" Cikgu, saya mohon cuti tanpa gaji seminggu. Sebagaimana cikgu tahu, anak saya dikesan menghidapi penyakit leukimea baru-baru ini. CRK saya dah habis. Sedangkan anak saya perlu berada di wad lagi seminggu untuk rawatan kimoterapi," pohon seorang guru perempuan dengan santun.

" Cuti Tanpa Gaji? Cuti Tanpa Gaji akan mempengaruhi senioriti awak. Akan banyak kesan sepanjang perkhidmatan walau sehari awak ambil. Tak payah ambil Cuti Tanpa Gaji, rugi," balas pengetua tersebut.

" Habis tu macam mana cikgu? CRK dah habis, siapa nak jaga anak saya di wad," balas guru perempuan itu memohon ihsan.

" Awak cuba minta 'time slip' dengan doktor setiap kali pergi hospital. Awak datanglah pukul berapa pun bertugas di sekolah. Maklumkan pada PK1 awal-awal kalau ada kelas. Senang beliau buat relief. Dan waktu cuti nanti, buatlah kelas tambahan untuk murid yang bakal periksa PMR. Kalau ada program besar sekolah, awak tawarkan diri jadi ketua. Semoga anak awak cepat sembuh," balas pengetua itu mesra.

Kisah ini berlaku pada sahabat aku belasan tahun dulu. Pengetua itu kini sudah pun pencen. Pencennya disambut meriah. Meriah sungguh.

Namun kebaikan hati, tolak ansur dan toleransi masih menjadi bualan anak-anak buah sehingga hari ini. Malah hubungan dengan anak-anak buah terus erat. Saling mengunjungi tanda hormat.

Begitulah hidup. Jika kita berkuasa dan berpangkat, namun terus merendah diri dan membantu memudahkan kerja orang lain, pasti disayangi dan dihormati.

Hormat itu tidak boleh dijual beli. Tiada harga untuk diletakkan pada sebuah penghormatan pada seorang ketua yang cakna dan memahami.

Post pasal PGB yang boleh dijadikan sempadan banyak dah dikongsi oleh Sir Rajinder Singh. Biarlah post ini menjadi teladan dan ikutan pula pada sahabat yang bergelar PGB dan bakal-bakal pentadbir. Takkan pernah jatuh martabat mereka yang merendah diri bahkan makin tinggi pula disanjung orang sekeliling. Sungguh!

* Ini kisah benar. Anak leukimea itu kini sihat walafiat dan membesar dengan elok. Alhamdulillah.