbuh dengan elok.

6) Serai

Serai ni bukan saja wangi tapi kalau nak masak tom yam ke masak lemak cili api ke, memang wajib kena letak ni. Kalau tak memang tak menjadi masakan tu. Percayalah! Selalu kita tengok serai ditanam atas tanah kat luar rumahkan. Kat kampung-kampung memang banyak, senang sangat bila nak masak je pergi potong kat rimbunan serai tu. Tapi kena hati-hati sebab daun-daunnya tajam.

Tapi, kalau duduk kat bandar, lepas tu rumah pun tak ada tanah nak bercucuk tanam. Haaaa, ni lah yang kami nak kongsi, cara tanam serai dalam pasu pula. Guna lebihan serai je dan rendamkan bahagian akar dalam bekas berisi air. Akar serai akan mula tumbuh lagi banyak lepas 3-4 hari.

Bila dah ada tunas tu, terus pindahkan masuk dalam pasu dan tanam secara menyerong. Untuk 7 hari pertama, anda kena siram 2 kali sehari, lepas daripada tu, anda hanya perlu menyiram sekali sehari je. Lepas tu, tunggu je sampai serai anda tumbuh dan anda boleh mula guna dalam masakan. Apa lagi, kalau ada pasu lebih kat rumah tu, bolehlah cuba tanam serai!

7) Halia

Halia ni kalau dekat Malaysia memang femes orang guna untuk buang angin. Ada yang masuk dalam sup, ada yang letak dalam teh, dan ada makan macam tu je. Untuk tanam halia, pilih halia yang dah bertunas supaya lagi cepat ia membesar. Tanamkan halia tu di dalam pasu dan pastikan ia diletak pada kawasan yang separuh teduh. Jangan bagi kena cahaya matahari secara direct.

Yang ni kena tunggu agak lama sikit sebelum boleh pakai, tapi hasilnya sangat mengguntungkan sebab kuantitinya banyak. Kalau nak guna halia muda, boleh tuai lepas 6 bulan, tapi kalau nak halia tua pula, kena tunggu lepas 9 bulan.

8) Kunyit

Jangan tak tahu yang kunyit pun boleh tanam sendiri dekat rumah! Kalau nak masak apa-apa menu yang menggunakan kunyit, memang lagi sedap kalau guna kunyit hidup. Rasanya lagi asli. Bila masak ayam goreng kunyit letak kunyit hidup yang dikisar pun lagi terangkat rasa dia. Nak tanam kunyit ni ada caranya tersendiri, berbeza sikit dari cara-cara yang kita selalu tengok.

Ambil lebihan kunyit yang belum dipotong dan balutkan dalam kertas surat khabar yang lembap. Selepas 2-3 minggu baru tunasnya akan keluar dan masa tu boleh tanam dalam pasu berisi tanah.

9) Bawang Merah/Bawang Putih

Bila masak menu yang kena menumis, memang tak larilah daripada dua jenis bawang ni. Kalau nak senang, kisar terus siap-siap bawang putih dan bawang merah, dan simpan campuran yang dah kisar tu dalam peti sejuk. Senang sangat sebab masa nak guna je boleh terus ambil dan masukkan. Tak perlu lagi nak kupas, potong dan kisar masa nak masak tu. Jimat masa.

Okay, memandangkan bawang ni memang selalu sangat pakai, memang elok sangat kalau dapat tanam sendiri. Untuk bawang putih, ambil beberapa ulas dan tanam setiap ulas secara menegak dengan bahagian akar yang diletak dalam tanah. Pastikan tanaman anda mendapat cahaya matahari yang cukup dan selalunya anda dah boleh mula menuai bawang putih bila daunnya dah mula kekuningan.

