Friday, 28 December 2018

Kehandalan menipu adalah satu ‘kejayaan’


Bertahun-tahun lamanya sebelum berlaku pertukaran kuasa, para pelajar di menara gading diajar dan diberi harapan bahawa hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak perlu dibayar sekiranya berlaku perubahan kuasa. Malah, rakyat disemaikan kepercayaan bahawa pendidikan negara sepatutnya percuma.

Rakyat juga dieritahu bagaimana harga minyak dapat diturunkan sekiranya berlaku pertukaran kuasa. Di Youtube, ada ahli politik menunjukkan betapa hebatnya kemahiran matematik mereka untuk menurunkan harga minyak negara dalam sekelip mata sambil mempersendakan lawan.

Selepas berkuasa, tiba-tiba semua formula matematik tidak boleh pakai.

Janji demi janji diberitahu secara berperingkat kepada rakyat bahawa ia tidak dapat ditunaikan kerana masalah hutang dan penyelewengan kerajaan yang lepas. Apa tidaknya, asalkan segalanya dapat disalahkan kepada skandal 1MDB dan Jho Low, mereka yakin rakyat akan terima.

Tidak percaya? Ingat kembali bagaimana Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Jho Low adalah punca kerajaan PH gagal menunaikan janji berkaitan pembayaran balik hutang PTPTN, namun ia tidak menjadi punca negara tidak dapat membuat kereta nasional ketiga.

Dengan adanya Jho Low sebagai “sokongan”, barangkali itu timbulnya idea berani mengutip semula hutang PTPTN secara paksa dengan pemotongan gaji mutlak sehingga RM1,200 ke atas sebulan bagi mereka bergaji RM8,000 ke atas.

Mereka yang rajin membayar hutang dan mereka yang ingkar membayar hutang dilonggokkan bersama di dalam satu bakul dan dihukum.

Malah sehari sebelum keputusan pembayaran balik PTPTN baru ini ditangguh, rakyat cuba diyakinkan bahawa ini sahajalah caranya untuk memastikan nasib generasi masa hadapan terjamin.

Nasib baiklah rakyat tidak membisu, kalau tidak, mereka akan menganggap idea itu bernas dan diterima rakyat.

Kebelakangan ini harga minyak sedunia turun mendadak, namun harga petrol RON95 negara kekal tidak berubah. Kesemua pakar matematik yang pernah menunjukkan kehebatan mengira harga petrol sebelum berkuasa terus membisu.

Sebelum berkuasa, sekiranya harga minyak sedunia turun namun harga petrol negara tidak turun pada kadar yang sama, bukan main mereka bertempik bahawa rakyat telah ditindas oleh kerajaan.

Hari ini, rakyat diyakinkan bahawa mereka bukan ditindas tapi mereka sedang berkorban untuk membayar hutang negara yang melarat.

Sebelum berkuasa, rakyat juga diajar berdemonstrasi apabila adanya isu panas – bukan sekali dua, tapi berkali-kali.

Namun selepas berkuasa, kaki demo dahulukala tiba-tiba menjadi juara memperlekehkan orang lain yang hendak berhimpun kali pertama ketika mereka berkuasa, kononnya ia aktiviti yang menghabiskan wang.

Wahai YB, aktiviti yang membazir duit ini yang dilakukan oleh orang yang sudi berhimpun inilah yang menyebabkan kamu hari ini semua bergaji 5 angka.

Namun, kita jangan sesekali salahkan para ahli politik.

Itu kerja mereka. Kerja mereka adalah menyakinkan kita dengan cerita mereka, termasuklah janji dan skandal yang didedahkan.

Ada antara kita yang diyakinkan dengan janji walaupun janji palsu, ada pula yang diyakinkan dengan cerita skandal meskipun separuh benar. Tidak dinafikan ada janji yang benar dan juga cerita skandal yang benar, tapi kesahihannya hanya dapat ditentukan selepas rakyat membuat keputusan.

Di dalam sistem demokrasi negara, penipuan dibenarkan sebagaimana katak politik diberikan lesen melompat mengkhianati amanat rakyat. Matlamat mendapatkan kuasa akan menghalalkan segala cara. Benar atau tidak, haram dan halal adalah soal lain.

Jika rakyat dapat diyakinkan meskipun dengan perkara palsu, itu petanda mereka berjaya.

Jika anda tidak tertipu, dan anda tergolong sebagai penyokong pembangkang selepas pilihan raya, bersedialah diejek dan dicemuh. Jika anda tertipu, dan anda tergolong sebagai penyokong kerajaan, anda seharusnya bergembira, kerana sekurang-kurangnya anda kini dapat berkongsi kuasa dan bersama hidup di dalam penipuan untuk terus mengejek mereka yang tidak membeli tipuan itu.

Itulah sedihnya realiti politik negaraku.

Sumber: Free Malaysia Today

9 comments:

  1. Sangat menyedihkan..rakyat yang memilih..hujungnya rakyat juga yang terguling-guling.

    ReplyDelete
  2. Semoga Allah permudahkan urusan kita sbgai rakyat yang menanggung ni..

    ReplyDelete
  3. letih dengar, asyik2 bagi alasan hutang negara, silap titik perpuluhan, silap lapor..
    2 x 5, 5 x 2..bersabar je lah..4++ tahun lg...

    ReplyDelete
  4. hashtag paling paling laa ni #hancing

    ReplyDelete
  5. No komen la abam kie bab² politik ni

    ReplyDelete
  6. harapnya yang baik-baik sahaja untuk kita semua nanti =)

    ReplyDelete
  7. Semoga ada sinar di hujung terowong untuk kita semua selaku rakyat marhaein yang mengharapkan quality of life

    ReplyDelete
  8. nasib kite tak kuat politik >,<

    ReplyDelete