Terdapat dua kategori sukan kompetitif. Satu adalah dimana kemenangan atau kekalahan tidak hanya bergantung kepada persiapan dan keupayaan atlet tetapi juga ditentukan oleh lawan mereka. Jadi, tidak kira betapa hebat latihan dan persiapan seseorang pelari dari Malaysia, kita semua tahu hasilnya jika Usain Bolt berdiri di sebelahnya di baris permulaan. Perkara yang sama boleh berlaku apabila pasukan bola keranjang kita terpaksa menentang pasukan dari Amerika Syarikat. Sekalipun kita berfikir bahawa Datuk Lee Chong Wei masih pemain badminton terbaik yang pernah ada, akan ada hari apabila lawannya akan bermain lebih baik daripada dia.

Kategori yang lain adalah sukan dimana kemenangan tidak bergantung kepada kekuatan lawan namun keupayaan dan persiapan para atlet. Ini termasuk permainan seperti menembak, memanah, golf, boling padang dan boling tenpin. Ini adalah sukan di mana setiap atlet mempunyai peluang yang sama untuk menang. Pasukan boling berjaya meraih dua pingat emas di Sukan Asia baru-baru ini di Indonesia manakala pasukan penembak tidak memperolehi sebarang pingat pun! Sebenarnya, tiada seorang penembak pun yang layak memasuki pusingan akhir atau perebutan pingat!

Abam Kie menulis ini bukannya untuk memandang rendah terhadap kerja, latihan dan pengorbanan yang telah dibuat oleh atlet2 untuk mewakili negara. Tetapi apabila menonton mereka mengatakan perkara-perkara seperti "Saya telah mencuba yang terbaik", "Saya tidak melakukan yang baik hari ini", "Saya gembira dengan prestasi saya", "Datang ke sini, saya tidak mempunyai banyak jangkaan, jadi ini boleh dianggap sebagai pencapaian yang signifikan ", anda akan faham mengapa Abam Kie mahu membaling alat kawalan jauh itu kat TV!

Kerajaan telah menanggung berjuta-juta wang pembayar cukai untuk menghantar atlet negara untuk setiap pertandingan antarabangsa. Apa gunanya menghantar mereka apabila mereka tidak dapat memasuki pusingan pingat atau merasa "gembira" untuk disenaraikan di nombor 25? Seseorang mungkin mengatakan ia memberi mereka pengalaman, tetapi kita mendengar perkara yang sama setiap kali ada pertandingan utama!

Abam Kie berharap Menteri Belia dan Sukan yang baru, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengambil berat akan hal ini. Panggil semua persatuan sukan dan suruh mereka bertanggungjawab diatas prestasi buruk mereka di kejohanan antarabangsa! Lebih penting lagi, bersikap teluslah dalam proses pemilihan para atlet untuk mewakili negara. Abam Kie telah mendengar terlalu banyak cerita atlet yang dipilih hanya kerana dia ada hubungan baik dengan ahli jawatankuasa persatuan atau pegawai tinggi dan bukannya kerana prestasi cemerlang. Jadi perubahan perlu dilakukan sekarang sebelum terlambat!