Untuk bawang merah pula, potong bahagian atas bawang sampai nampak isi tengah dan potong sikit je bahagian akarnya. Lepas tu tanamkan 3/4 je daripada bawah bawang ke dalam tanah dan biarkan sampai tumbuh daun. Bila dah nampak daun, boleh timbus dengan tanah sepenuhnya. Kena selalu gemburkan tanah sekeliling bawang supaya banyak bebawang baru.

10) Bok Choy atau Sawi Cina

Sayur Bok Choy ni sangat sedap kalau dimasak dengan sos tiram, atau dimakan mentah. Pada yang selalu makan Bok Choy ni memang sangat berbaloi nak tanam sebab selain dari anda boleh makan berapa yang anda nak, kebersihannya juga terjamin!

Caranya, potong pangkal sayur tu lebih kurang 1 inci setengah dan rendam dalam air. Letak di kawasan yang terang supaya ia dapat cahaya matahari yang cukup. Selepas 1-2 minggu, anda dah boleh pindahkan ke dalam pasu berisi tanah dan biarkan sampai ia tumbuh dengan besar.

11) Bayam/Spinach

Bayam ni dikatakan mengandungi banyak khasiat seperti tinggi dengan Vitamin A dan K, dapat meningkatkan sistem imuniti badan, merendahkan tekananan darah, serta mempunyai kalori yang rendah. Ada dua jenis bayam yang anda akan selalu jumpa di luar sana, sama ada bayam hijau atau bayam merah.

Cara nak tanam bayam ni tersangat lah mudah. Anda hanya perlu dapatkan anak benih bayam, boleh beli di nurseri atau ambil dari pokoknya saja. Biji benih tu anda perlu cambahkan dengan memasukkan biji benih ke dalam tanah dan tekan sedalam 1/2 inci. Selepas biji benih dah bercambah dalam 2-3 helai daun pucuk, bolehlah dipindahkan ke pasu atau bekas yang lebih besar dan sesuai.

Bila anda siram air pada tanaman bayam, pastikan air tak bertakung di dalam pasu/bekas tapi hanya lembapkan tanah tu saja. Selalunya lepas 3-4 minggu, anda dah boleh mula tuai daun bayam yang ditanam. Nak tahu bayam ni paling sedap buat apa? Haaaa…masak tumis air atau masak lemak putih. Memang kena sangat untuk makan dengan nasi putih panas-panas atau ratah saja.

12) Bendi

Kalau masak asam pedas tak ada bendi memang tak lengkap la jawabnya. Selain tu, ada yang suka masukkan dalam kari, tomyam, dan ada juga yang rebus buat ulam. Dapat cicah budu memang bertambah la makan, tak cukup satu pinggan! Tanaman bendi ni berasal dari keluarga hibiscus dah diperkaya dengan Vitamin A, C, kalsium dan pelbagai mineral lain. Katanya orang perempuan memang elok sangat makan bendi ni, ye ke?

Apa pun, kalau anda berminat nak tanam bendi kena cari pasu atau bekas yang boleh menampung akar tunjang tanaman dan mempunyai lubang saliran untuk air keluar. Kalau ada air bertakung, ada kemungkinan bendi boleh dijangkiti kulat, jadi kena hati-hati sangat. Bila dah ada pasu, bolehlah letak tanah yang sesuai dan mula semai biji benih bendi yang anda gemari. Sediakan lubang semaian antara 1/2 hingga 1 inci di tengah-tengah pasu/bekas dan tanam 2/3 biji benih dalam setiap lubang.

Lepas tu, tutupkan lubang dan semburkan air pada tanah tersebut. Pastikan tanaman anda berada di kawasan yang mempunyai cahaya matahari terus dan sentiasa dalam keadaan lembap. Biji benih akan mula bercambah dalm 5-7 hari. Selepas satu bulan setengah, bendi anda sepatutnya sudah sedia untuk dituai. Hanya potongkan tangkai menggunakan pisau yang tajam supaya tak menjejaskan pertumbuhan pokok bendi anda.

13) Bayam Brazil

Sejak dua menjak ni ramai pula yang bercakap pasal Bayam Brazil dan cari macam mana nak tanam dekat rumah. Tanaman ni rupanya memang datang daripada Brazil dan Amerika Selatan, sebab tulah munculnya nama sebegitu. Macam-macam cara dah orang guna sayuran ni, ada yang buat ulam cicah-cicah, ada yang goreng jadi ala kerepek, dan ada juga yang masak letak dalam telur goreng atau buat sebagai lauk.

Antara khasiat yang terkandung dalam Bayam Brazil ni adalah boleh mengekalkan kesihatan mata, menguatkan tulang, dan salah satu sumber Vitamin K yang bagus. Nak tanam Bayam Brazil ni sangat senang sebab daunnya memang cepat membesar. Cara yang paling cepat untuk menghasilkan pokok baru adalah dengan menyemai keratan batang pokok Bayam Brazil.

Potong keratan yang mempunyai pucuk berwarna hijau dan segar dalam 5-12cm dan buang daun di bahagian bawah. Sediakan tanah di dalam pasu, botol plastik, atau bekas kitar semula lain. Bila dah cucuk separuh dari keratan ke dalam medium yang anda pilih, siram dan pastikan ia tak terdedah kepada cahaya matahari terus pada awal penanaman.

Dalam 4-7 hari, anda akan mula nampak Bayam Brazil mengeluarkan pucuk dan daun baru. Bila daun dah mula merimbun, selalunya dalam beberapa minggu selepas ditanam, anda bolehlah mula mengutip hasil Bayam Brazil. Bayam Brazil ni bukan saja boleh digunakan untuk makanan, tapi ada juga yang menggunakan tumbuhan ni untuk mencantikkan landskap.

Jadi, masa nak tanam tu, anda boleh gunakan kreativiti anda untuk menanam tanaman tersebut di mana dan dalam bekas yang anda suka. Oh! Ada lagi satu petua untuk anda yang menanam Bayam Brazil. Kalau tak nak ulat datang mengacau tanaman anda, boleh semburkan dengan air rebusan bunga cengkih. Bebas kimia, dan gerenti daun Bayam Brazil akan menjadi segar bugar.

14) Kangkung

Kangkung ni rupanya sangat mudah nak ditanam, cepat sangat membesar, dan memang antara kegemaran ramai lah di negara ni. Paling senang ialah dengan menggunakan besen dan raga atau bekas berlubang-lubang kecil. Letakkan besen di bahagian bawah dan raga di atasnya sebelum anda taburkan biji benih kangkung.

Kalau lubangnya besar, anda boleh letakkan kapas supaya benih tak terjatuh melalui lubang tersebut. Isikan air baj dalam besen dan pastikan paras air cecah raga saja. Jangan sampai benih terendam dan tenggelam pula tau! Lepas tu, tutupkan dengan kain gelap untuk beberapa hari sehingga akar dan pucuk kangkung mula keluar.

Bila dah ada daun, bolehlah letakkan pokok kangkung kepada cahaya matahari tapi kena pastikan paras air kena pada akar pokok. Selepas 3-4 minggu, kangkung anda sudah sedia untuk dituai dan dimasak. Lepas ni senang lah nak makan kangkung masak belacan kan? Dah tak perlu nak singgah pasar pagi atau pasaraya. Petik saja yang tanam dekat rumah tu, basuh bersih-bersih, dan terus masuk kuali. Terliur pula rasanya!

Akhir kata, kalau anda ada masa terluang, eloklah cuba menanam mana-mana tanaman yang menawan hati. Seronok tau bila dapat berkebun di rumah, boleh jadi hobi yang sangat menarik juga! Tak semua pun, satu, dua jadi lah untuk penjimatan di kemudian hari. Selamat mencuba dan semoga tanaman anda membesar dengan jayanya dan membuahkan hasil!

Sumber: www.propertyguru.com